Monoja68’s Weblog

RedhaMu, Tuhan!

MEMAHAMI HIBAH DAN HIKMAHNYA

MEMAHAMI HIBAH DAN HIKMAHNYA

1. ISLAM SECARA UMUM

Secara umumnya, Islam merangkumi Aqidah sebagai dasar dan prinsip, Syariat sebagai amalan dan tindakan kerja dan Akhlak sebagai hasil dan penyempurna kehidupan. Pembahagian ini sekadar memudahkan pengajian dan kefahaman, namun ketiga-tiga komponen ini saling berkait dan tidak boleh berpisah untuk melahirkan Islam yang sempurna dan lengkap. Pemisahan dalam pengajian bukan bererti mesti berlaku pemisahan sama dalam amalan dan tindakan kerana akidah tidak bererti tanpa bukti amalan syariat, dan akidah dan syariat tidak bermaksa tanpa akhlak. Manakala akhlak sahaja tanpa akidah dan syariat adalah rapuh dan tak bertahan kekal sampai ke akhirat. Perpaduan dan kesatuan akidah, syariat dan akhlak itulah dinamakan Islam. Islam itu indah, tetapi keindahannya tidak akan menyerlah sehingga ianya dilaksanakan dalam kehidupan….. Hayatilah !

2. MUAAMALAH DALAM ISLAM

Mu’amalah (Pengurusan Masyarakat & Harta) bermaksud urusan pergaulan hidup manusia yang melibatkan akad/ kontrak dan hak milik manusia. Ia meliputi perkara berikut :
Mu’amalat
• Jual beli
• Riba
• Salam/ Tempah
• Gadaian
• Qaradh
• Tanam Menanam
• Pengairan
• Mudharabah
• Syarikah/ Perkongsian Harta
• Sewa Menyewa
• Wakalah/ Penjagaan Harta
• Hiwalah/ Pindah Hutang
• Dhaman/ Jaminan
• Wadi’ah/ Serah Amanah Harta
• Pinjam Meminjam
• Hibah/ Pemberian
• Luqathoh/ Anak Buangan
• Wasiat/ Pusaka dll.

3. PENGENALAN HIBAH
Hibah merupakan permasalahan lama yang baru diwar-warkan. Kalimah ini tidak ada dalam fikiran dan ingatan masyarakat Islam sekian lama Di serata dunia. Untuk kefahaman masyarakat, istilah yang jarang kedengaran perlulah disebut-sebut dalam majlis rasmi dan tidak rasmi sehinggalah istilah tersebut basah di setiap bibir anggota masyarakat. Tetapi pendekatan yang paling berkesan ialah ‘pelaksanaan’ program hibah ini dan istilah yang belum difahami. Namun, kefahaman yang didahulukan dengan penjelasan yang bersistem yang kemudiannya disusuli dengan tindakan, tentu akan benar-benar berakar umbi ke dalam benak dan minda bawah sedar anggota masyarakat Islam.

Hibah yang akan dibicarakan nanti adalah sebahagian daripada sistem ekonomi masyarakat Islam yang terlalu jauh daripada pandangan dan amalan masyarakat Islam itu sendiri, berbanding dengan zakat (fardhu), sedekah (sunat), hadiah (sunat), wakaf (sunat), wasiat (sunat – pelaksanaan wajib satu pertiga harta) dan sumbangan lain. Lantaran itu, adalah wajar perbicaraan tentang Hibah ini diketengahkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam untuk difahami dan dipraktikkan dalam kehidupan.

4. HIBAH DI SUDUT BAHASA
Hibah merupakan kalimah Arab yang memberi maksud ‘pemberian’. Di sudut bahasa, Hibah adalah pemberian yang tidak didahului oleh tuntutan hak, dan padanya (barang yang diberikan itu) ada kegunaan bagi orang yang diberikan. Mengikut pengertian ini, Hibah boleh jadi pada zat yang tertentu dan bukan zat tertentu.(1) Contoh ada ‘ain/ zat tertentu ialah mengurniakan/ memberi anak lelaki atau perempuan (lihat : surah al-Syuura/ 49), manakala contoh tiada ‘ain/ zat tertentu ialah mengurniakan rahmat (lihat : surah Aali ‘Imran/ 8). Disebut kepada pemberi hibah sebagai ‘Waahib’ (واهب), penerima hibah sebagai ‘Mauhuub lahu’(موهوب له) dan harta yang diberikan sebagai ‘Mauhub’ (موهوب) dan ‘Mauhabah’ (موهَبة).(2)

5. HIBAH DI SUDUT ISTILAH
Hibah di sudut istilah syara’ ialah : Memberi milik benda tanpa ganjaran/ gantian (al-Jurjaani). Atau :Hibah adalah memberi milik harta kepada orang lain tanpa ganjaran/ gantian (al-Majallah).(3)

Penulis kitab al-Fiqh al-Manhajiy menyatakan : ‘Akad yang memberi faedah pemilikan ‘ain tanpa gantian, semasa hidup, secara sukarela.(4)

Kata Imam al-Raghib al-Ishfihani dalam bukunya ‘Mu’jam Mufradat Alfaz al-Qur’an’ : “الهبة أن تجعل ملكك لغيرك بغيرعوض ” yang bermaksud : “Hibah ialah anda menjadikan harta milik anda kepada orang lain tanpa gantian/ganjaran.” Sekian dipetik. Jika pemberi mengatakan, aku berikan kain ini dengan ganti beras itu, lalu dipersetujui oleh penerima, maka ini bukan hibah tetapi menjadi jual beli, meskipun disebut ‘beri/ hibah’.

6. PERUNDANGAN HIBAH DALAM ISLAM
Hibah dengan maksud umum itu adalah disukai, disaran dan digalakkan melalui al-Qur’an, al-Sunnah dan al-Ijma’.

1. Al-Qur’an : Surah An-Nisa’ ayat 4 : “dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat Yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

Selepas mas kahwin diserahkan – wajib – kepada para isteri, lalu isteri-isteri itu ‘memberi’ kembali dengan rela hati, maka pemberian itu bolehlah dimakankan dan halal bagi suami mengguna-pakai pemberian isteri-isteri itu.

2. Hadis : “Wahai wanita muslimat, jangan memandang hina seorang jiran akan pemberian seorang jiran yang lain, walau pun pemberian itu hanya ‘firsina syat’.” – al-Bukhori dan Muslim. ‘Firsina syat’ iaitu kaki kambing yang tidak berdaging.”
Banyak hadis yang menyebut tentang hibah ini, antaranya ialah : “Kalaulah aku (Rasulullah s.a.w.) dijemput ke jamuan kaki hadapan atau kaki kecil, nescaya aku menyahutnya. Dan kalaulah aku dihadiahkan kaki hadapan atau kaki kecil, nescaya aku menerimanya.” – al-Bukhori.(5)

3. Ijma’ : Sesungguhnya telah sepakat ahli feqah Islam pada setiap zaman ke atas galakan melakukan hibah/ ‘memberi’ dengan segala jenis pemberian lantaran ianya adalah pintu kerjasama dalam kebajikan yang allah sarankan dalam al-Qur’an (lihat al-Qur’an : surah al-Maaidah/ 2)

7. RUKUN HIBAH
Rukun adalah teras yang menjadikan sesuatu itu mampu tegak dengannya dan akan runtuh tanpanya. “Rukun sesuatu ialah sudutnya yang sesuatu itu tenteram kepadanya, dan dipinjam untuk (maksud) kekuatan…… Dan ‘Arkanul ‘ibaadat’ (rukun-rukun ibadat) ialah penjuru-penjurunya yang mana di atas penjuru-penjuru itulah menjadi tempat binaan ibadat itu, dan dengan meninggalkan rukun-rukun ini terbatallah ibadat itu.” – ‘Mu’jam Mufradat Alfaz al-Qur’an’ oleh Imam al-Raghib al-Ishfihani.

Rukun hibah memberi maksud teras hibah yang mana tanpa teras ini hibah tidak akan terjadi atau dikatakan batal. Rukun hibah ada tiga sebagaimana rukun jual beli ada tiga. Rukun hibah ialah :
1. Dua orang yang melakukan akad/ kontak iaitu Pemberi hibah dan Penerima hibah. Syarat bagi pemberi ialah : 1. pemilik sah barangan (benda yang dihibahkan)m maka tidak sah memberi sesuatu yang bukan miliknya seperti memberi kenderaan yang dipinjamnya. 2. orang yang berkelayakan memberi sumbangan, maka tidak sah kanak-kanak, orang gila, orang yang mengigau, dan sebagainya memberi hibah. Bagi kanak-kanak dan orang gila, penjaganya juga tidak berhak memberi hibah bagi pihak yang dijaganya. 3. bebas mengurus pada hartanya, maka tidak boleh memberi oleh mereka yang dihalang mengurus harta seperti orang yang diisytihar bangkrap dan orang yang dungu. Manakala syarat penerima hibah ialah : orang yang berkelayakan untuk memiliki harta yang diberi, maka boleh menerima hibah oleh orang gila dan kanak-kanak kerana mereka berkelayakan tetapi tidak boleh mengurus, namun penjaga yang menerima hibah itu bagi pihak mereka berdua. Walau pun begitu, bayi dalam kandungan tidak berkelayakan menerima hibah kerana belum mampu milik secara pilihan. Perlu diingatkan bahawa ‘kelayakan’ atau keahlian menerima harta berbeza dengan keahlian mengurus harta. Kanak-kanak layak menerima, tetapi tidak layak mengurus. Begitu juga orang gila, orang bankrap dan orang dungu.

2. Barang/ benda yang dihibahkan. Syarat barang yang dihibahkan ialah apa saja yang boleh dijual beli, maka boleh diberi (hibah). Syarat lain ialah barangan itu mestilah ada semasa diberikan maka tidak sah memberi anak kambing yang akan lahir pada tahun-tahun hadapan, berharga maka tidak sah memberi hibah barangan najis, bukan perkara haram maka tidak sah memberi hibah babi, dan barangan milik pemberi yang pasti maka tidak sah memberi burung di udara yang belum ditangkap.
3. Shighah / lafaz sebutan, iaitu dua :
– ‘Akad ijab / lafaz memberi milik oleh pemberi hibah
Contoh ijab/ lafaz memberi hibah ialah : saya berikan awak, saya memberi milik kepada awak tanpa harga, begitu juga saya beri makan awak akan makanan ini, dan saya jadikan baju ini bagi awak.lafaz-lafaz seperti ini tidak memerlukan niat, sebab ia adalah lafaz yang jelas nyata memberi maksud ‘beri/ hibah’. Di sana ada lafaz-lafaz yang tidak jelas dan kesamaran, maka ia berhajat kepada niat. Contohnya ialah saya pakaikan awak baju saya ini, ambillah kereta saya (dikatakan kepada orang yang mencari kenderaan untuk kegunaannya). Perkataan di atas tidak jelas dalam memberi milik, maka berhajat kepada niat dan ‘uruf setempat.
– ‘Akad qabul / lafaz menerima milik oleh penerima hibah
Contoh lafaz terima hibah ialah : saya terima, saya rela, saya ambil hibah itu dan seumpamanya.

Di syaratkan pada shighah (ijab dan qabul) 3 perkara berikut :
1. Bersambung penerimaan (qabul) dengan pemberian (ijab), di mana waktu ijab dan qabul itu tidak dipisahkan oleh ‘pemisah’ (samada percakapan, perbuatan atau diam) yang diambilkira (diterimapakai) secara ‘uruf (kebiasaan setempat). Jika pemberi berkata, saya berikan duit ini kepada awak, lalu penerima bercakap-cakap tentang kereta kemudian menjawab, saya terimalah duit itu. Maka pemberian/ hibah itu tidak sah.
2. Tidak mengikat shighah tersebut dengan apa-apa syarat. Maka jika pemberi mengatakan, saya berikan duit ini kepada awak jika hujan turun, pemberian/ hibah itu tidak sah kerana bersyarat.
3. Tidak mengikat shighah tersebut dengan waktu. Maka jika pemberi mengatakan, saya berikan buku ini kepada awak sebulan, pemberian itu tidak sah kerana terikat dengan waktu tertentu.
Namun begitu, jika pemberi mengatakan, saya berikan rumah ini kepada awak selagi saya hidup, apabila saya mati rumah ini menjadi pusaka anak-anak saya, pemberian itu tetap dikira sah dan menjadi hak milik pemerima secara mutlak, meskipun bersyarat demikian. Ini adalah kes pengecualian yang menjadikan hibah berlangsung dan syarat terbatal. Hibah ini disebut hibah Umra. Rasulullah s.a.w menyebut : “al-Umra jaaizah” bermaksud : Hibah Umra harus (berlangsung dan menjadi hibah yang sah). Begitu juga hibah Ruqba di mana pemberi mengatakan, saya berikan rumah ini kepada awak selama saya atau awak hidup, jika saya mati ia tetap milik awak dan jika awak mati ia kembali kepada saya. Pemberian ini tetap berlangsung dan menjadi milik penerima hibah, manakala syarat masa itu lagha/ batal/ sia-sia. Hibah sebegini dinamakan hibah Ruqba.

8. SYARAT BERKAITAN DENGAN RUKUN HIBAH
Syarat yang ada kaitan dengan rukun hibah yang disebutkan di atas ialah kepastian menjadi hibah itu ialah qabadh/ genggam (menerima dengan mengambil) barang/ benda yang diberi secara langsung. Ijab dan qabul semata-mata tidak mematerikan pemberian/ hibah itu secara pasti, meskipun sudah sah pada syara’. Ini membawa pengertian bahawa pemberi boleh menarik balik pemberian itu jika penerima tidak mengambil (qabadh/ genggam) barangan yang diberikan.

Apa syarat qabadh/ genggam (terima dengan mengambil barangan)? Syarat qabadh (terima dan ambil) ialah izin pemberi samada izin melalui perkataan atau perbuatan, dan tidak memadai izin itu dengan sekadar pemberi itu diam dan melihatnya. Syarat qabadh yang lain ialah penerima berkelayakan untuk menerima dan mengambil hibah, maka tidak sah qabadh (terima dan ambil) oleh seorang kanak-kanak dan orang gila.
Dan harus qabadh oleh wali/ penjaga bagi pihak kanak-kanak dan orang gila.

9. HUKUM HIBAH
Hukum hibah yang cukup syarat ialah sabit pemilikan barangan yang dihibahkan bagi penerima hibah. Maka haram bagi pemberi hibah mengambil balik pemberian yang telah sah menjadi hak milik bagi penerima hibah, kecuali hibah si ayah kepada si anak di mana harus si ayah mengambil balik pemberiannya daripada si anak. Pengecualian ini kerana “kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu”, sebagaimana persabdaan Nabi s.a.w.

10. PERBEZAAN ANTARA HIBAH, HADIAH, SEDEKAH, WAKAF, WASIAT, ZAKAT DAN JUAL BELI.
Hibah : ‘Akad yang memberi faedah pemilikan ‘ain/ benda tanpa gantian, semasa hidup, secara sukarela. Bebas diberikan kepada siapa saja, termasuklah kepada orang bukan Islam.
Hadiah : Memberi milik kepada orang yang diingini mendekat diri dan berkasih sayang, dan lazimnya barangan dibawa datang kepada penerima.
Sedekah : Memberi milik barangan kepada orang yang berhajat/ memerlukan dengan niat taqarrub kepada Allah dan ganjaran di akhirat. Tidak perlu ada pihak yang qabul/ menerima, dan haram mengambil balik selepas diserahkan barangan itu.
Wakaf : Menahan harta pokok yang bermanfaat daripada pemilikan seseorang dan pengendaliannya menjadi milik Allah secara berkekalan dengan niat bertaqarrub kepada Allah. Adakalanya memerlukan penerima dan adakalanya tidak memerlukan penerima.
Wasiat : Pemberian seseorang kepada orang lain, baik ia berupa barangan atau manfaat untuk dimiliki oleh orang lain, selepas pewasiat itu meninggal dunia. Pengertian lain, wasiat ialah perjanjian khusus yang disandarkan kepada kejadian selepas mati, dan kekadangnya disertai kebajikan.
Zakat : Pemberian wajib ke atas mereka yang berharta mengikut syarat tertentu kepada asnaf yang tertentu..
Jual beli : Memberi sesuatu dengan gantian yang dipersetujui.

11. HIKMAH AMALAN HIBAH
Hibah disyari’atkan dalam Islam dengan galakan yang mendalam adalah untuk memaut hati kalangan masyarakat Islam itu sendiri sesama mereka dan memperdekatkan perasaan kejiwaan sesama manusia yang hidup dalam masyarakat Islam atau di luar masyarakat Islam. Keistimewaan hibah ini ialah ianya boleh dilakukan kepada orang yang bukan Islam sekali pun, bahkan kepada musuh-musuh yang membenci Islam apabila diketahui lembut hatinya apabila di’beri’kan sesuatu. Hibah ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang berkesan memupuk rasa hormat, kasih sayang, baik sangka, toleransi, ramah mesra dan kecaknaan dalam kehidupan sosial sesebuah negara. Secara ringkasnya, hikmah hibah ini boleh dirumuskan dalam perkara berikut (tanpa menghadkan kepada perkara di bawah) :
11.1. melunakkan hati sesama manusia
11.2. menghilangkan rasa segan dan malu sesama jiran, kawan, kenalan dan ahli masyarakat
11.3. menghilangkan rasa dengki dan dendam sesama anggota masyarakat
11.4. Menimbulkan rasa hormat, kasih sayang, mesra dan tolak ansur sesama ahli setempat.
11.5. meningkatkan citarasa kecaknaan dan saling membantu dalam kehidupan
11.6. memudahkan aktiviti saling menasihati dan pesan-memesan dengan kebenaran dan kesabaran
11.7. menumbuhkan rasa penghargaan dan baik sangka sesama manusia
11.8. mengelak perasaan khianat yang mungkin wujud sebelumnya
11.9. meningkatkan semangat bersatu padu dan bekerjasama
11.10. dapat membina jejambat perhubungan dengan pihak yang menerima hibah.

12. BAGAIMANA MEMASYARAKATKAN HIBAH
Aspek amalan dalam berhibah terlalu janggal di kalangan masyarakat Islam. Akhir-akhir ini barulah hibah diwar-warkan ke dalam masyarakat, namun pelaksanaan belum lagi menjadi rutin dan membudaya di kalangan dermawan. Justeru itu, dicadangkan beberapa aktiviti berikut dilaksanakan dalam kehidupan masyarakat Islam :
12.1. Majlis kefahaman hibah dibuat pada setiap masjid dan surau yang ada melalui para imam yang bertanggungjawab di masjid dan surau tersebut.
12.2. Mengeluarkan silsilah khutbah jumaat secara bersiri sehingga dipercayai konsep hibah telah difahami.
12.3. Menggalakkan masyarakat Islam memperuntukkan 2.5 % daripada pendapatan kasar untuk dihibahkan kepada sesiapa yang berpatutan pada setiap bulan.
12.4. Menganjurkan majlis-majlis penyampaian hibah daripada dermawan kepada penerima yang berkelayakan.
12.5. Memasukkan tajuk-tajuk pengurusan harta terutama hibah ke dalam kurikulum dasar pelajaran negara.
12.6. Mengadakan forum keistimewaan hibah di setiap parlimen seluruh negara.
12.7. Menulis maqalah ringkas tentang hibah dan diedarkan melalui akhbar-akhbar yang laris dan menyeluruh.
12.8. Memberi sumbangan hibah kepada tokoh-tokoh sebagai pengenalan amalan hibah.

13. PENUTUP
Hibah merupakan amalan membantu ekonomi umat Islam dan merapatkan ikatan persaudaraan dan pertalian kasih sayang sesama insan. Ianya amat wajar disuburkan dalam kehidupan semua ahli masyarakat lantaran ia boleh dilakukan dalam bentuk harta, makanan, minuman, dan wang ringgit. Alangkah bertuahnya masyarakat yang prihatin kepada masalah umat yang hidup sezaman dengannya lalu memberi di saat orang memerlukan, tidak meminta-minta walau pun amat berhajat kepada sesuatu, pemurah tidak kedekut, pemaaf tidak pendendam, dan sentiasa sukakan kebajikan dan bersifat majikan – tangan sebelah atas : Memberi, bukan tangan sebelah bawah : Meminta !

Nota kaki :
Al-Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam al-Syaafi’iy – Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, jld 3, ms 101, cetakan keenam Darul Qalam, Damsyiq/ 2005.

2 ‘al-Qaamus al-Fiqhi Lughatan wa Istilaahan’, oleh Sa’diy Abu Jaib, cetakan Darul Fikri/ 1988.

3 ‘al-Qaamus al-Fiqhi Lughatan wa Istilaahan’, oleh Sa’diy Abu Jaib, cetakan Darul Fikri/ 1988.

4 Al-Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam al-Syaafi’iy – Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, jld 3, ms 101, cetakan keenam Darul Qalam, Damsyiq/ 2005.

5 Al-Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam al-Syaafi’iy – Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, jld 3, ms 104, cetakan keenam Darul Qalam, Damsyiq/ 2005.

Disember 11, 2008 - Posted by | Uncategorized

7 Komen »

  1. boleh tak bagi penerangan tentang jenis-jenis hibah

    Komen oleh anip | Februari 21, 2009 | Balas

    • boleh

      Komen oleh sari | Mei 2, 2013 | Balas

  2. […] (dipetik dari : http://monoja68.wordpress.com/2008/12/11/memahami-hibah-dan-hikmahnya/ ) […]

    Ping balik oleh Apakah hibah dalam emas ? (video) | Harga Emas Terkini Malaysia 2012 | April 10, 2012 | Balas

  3. thanks for the info.. :) tengah wt research pasal hibah…

    Komen oleh ally | Mac 12, 2013 | Balas

  4. salah satu cara hibah yang mudah, sertailah MAA Takaful. no charges.
    hubungi saya 0139331876

    Komen oleh liza | September 1, 2013 | Balas

  5. apa yg dimaksud hibah dunia

    Komen oleh ferah | Februari 2, 2014 | Balas

  6. great info..ppl nowdays should know about this…

    Komen oleh azie | Oktober 30, 2014 | Balas


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: