Monoja68′s Weblog

RedhaMu, Tuhan!

REALITI REMAJA MASA KINI

1. Alam hidup manusia

Manusia hidup dalam lingkungan alam berikut :
1.1. Alam roh (Al-A’raf/ 172)

172. dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

1.2. Alam janin (Al-Muminun/ 12-16)

12. dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;
13. kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh;
14. kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.
15. Kemudian, Sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati.

1.3. Alam dunia (An-Nahl/ 78, Al-Haj/ 5)

78. dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu Dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.

1.4. Alam barzakh/ alam kubur
1.5. Alam qiamat dan mahsyar
1.6. Alam akhirat

2. Kehidupan alam dunia

Pusingan hidup manusia di alam dunia ini sebagaimana berikut :
2.1. Zaman bayi : 0 – 2 tahun
2.2. Zaman kanak-kanak : 2 – 10 tahun
2.3. Zaman remaja : 10 – 18 tahun
2.4. Zaman pemuda : 18 – 40 tahun
2.5. Zaman dewasa : 40 – 60 tahun
2.6. Zaman tua : 60 – 80 tahun
2.7. Zaman tua bangka : 80 – mati.

3. Kehidupan alam remaja

Kehidupan alam remaja hanya baru melepasi beberapa ‘lavel’ dan tahap kehidupan yang tentunya masih sedikit ‘pengalaman hidup’ dan pengetahuan dan maklumat tentang erti kehidupan.

3.1. Kehidupan di alam remaja hanya baru melepasi dua tahap :
a. Alam bayi
b. Alam kanak-kanak

3.2. Kehidupan di alam remaja masih belum melalui tahap berikut :
a. Alam pemuda
b. Alam dewasa
c. Alam tua
d. Alam tua bangka

Justeru itu, pengalaman dan pengetahuan remaja masih kerdil, sedikit dan dangkal untuk sebuah ‘keputusan’ hidup. Dengan kata lain, remaja tidak mampu mengambil sesuatu ‘keputusan’ tanpa merujuk kepada orang dewawa dan orang berpengalaman lantaran kekurangan pengalaman dan pengetahuan diri (remaja). Sekiranya remaja membuat sesuatu keputusan, puratanya keputusan itu salah, tidak bermanfaat, memudhoratkan, merugikan dan membawa aib yang berterusan. Meskipun demikian, ada juga segelintir remaja yang berjiwa ‘dewasa’ dan berakal ‘tua’, apabila remaja berkenaan menggali pengalaman hidup, pengetahuan dan maklumat daripada sejarah mereka terdahulu dan catatan/ tulisan mereka yang berpengalaman di kalangan orang muda, dewasa dan orang tua. Remaja yang suka ‘membaca’ dan bergaul dengan orang berpengalaman ini memang ‘dewasa’ sebelum usia dewasa.

4. Ciri-ciri Remaja secara umum

4.1. Remaja memang bercirikan ‘kementahan’ dalam pelbagai sudut : fizikal, mental, rohani, emosi dan sosial.
4.2. Fizikalnya mudah terdedah kepada risiko sakit, alahan, patah, luka dan sebagainya justeru tiada ‘kelasakan’ bekerjanya. Hal ini mudah difahami kerana hukum sebab dan musabbab atau sunnatullah di muka bumi ini jelas menyatakan ‘makin kuat bekerja makin bertambah sasa’.
4.3. Begitu juga mental atau akal. Remaja masih tidak matang berfikir, masih mentah menilai dan masih sedikit maklumat untuk membuat keputusan tepat. Sementara rohani, memang tidak banyak keteguhan dan kejituannya lantaran masih belum memahami alam raya yang mencakupi hidupan fizikal dan hidupan metafizikal (metaphysics) – hidupan yang dapat dilihat dan hidupan yang tidak dapat dilihat.
4.4. Emosi remaja pula, masih tidak terkawal bahkan masih belum difahami jenis dan sifatnya kenapa timbul perasaan yang berbagai. Sesekali terasa geram, marah, benci, sayang, suka, gembira, sedih, serba salah, yakin dan sebagainya. Sesekali terasa tak tentu arah, berserabut, kosong, terasing, ego, hebat dan pelbagai perasaan tanpa dapat memastikan mana yang sepatutnya dikekalkan dan mana yang sepatutnya ditinggalkan.
4.5. Dan akhirnya sosial remaja, iaitu perhubungan dalam komuniti (masyarakat) awam atau mu’amalat. Remaja masih mentah dalam tatasusila pergaulan samada bersama dua ibubapa, guru, orang tua, orang muda, rakan sebaya dan alam sekitar. Justeru itu, sifat ‘kementahan’ remaja dalam pelbagai sudut ini perlu disedari dan perlu dibina dan dibajakan dengan petunjuk dan panduan yang positif. Namun ada juga keistimewaan bagi remaja ini…..

5. Kehebatan remaja

Remaja banyak mempunyai kehebatan yang mesti dihargai, antara lain :
5.1. Tidak banyak melakukan dosa. (Usia bersih).
5.2. Bersifat ingin tahu yang tinggi.
5.3. Bersifat ingin mencuba yang meluap-luap.
5.4. Mudah dibentuk dan disusun-atur.
5.5. Mudah menerima sesuatu yang lojik pada tahapnya
5.6. Mudah mempercayai sesuatu terutama yang luar biasa baginya.
5.7. Mudah dipengaruhi terutama apabila terasa dihargai dan disimpati.
5.8. Sanggup berkorban.
5.9. Sanggup menanggung risiko.
5.10. Sedikit bebanan kerja dan lapang masa.
5.11. Potensi berfikir masih mekar
5.12. Potensi fizikal masih fleksibel (mudah lentur).

6. Kelemahan remaja

Remaja banyak mempunyai kelemahan yang mesti dibaiki, antara lain :
6.1. Mudah membuat keputusan. Bertindak tanpa berfikir panjang.
6.2. Berfikir untuk kepentingan semasa sahaja tanpa melihat kepada masa depan.
6.3. Kurang pengalaman hidup.
6.4. Kurang pengetahuan dan maklumat yang diperlukan.
6.5. Sentuhan perasaan masih dangkal atau belum melalui kepelbagaian perasaan.
6.6. Tanggungjawab sedikit yang menjadikan tidak tahu menghargai masa.
6.7. Mudah mempercayai sesuatu tanpa mengetahui baik-buruknya.
6.8. Mudah dipengaruhi tanpa ada sekatannya.
6.9. Mudah mengalah sebelum kalah. Tiada nafas panjang atau tahan senafas.
6.10. Mudah tersinggung dan merajuk dan sebagainya.

7. Beberapa nota untuk remaja

7.1. Elakkan membuat keputusan sendirian. Carilah orang yang amanah untuk berkongsi pendapat dan pengalaman.
7.2. Hiduplah bersama orang yang lebih dewasa terutama dua ibubapa untuk mendapatkan maklumat dan panduan.
7.3. Sentiasalah mencari maklumat yang boleh diperakukan.
7.4. Hormatilah orang yang lebih tua.
7.5. Kasihilah orang yang lebih muda.
7.6. Jauhilah pergaulan bebas lelaki dan perempuan.
7.7. Belajarlah memahami perubahan fizikal sendiri.
7.8. Hargailah orang lain.
7.9. Sentiasa sedar bahawa diri sendiri itu amat penting buat orang lain.
7.10. Belajarlah hidup berdikari.
7.11. Sentiasalah merenung tentang keajaiban alam raya.
7.12. Tuntutlah ilmu yang bermanfaat.
7.13. Berfikirlah tentang manfaat dan mudhorat sesuatu perkara.
7.14. Berfikirlah tentang diri dengan segala keganjilannya, tentang kehidupan dengan segala liku-likunya, tentang alam raya dengan segala peraturannya, tentang perkara ghaib dengan segala kerumitannya, dan tentang mati dengan segala kesudahannya.

8. REMAJA MASA KINI

Remaja masa kini agak berbeza daripada remaja masa tahun 80’an dan sebelumnya. Remaja masa kini berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran yang mesti ditempuhi dengan berhemat. Antara lain ialah :

8.1. MENDEPANI LANGIT TERBUKA
Jaringan internet dan media maya memang terdedah kepada sesiapa saja. Tetapi remaja dengan tabiatnya yang rapuh dan masih ‘sifar’ , amat mudah terjebak ke dalam gejala sosial negatif yang dihasilkan oleh pelbagai laman di internet.

8.2. PERGAULAN BEBAS
Suasana pergaulan bebas yang ditiru daripada media eletronik dan media cetak amat besar pengaruhnya kepada pergaulan remaja yang mana penghujungnya lahir satu budaya bebas bergaul antara pasangan yang berbeza jantina dan bahkan antara pasangan sejenis yang tidak normal mengikut pandangan Islam dan adat timur. Asas yang membawa pergaulan bebas ini adalah kecetekan ilmu agama Islam dan kejahilan tentang bahaya pergaulan bebas.

8.3. DADAH DAN HIBURAN
Kesan penagihan dadah dan pil kuda atau bermacam pil khayal atau minuman memabukkan cukup mempengaruhi remaja yang tidak terdidik dalam lingkungan agama Islam. Pada awalnya hanya sekadar mencuba pengalaman baru yang menyeronokkan kononnya, tetapi akhirnya menemui ketagihan yang teramat sukar merawatinya.
Hiburan yang melampau juga menjadikan remaja hilang arah yang sebenar menuju kematangan berfikir dan membentuk peribadi luhur. Umpama garam, berlebihan memasukkannya ke dalam makanan membawa kerusakan kepada citarasa manusia yang hakiki.

8.4. KEKURANGAN PENGALAMAN SARA DIRI
Usia remaja sememangnya tidak banyak memberi pengalaman hidup dan hidup berdikari. Sedangkan zaman remajalah ransangan otak meningkat tinggi dengan kreativiti yang tersendiri. Remaja kini, justeru usia hidup dalam suasana belajar akademik lebih banyak, maka pengalaman mencari sara hidup sendiri amat sedikit. Hal ini membawa natijah kepada kelemahan diri dalam hidup bermasyarakat dan menjadi beban keluarga, masyarakat dan negara lantaran pengangguran memanjang.

8.5. KEMUDAHAN ASAS DAN TELEKOMUNIKASI MODEN
Kemudahan asas seperti jalanraya, kenderaan, telefon, rumahtangga dan kewangan menjadikan remaja yang manja dan mudah mengalah dalam menempuh hidup yang mencabar. Hidup tetap mencabar walau pun berbeza antara cabaran setiap zaman dan tempat. Tetapi remaja yang dipagari oleh kemudahan asas dan telekomunikasi moden tidak banyak bersedia menghadapi kemungkinan yang negatif dan mencabar ketahanan fizikal dan mental.

8.6. PENGARUH MEDIA MASSA
Media massa eletronik dan cetak memang amat besar pengaruhnya kepada remaja masa kini. Hal ini amat maklum di kalangan pakar pendidikan dan ahli psikologi terhadap tindak balas emosi remaja
.
8.7. PERSAINGAN DALAM AKADEMIK DAN KERJAYA
Dewasa ini, result peperiksaan semakin menarik minat remaja dalam memasarkan dirinya di persada masyarakat awam. Pencapaian akademik tidak lagi mempersoalkan bilangan A dalam mata pelajaran wajib, tetapi bilangan A ini dipertaruhkan dalam mata pelajaran pilihan yang dilonggokkan bersama mata pelajaran wajib. Fenomena ini akan mewujudkan persaingan akademik yang tidak seimbang dengan tuntutan hidup berdikari. Akibatnya juga ialah persaingan dalam kerjaya amat ketara sedang menunggu.

8.8. MASA DEPAN REMAJA KINI
Remaja masa kini akan menempuh kehidupan yang lebih mencabar pada masa depan samada di sudut akademik, sudut kerjaya, sudut perhubungan sosial bahkan di sudut beragama. Manakala cabaran di zaman sains dan teknologi masa akan datang, tidak perlu dibincang lantaran masalah itu mudah difahami keperluannya dan hampir dipedulikan oleh setiap manusia. Di sudut persediaan, ilmu adalah asas untuk mendepani cabaran. Ilmu yang diperlukan ialah asas agama, penguasaan bahasa dan penguasaan akademik di samping mampu berdikari.

9. KEPENTINGAN DAKWAH DI SEKOLAH

9.1. PENGERTIAN DAKWAH
Dakwah ilaLlah (الدعوة إلى الله) memberi maksud menyeru kepada beriman kepada Allah, beriman kepada apa yang dibawa datang oleh para utusanNya, dengan membenarkan mereka tentang apa yang mereka khabarkan, dan mentaati mereka dalam perkara yang mereka perintah dan larang. Ringkas kata ‘dakwah ilLlah bermaksud menyeru kepada masuk dalam agama Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w. sebagai wahyu daripada sisi Tuhannya. (Fiqh Dakwah Ila Llah – Dr Ali Abd Halim Mahmud, juz 1 ms 17, dar Wafa’/ 1990.)

9.2. MATLAMAT DAKWAH
Matlamat dakwah ialah :
9.2.1. Membantu manusia beribadah kepada Allah mengikut apa yang disyari’atkan
9.2.2. Membantu manusia saling berkenalan di kalangan mereka bagi memudahkan usaha saling membantu dalam kebajikan dan taqwa.
9.2.3. Mengubah realiti dan kondisi yang buruk dan jauh daripada Islam kepada realiti baik dan Islamik yang menghampirkan manusia kepada Allah, kebenaran dan kemanfaatan dunia dan akhirat. Ini berhajat kepada APA PERKARA yang perlu diubah, BAGAIMANA CARA mengubah dan BILA MASA yang sesuai melakukan perubahan ?
9.2.4. Mendidik individu muslim dengan pendidikan Islam yang tepat samada rohani, akal, badan perilaku dan sosial.
9.2.5. Menyediakan rumah tangga muslim
9.2.6. menyediakan masyarakat Islam yang dipandukan oleh nilai, dalar dan akhlak Islam.
9.2.7. Mewujudkan kerajaan Islam yang berhukum dengan keadilan dan undang-undang Islam.
9.2.8. Membebaskan tanah air Islam daripada penjajahan fizikal, ekonomi, sosial dan perundangan
9.2.9. Mewujudkan kesatuan negara Islam.
9.2.10. Menyebarkan seruan Islam ke seluruh pelusuk dunia.

9.3. DAKWAH DAN ORGANISASI
Setiap seruan dan anjuran memerlukan penggerak, sistem, peraturan dan pendekan yang memerlukan organisasi. Pastinya, dakwah kepada Allah memerlukan organisasi yang lebih mantap dan solat berjamaah adalah latihan organisasi yang amat rapi dan teratur bermula daripada pemilihan imam sampai kepada teguran dan menutupi aturcara.

9.4. DAKWAH DI SEKOLAH
Dakwah di sekolah bergantung kepada persekitaran dan kemudahan yang ada. Bagaimana pun keperluannya tetap sama dan mendesak kerana sistem P & P sekolah tidak menjuruskan kepada pendidikan dan pengukuhan dakwah Islam.

9.5. AKTIVITI DAKWAH DAN PRESTASI AKADEMIK
Aktiviti dakwah di sekolah mestilah diseimbangkan dengan pencapaian akademik, bahkan aktivis/ juru dakwah di sekolah lebih perlu mempamerkan prestasi akademik yang lebih cemerlang untuk menarik minat rakan sebaya dan meyakinkan pihak pengurusan sekolah tentang keberkesanan aktiviti dakwah dalam membina peribadi dan akademik pelajar.

9.6. APA PENTINGNYA PROGRAM DAKWAH DI SEKOLAH ?
a. kerjasama dan ta’aawun
Proses membina dan mewujudkan kerjasama dan kerja berpasukan dalam apa jua urusan hidup samada sudut kurikulum atau pun ko-kurikulum sekolah.

b. melancar aktiviti berfikir
Program dakwah dan aktivitinya di alam persekolahan boleh melancarkan aktiviti berfikir pelajar dan memudahkan penjanaan idea, data, teknik dan perencanaan dalam akademik pelajar.

c. proses tarbiah diri
Program dakwah boleh membentuk peribadi yang berdisiplin, mampu mengawal emosi, mampu memulihkan semangat dan mampu menjadi manusia yang terurus dan berdisiplin.

d. menggilap kepimpinan
Badan dakwah dan aktiviti dakwah di sekolah merupakan satu peluang bagi menggilap bakat kepimpinan pelajar untuk menjadi orang yang berpotensi tinggi dalam masyarakat dan kepimpinan negara.

e. motivasi diri dalam P & P
Semua aktiviti dakwah boleh membawa dan menjuruskan kepada motivasi diri dalam persediaan P & P pelajar kerana ia menyentuh zahir dan batin seseorang pelajar : perilaku dan gerak badan berkait dengan akhlak dan adab-adab terpuji, emosi berkait dengan menjaga jantung hati dan niat suci, akal berimbang dengan tuntutan belajar dan taqwa, dan rohani bersentuhan dengan ibadat dan zikir. Semuanya meningkatkan kemahuan dan kesedaran dalaman pelajar atau disebut ‘minda bawah sedar’ manusia.

f. menjernihkan minda dan mempertajam akal
Program dan aktiviti dakwah disekolah, melalui badan organisasi yang disediakan mampu melaksanakan aturcara dan agenda yang boleh menjernihkan minda dan mempertajamkan akal seperti pembentangan kertas kerja, kuliah dan tazkirah, latihan dalam kumpulan, usrah, dan sebagainya.

g. mencungkil potensi diri secara maksima
Secara khusus, usrah mampu memainkan peraanan maksima dalam mencungkil potensi pelajar di semua sudut : kefahaman, ketrampilan, hafalan, kajian, debat dan menyediakan kertas kerja. Usrah biasanya dibimbing oleh naqib yang berpengalaman.

h. taqarrub ilallah
Semua aktiviti dakwah adalah ibadat, namun ada program khusus untuk penyelenggaraan ibadat lengkap seperti Qiamullail dan katibah. Ini adalah peluang menghampirkan diri kepada Allah secara langsung dan penuh masa guna menjernihkan jiwa dan kawalan emosi diri.

i. menimba taqwa
Dan aktiviti dakwah di sekolah sememangnya satu usaha menapak diri tangga demi tangga ke maqam taqwa kepada Allah. Dan TAQWA adalah kemuncak kemuliaan manusia.

PENUTUP :

Remaja amat wajar didedah dan didekatkan dengan tugas-tugas dakwah terutama dalam lingkungan persekolahan untuk menjamin jati diri yang positif dan selamat samada di dunia apalagi di akhirat.

Pembentukan peribadi semasa usia remaja merupakan penentu bagi ketekalan watak apabila dewasa kelak. Apabila anda melazimi sesuatu semasa remaja, maka anda akan mudah beraksi dengan kelaziman itu di waktu tua. Pepatah arab menyebut, ‘man syabba ‘ala syai-in, syaaba ‘alaihi’ yang bermaksud, ‘siapa yang membesar (masa muda) atas sesuatu, dia akan uban (menjadi tua) atas perkara itu’. Oleh yang demikian, amat sinonim usia remaja digunapakai dalam program dan aktiviti dakwah di sekolah.

About these ads

Februari 25, 2009 - Posted by | Uncategorized

11 Komen »

  1. bagus!!! tapi lagi baik jika banyak animasi atau grafik untuk menarik lebih banyak perhatian..

    Komen oleh minah | Mac 24, 2009 | Balas

  2. terima kasih di atas maklumat berguna yang ustaz postkan ke laman blog ustaz…demi meningkatkan kunjungan orang ramai ke laman blog ustaz,alangkah baiknya kalau diupdatekan setiap hari walaupun dengan hanya beberapa patah kalimah.dan cuba usahakan supaya blog ini kelihatan menarik dan ceria dengan design2 yang menarik minat pengunjung…thanks..

    Komen oleh Nazz | April 1, 2009 | Balas

  3. bagus semuanya i like……………………….

    Komen oleh syafika | November 4, 2009 | Balas

  4. blh trangkan lbh lnjut tntg dakwh msa kini??

    Komen oleh AnGah | Januari 14, 2010 | Balas

  5. Really nice..thanks..mmudahkn keja sy nak dptkn bahan ceramh utk mrd2 prmpuan d sek sy..:-)

    Komen oleh Carolyn Michael | Ogos 4, 2010 | Balas

  6. “cabaran remaja hari ini membentuk peribadi muslim??”

    adakah jawapan di atas telah menjawab persoalan ini??

    Komen oleh ct | Ogos 19, 2010 | Balas

  7. memang menarik.minta ustaz jelas lbh lanjut tntang dakwah masa kini.alhmdllh,dpt saya guna sbg bhn utk tzkirah murid yg sy sygi.

    Komen oleh misha | November 28, 2010 | Balas

  8. syukur

    Komen oleh na | Mei 17, 2011 | Balas

  9. menarik..mohon ambil sdkit info untuk assigmnt :) tq

    Komen oleh hazdnul | Jun 14, 2012 | Balas

  10. assalamu’alaikum.izin mengcopy paste

    Komen oleh machmud | November 24, 2012 | Balas

  11. MENARIK….SYUKUR ALHAMDULILLAH

    Komen oleh FATIN ZAFIRAH BT MOHD ZULQURNAIN SOLAHUDDIN | Jun 1, 2014 | Balas


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: