Monoja68’s Weblog

RedhaMu, Tuhan!

PANDANGAN HIDUPKU 2

 (6)

Pemimpin Masyarakat Bertaqwa

 

 

رَبَّنَا هَبْ لنَا مِنْ أزْوَاجِنَا وَذرِّيَّاتِنَا قرَّةَ أعْيُنٍ وَاجْعَلنَا لِلْمُتقِيْنَ إمَامًا

 

Wahai Tuhan kami, kurniakan kepada kami – daripada  pasangan hidup (isteri atau suami) dan keturunan  (pengikut) kami – kedamaian mata ; Dan jadikanlah kami pemimpin untuk mereka yang bertaqwa.

 

Ulasan :

 

  1. Konsep do’a : “Doa ialah memohon kepada Allah semoga Ia menyampaikan maksud kita, seraya kita melaksanakan dan mengusahakan dengan segenap tenaga yang ada akan sebab-sebab terjadinya sesuatu yang kita hajati (doakan itu).”

– Pedoman Zikir  Dan Do’a, Prof Hasbi Siddiqiey, m.s. 99. 

      Do’a merupakan :

          Bahan, sasaran, target dan matlamat permohonan mesti jelas

          Permohonan mestilah disertakan dengan kesungguhan yang dijelmakan pada intonasi (nada) suara, memek (kerut) muka, kinestetik (gerak badan) dan keikhlasan hati.

          Permohonan mestilah disertakan dengan perancangan kerja dan jadual tindakan yang perlu ditepati.

          Permohonan hendaklah dibuktikan dengan tindakan dan amalan  dalam mencapai matlamat, target, sasaran dan bahan yang ditentukan tadi.

          Hasil ? Hasil adalah urusan Allah….. 

 

  1.  رَبَّنَا هَبْ لنَا مِنْ أزْوَاجِنَا وَذرِّيَّاتِنَا قرَّةَ أعْيُنٍ ….. Keratan pertama daripada doa :

 

          Menyedari bahawa :

a.      Keluarga adalah teras keharmonian hidup.

b.      Keluarga adalah masyarakat kecil yang paling dekat kepada seseorang.

c.      Keluarga merupakan dinamo yang sentiasa memberikan tenaga dan motivasi diri.

d.      Keluarga, terutama ibu dan ayah, adalah pendokong setia ahlinya.

e.      Keluarga merupakan benteng terakhir dalam mempertahankan seseorang.

f.        Keluarga adalah batu-bata binaan sesebuah masyarakat.

g.      Keluarga adalah mata air yang sentiasa berguna untuk seseorang.

h.     Keluarga adalah syurga dunia dan stok bekalan dalam perjuangan.

 

 

          Pasangan samada isteri atau suami ;

 

a.      Pemilihan calon berasaskan agama, keturunan, harta dan rupa paras.

b.      Menentukan prinsip asas pergerakan rumahtangga dan garis panduan tugas, tanggungjawab (kewajipan) dan hak (tuntutan).

c.      Menyediakan sistem pendidikan dalaman yang terancang dan berjadual

d.      Mewujudkan suasana harmonis, tolak ansur dan saling memahami.

e.      Melahirkan penghargaan, iithar ( mengutamakan orang lain daripada diri sendiri), dan menyumbang khidmat.

 

          Zuriat samada anak cucu atau pengikut :

a.      Menyediakan pendidikan awal semasa dalam kandungan, kelahiran, kanak-kanak, dan remaja.

b.      Mewujudkan sistem pendidikan rumahtangga yang anjal dan berterusan.

c.      Memberikan kasih sayang yang terancang dan berpatutan.

d.      Memenuhi tuntutan pendidikan yang lengkap samada jasmani, emosi, rohani dan terutamanya intelek.

 

  1. وَاجْعَلنَا لِلْمُتقِيْنَ إمَامًا ….. Keratan kedua daripada doa :

 

          Menyedari bahawa :

 

a.      Masyarakat memerlukan sistem sosial, ekonomi dan politik yang tepat dan kuat di mana terasnya ialah aqidah, budayanya ialah syari’at dan nilainya ialah akhlak. Semuanya berasaskan sistem pendidikan.

b.      Masyarakat mestilah mempunyai peraturan dan undang-undang yang jelas dan berautoriti (syari’at) dalam menangani gejala tidak sihat ahli yang bolos daripada sistem pendidikan.

c.      Masyarakat mestilah mempunyai pemimpin yang berkemampuan mentadbir, memimpin, memandu, menasihati dan mengendalikan ahli masyarakat menuju keredhaan Allah Tuhan Yang Mencipta, Memberi rezeki dan Menghidup dan Mematikan makhluk semua.

d.      Masyarakat mestilah mempunyai anggota keahliannya yang bertaqwa dan sentiasa waspada terhadap anasir-anasir perusak dan peluntur keharmonian dalam kehidupan bersosial.

e.      Masyarakat mestilah mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi dalam memberi khidmat dan sumbangan kepada anggotanya sebagaimana ia menuntut pengorbanan yang besar daripada mereka.

f.        Masyarakat mestilah meningkatkan keupayaan ilmu dan teknologi yang mantap serta membentuk rangkaian kebudayaan yang bermutu tinggi.

g.      Masyarakat perlulah menyediakan ruang dan suasana yang memudahkan kelahiran para pemimpin yang berkaliber dan berpotensi untuk menjamin arus kepimpinan bergerak laju dan berterusan.

                                   

          Pemimpin

 

a.      Mestilah memenuhi syarat-syarat kepimpinan, ciri-ciri pemimpin, dan autoriti memimpin.

b.      Berusaha membina dan menyediakan masyarakat yang bertaqwa sebelum mampu menjadi pemimpin kepada mereka yang bertaqwa.

c.      Mewujudkan sistem yang lengkap bersesuaian dengan rangka taqwa untuk sof kepimpinan dan masyarakat sejagat.

d.      Usaha pembinaan adalah berterusan dan berkesinambungan. 

 

          Masyarakat

 

a.      Bertaqwa dan sedia menerima sistem ketaqwaan

b.      Bekerjasama melahirkan pemimpin bertaqwa dan sanggup dipimpin ke arah jalan taqwa.

c.      Mewujudkan pandangan umum ahli masyarakat berteraskan taqwa ; membicarakan tentang ketuhanan, risalah kenabian, syari’at, matlamat hidup di dunia, kesudahan hidup di akhirat, ibadah, zikir, amar ma’ruf, nahi mungkar dan lain-lainnya. 

d.      Bercakap dalam satu bahasa dan satu rentak bersama pemimpin bertaqwa.

 

  1. Rumusan :

 

          Ulangan doa adalah penting kerana ia membina pemikiran autosugesti atau minda bawah sedar seseorang.

          Mendoakan rumahtangga harmonis dan berharapan menjadi pemimpin kepada orang-orang bertaqwa mestilah disertakan bersama rancangan masa depan dan tindakan kerja yang positif.

          Pembinaan dan tarbiah adalah satu keperluan yang mesti bermula dan sentiasa wujud tanpa henti selagi gelombang masyarakat itu hidup dan bergerak.

          Pemimpin dan masyarakat merupakan dua pihak yang berbeza tetapi bersatu. Rentak perjalanannya  berlainan tetapi tidak boleh berpisah. Keduanya saling memerlukan antara satu sama lain. Keduanya mestilah mengikuti jalan taqwa dan seiring menuju keredhaan Allah s.w.t.

 

Sekian 170105. 10.40 am. SMUDPR

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(7)

PASTIKAN ANDA MEMPUNYAI :

 

  1. Matlamat yang jelas untuk dicapai – ringkas padat

Dalam mendasari ‘Allah Matlamat kami, Rasul ikutan kami, Qur’an perlembagaan kami, Jihad jalan kami dan Syahid cita-cita kami’, matlamat yang boleh disenaraikan sebagaimana di bawah :

  1.  
    1. matlamat beragama – matlamat hidup keseluruhan
    2. matlamat peperiksaan semasa – tahunan/ jangka pendek
    3. matlamat universiti – jangka sederhana
    4. matlamat kerjaya – jangka panjang
    5. matlamat kewangan
    6. matlamat kenderaan
    7. matlamat kediaman
    8. matlamat perkahwinan
    9. matlamat zuriat
    10. matlamat usia emas

 

  1. Perancangan yang kemas untuk mudah dilaksanakan – jangka pendek dan jangka panjang. (Perancangan memerlukan ilmu dan pengalaman)
    1. apa
    2. siapa
    3. bila
    4. di mana
    5. bagaimana
    6. mengapa
    7. berapa
    8. ke mana

 

  1. Peribadi yang tegas untuk gagah melangkah ke hadapan. – Sifat terpuji dan positif terutama Ikhlas, Sidq dan Sabar.
    1. sifat terpuji – positif

          ikhlas

          sidq

          sabar

          amanah

          pemaaf

          lapang dada

          tenang

          berhati-hati dsb

  1.  
    1. sifat terkeji – negatif

          dengki

          pemarah

          khianat

          talam dua muka

          pengumpat

          pendendam dsb.

 

 

DITANYA kepada Taqiyuddin Al Hasan Al Basrhry r.a. : “Apakah rahsia zahid tuan mengenepikan dunia ?”

 

Beliau menjawab :

“Empat perkara :

  1. Aku tahu yang rezekiku tidak akan diambil orang lain, maka hatiku pun menjadi tenteram dan lapang,
  2. Aku tahu bahawa amalanku tidak dibuat oleh orang lain, maka aku pun terus mengamalkannya,
  3. Aku tahu bahawa Allah sentiasa mengawasiku, lalu aku pun merasa malu jika Dia mendapatiku melakukan maksiat,
  4. Dan aku tahu bahawa maut sentiasa menantiku, lalu aku pun menyediakan bekalan untuk menghadap Allah.”

 

          Islam Membina Jiwa Manusia, Oleh Dr Abdul Hamid Kusyk. Alihbahasa Muhd Labib Ahmad. Terbitan Jaheaik 1987, ms ix.

 

Mencari Nilai Diri

 

  1. Bahagia – kemuncak kemahuan dan pencarian manusia. Hanya dapat digapai oleh mereka yang ma’rifat akan Allah.

 

  1. Tenang/ Damai/ Tenteram/ Harmoni/ Sejuk hati – cita rasa yang diburu manusia. Hanya boleh dampingi oleh ahli yoga, meditasi dan pertapaan.

 

  1. Gembira/ Suka/ Seronok – keinginan yang diboloti kebanyakan orang. Boleh dikuasai oleh sesiapa saja.
  2. Ketawa – sifat yang dimiliki oleh sesiapa pun. Kanak-kanak juga tidak ketinggalan.

 

Dari mana kita datang ?

Apa tujuan hidup kita?

Ke mana kita akan pergi?

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 (8)

Membina Roh Mukmin

 

زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَيَسْخَرُونَ مِنْ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ اتَّقَوْا فَوْقَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَاللَّهُ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ(212) البقرة

Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).

 

“Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir”

  1. Hakikat dunia tenggelam tidak tampak di mata mereka yang kufur. Terlihat di depan mata mereka suatu keindahan dunia yang memukau dengan segala perhiasan dan tipu daya, sebagaimana seorang anak muda yang terpukau dengan kecantikan gadis yang dihiasi dengan segala perhiasan. Apabila dilunturkan semua perhiasan itu, terserlahlah kecacatan diri si gadis yang menjejekkan. Si jejaka akan kecewa dan menggigit jari kekesalan.

 

“Sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman.”

  1. Oleh mereka yang kufur akan sentiasa mengejek, memperlekeh, menghina dan memandang rendah kepada orang-orang yang beriman lantaran keimanan mereka yang bercirikan kepada kepercayaan kepada perkara yang ghaib, mempercayai kitab Qur’an yang tidak segera mendatangkan faedah material, melakukan ritual solat yang tidak nampak keuntungan segera, mengeluarkan zakat harta dan fitrah yang jelas mengurangkan isi genggaman, padahal segala yang dilakukan si mukmin itu adalah keuntungan yang jelas untuk jasmani, rohani, emosi dan kognitif/ akal. Seperti ahli perniagaan, dilihatnya keuntungan jangka panjang lebih besar daripada kerugian jangka pendek, lalu dia sanggup ‘gila-gila’ mengorbankan apa saja pada masa kini, namun penghujungnya keuntungan yang diperolehi menjadikan orang lain tergigit jari.

 

“Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak.”

  1. Sesuatu kerja dipandang pada kesudahannya samada positif atau negatif. Sesuatu perniagaan dilihat pada keuntungannya samada besar atau kecil. Seseorang pilihan akan diperhatikan pada sikapnya samada tetap pendirian atau lemah semangat. Begitulah penghujung mereka yang bertakwa….. setelah diselidiki, hidup ini yang pasti akan musnah dan digantikan dengan kehidupan yang lain, iaitu akhirat….maka sesungguhnya di akhirat nanti, mereka yang bertaqwa pasti akan mengatasi mereka yang kufur. Pasti ! Justeru, kenapa perlunya digusari keangkuhan mereka yang kufur dalam hidup dunia yang terlalu singkat ini dibandingkan kemenangan mereka yang bertaqwa di akhirat nanti yang tempoh kehidupannya adalah berkekalan? Cubalah bandingkan : Sehari di akhirat adalah bersamaan 1000 tahun di dunia ini. Apakah nisbah seronok dan derita 100 tahun di dunia berbanding bahagia dan seksa sehari di akhirat ? Perhatikan ayat berikut :

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مِنْ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ(5) السجدة

Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَإِنَّ يَوْمًا عِنْدَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ(47) الحج

Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.

 

“Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).”

  1. Kebimbangan manusia sejagat tidak lepas daripada persoalan rezeki. Kekurangan rezeki merupakan permulaan kelaparan, dan kelaparan menjadi anak tangga menuruni kesakitan, manakala kesakitan pula akan menjunamkan manusia ke lembah kematian. Itulah apa yang dibimbangi manusia… rezeki dan ajal ! Sebaliknya, seseorang mukmin sentiasa sedar tentang rezeki dan hakikat ajal. Ajal kematian adalah saat perpindahan hidup daripada alam dunia ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat. Nanti di sana, si mukmin akan dapat bertemu ‘kekasih agungnya’ iaitu Allah swt. Peluang itu amat dinantikan oleh setiap mukmin yang bertaqwa. Apa lagi yang dirisaukan dengan kematian, jika demikian peluangnya ? Sementelahan itu, Allah sendiri memberi jaminan tentang rezeki seseorang. Apa yang perlu dibimbangi lagi !? Rezeki ialah : Adakala memberi maksud pemberian yang berterusan samada duniawi atau pun ukhrawi, adakala bermaksud nasib, dan adakala bermaksud apa yang sampai ke rongga perut dan boleh mengenyangkan dengannya. Rezeki boleh terjadi dalam bentuk harta, pangkat, ilmu, hujan, makanan mengenyangkan,  dan lain-lain. (Lihat : Mu’jam Mufradat Alfaf AlQur’an  Oleh Ar Raghib Al Asfihani.)

 

  1. Mereka yang berfikir selapis atau sekilas pandang atau apa yang zahir di mata, akan merasa lemah semangat untuk berada di pihak yang benar. Ini kerana segala kemudahan dan keseronokan, kekuatan dan kebanyakan orang, media massa dan teknologi lebih banyak berada di tangan mereka yang kufur. Namun, mereka yang beriman sentiasa memandang sesuatu bermula daripada langkah pertama yang tepat dan penghujung tindakan yang positif. Lantaran itu, dia tetap gembira dengan apa yang dijanjikan Allah, iaitu kemenangan akan berakhir di pihak yang benar dan kesudahan pasti berpihak kepada mereka yang mukmin bertaqwa. Akhirnya, bukankah orang-orang yang yakin dengan janji Allah dan orang yang percaya dengan kebenaran tetap akan mengatasi kebatilan itu akan merasa tenang dan damai, sebagaimana tenang dan damainya seorang doktor yang sudah tahu bagaimana kesudahan penyakit yang dirawatinya ?  Kalau demikian, seorang mukmin yang bertaqwa akan mampu berfikir lebih power dan berprestij berbanding  orang yang dihambat perasaan bimbang dan takut. Apabila anda tenang dan sudah tahu  penghujung sesuatu kerja, anda pasti mampu melakukan perkara yang terbaik dan hebat sekali.  Monoja071006.

 

وَلَوْ أَنَّهُمْ أَقَامُوا التَّوْرَاةَ وَالْإِنجِيلَ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْهِمْ مِنْ رَبِّهِمْ لَأَكَلُوا مِنْ فَوْقِهِمْ وَمِنْ تَحْتِ أَرْجُلِهِمْ مِنْهُمْ أُمَّةٌ مُقْتَصِدَةٌ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ سَاءَ مَا يَعْمَلُونَ(66) المائدة

Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.

 

الَّذِينَ يَتَرَبَّصُونَ بِكُمْ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ فَتْحٌ مِنْ اللَّهِ قَالُوا أَلَمْ نَكُنْ مَعَكُمْ وَإِنْ كَانَ لِلْكَافِرِينَ نَصِيبٌ قَالُوا أَلَمْ نَسْتَحْوِذْ عَلَيْكُمْ وَنَمْنَعْكُمْ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا(141) النساء

(Mereka yang munafik itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): “Bukankah kami turut berjuang bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang)”. Dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang kafir itu): “Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?” Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.

 

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا(28)  الكهف

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

 

 

 

(9)

Melepasi Halangan Dan Membina Jatidiri

 

Lemah kehendak (إرادة) adalah kerana bimbang (همّ) dan sedih ( حزن). Lemah hasilan (إنتاج) adalah kerana lesu (عجز) dan malas (كسل). Lemah ekonomi (مال) adalah kerana pengecut(جبن) dan bakhil (بخل). Dan lemah kemuliaan (عزة وكرامة) adalah kerana penguasaan hutang (غلبة الدين) dan tekanan orang (قهر الرجال). Maka mohonlah perlindungan daripada kelemahan-kelemahan itu dengan do’a :

اللهم إنى أعوذ بك من الهم والحزن ، وأعوذ بك من العجز والكسل ،  

وأعوذ بك من  الجبن والبخل ،   وأعوذ بك من غلبة الدين وقهر الرجال.

 

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kebimbangan dan kesedihan. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kelesuan dan kemalasan. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kebaculan dan kebakhilan. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada penguasaan hutang dan tekanan orang.

Imam Hasan Al Banna.

 

  1. Bimbang dan sedih

 

1.1.           Apabila wujud kebimbangan, secara pasti akan menyusulnya kesedihan. Ini kerana rasa sedih adalah urutan kebimbangan.

 

1.2.           Kebimbangan berpunca daripada bahaya yang bakal menimpa. Bahaya paling besar ialah kematian. Kemudian kesakitan, kelaparan, kemiskinan, kebodohan, kegagalan, keasingan, kehinaan dan sebagainya.

 

1.3.           Bagi memastikan kesedihan  tidak menimpa anda, adalah perlu anda membunuh segala punca kebimbangan yang mungkin terjadi. Ianya boleh dilakukan dengan cara menyenaraikan masalah anda yang berpotensi membawa kepada rasa bimbang  itu satu persatu dan aturkan mengikut keutamaan. Masalah anda mungkin terdapat dalam perkara-perkara berikut :

a.      Musibah kematian, kebakaran, kemalangan dsb.

b.      Kesihatan yang terganggu.

c.      Kewangan yang tidak mencukupi.

d.      Pelajaran yang tidak hadam.

e.      Ikatan tali kekeluargaan yang tidak kuat.

f.        Perhubungan sosial yang terancam.

g.      Tekanan emosi yang tidak menentu dsb.

 

1.4.           Bagaimana anda boleh mengatasi kebimbangan itu ?

a.      Banyakkan do’a dan solat.

b.      Meningkatkan keimanan dan keyakinan kepada ketentuan Allah atau Qada’ dan QadarNya.

c.      Membuat perancangan dan persedian yang terperinci dan rapi untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku.

d.      Membuat andaian risiko paling buruk yang mungkin terjadi ke atas diri anda. 

e.      Menerima kenyataan peristiwa yang berlaku dengan penuh puas dan redha tanpa melupakan punca kejadian dan cara mengatasinya.

 

  1. Lemah lesu dan malas

 

2.1.           Apabila wujud kelesuan, secara pasti akan menyusulnya kemalasan. Ini kerana rasa malas adalah rentetan kelesuan.

 

2.2.           Kelesuan berpunca daripada pemikiran yang negatif, tubuh badan yang tidak sihat, ekonomi yang tidak stabil, maklumat yang kabur, dan persekitaran yang membosankan.

 

2.3.           Anda perlu menyedari kelemahan-kelemahan yang anda sedang hadapi masa kini. Sila semak tingkat pemikiran anda, status kesihatan anda, tahap ekonomi anda, daya ilmu anda dan suasana alam sekeliling anda samada pakaian, makanan, tempat tinggal, keluarga, kawan, guru, buku bacaan atau sumber maklumat dsb. Adakah ianya menjadi sebab dan punca kelesuan atau kelemahan kehendak, semangat, badan dan pemikiran anda ? Jika ya, apa patut anda lakukan perubahan kepada diri anda ?

 

2.4.           Senaraikanlah semua kelemahan anda samada di sudut :

a.      Pemikiran dan sikap.

b.      Kewangan dan bakat.

c.      Persekitaran dan landskap.

d.      Kesihatan dan maklumat.

e.      Perhubungan dan etiket.

f.        Wawasan dan matlamat dsb.

 

2.5.           Bagaimana mengatasi kelemahan dan kelesuan anda ?

a.      Bentuk cara berfikir anda yang positif melalui kelas motivasi dan perbincangan dua hala.

b.      Tambahkan maklumat anda melalui pembacaan yang berterusan dan kepelbagaian bidang.

c.      Sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan anda, menjaga pemakanan yang seimbang dan melakukan senaman yang berpeluh.

d.      Berjimat cermat dalam menggunakan kewangan kepada perkara yang perlu dan penting sahaja. Jayakan amalan penabongan wang.

e.      Binalah personaliti dan persekitaran anda sehingga menjadi kelas pertama.

f.        Jalinkan perhubungan intem dengan rakan yang berfikiran dan bersikap positif.

g.      Elakkan daripada terjebak dan terjerat ke dalam kancah emosi negatif samada marah, benci, dengki, cinta melulu, dan putus asa. Ringkasnya, elakkan diri anda daripada    sifat-sifat tercela dalam Islam dan hiaskan diri dengan sifat-sifat terpuji.

h.     Pupuk semangat dan daya usaha baru yang positif.

 

  1. Pengecut dan bakhil

 

3.1.           Apabila wujud sifat pengecut, secara pasti akan menyusulnya kebakhilan. Ini kerana sifat bakhil adalah ekoran sifat kecut  perut dan kebaculan.

 

3.2.           Pengecut atau bacul merupakan hasil daripada tiada matlamat yang jelas dan cita-cita yang tinggi. Hidup sekadar menurut angin seperti lalang yang melintuk-lintuk ke kiri dan ke kanan tiada pendirian, dan bukan pula hidup merempuh angin seumpama wau yang meninggi tegak.

 

3.3.           Orang yang terlalu takutkan risiko kehidupan seperti takut gagal, takut hilang, takut sakit, takut miskin dan sebagainya sentiasa dihambat rasa bimbang dan kecut perut. Padahal orang-orang yang berjaya di dunia ini hanyalah orang yang sanggup menerima sebarang risiko termasuklah kematian. Berani-bijak tidak pernah memendekkan umur orang dan penakut-bodoh tidak pernah memanjangkan usia manusia.

 

3.4.           Anda mesti menjadi insan pemberani. Sebab orang yang berani mencuba cara baru, berani menanggong risiko, berani menempuh ujian, berani memberi, berani menyahut cabaran sentiasa akan menang dan berjaya.

 

3.5.           Seorang yang pengecut dan bacul sentiasa bekerja membunuh diri sendiri dalam senyap. Dia berusaha membunuh harga dirinya, prinsip hidupnya, akal panjangnya, jiwa raganya, bahkan tubuh badannya. Si pengecut dan si bacul tidak pernah boleh  memimpin dan dipimpin, tidak pernah mengharap dan diharap. Jalan fikirnya ialah berusaha lari bukan berusaha mara, berusaha mengelak diri bukan berusaha menawar jasa. Lantaran itu, jadilah pemberani dan bukan seorang pengecut lagi bacul. 

 

3.6.           Bagaimana anda boleh menjadi pemberani ?

a.      Apabila anda mempunyai cita-cita tinggi lagi mulia dan sentiasa memanaskan penunu kehendak yang berkobar-kobar.

b.      Apabila anda memahami situasi dan keperluan semasa.

c.       Apabila anda sedar kekuatan, kelemahan, halangan dan peluang diri anda dan pihak lain.

d.      Apabila anda sentiasa bersedia dalam menghadapi apa saja kemungkinan yang akan berlaku.

e.      Apabila anda dimandikan dengan air ‘cinta’ yang mendalam.

f.        Apabila anda tidak mahu kalah dan mengalah.

g.      Apabila anda mahukan diri anda yang ada harga dan nilai di sisi Allah dan makhlukNya.

 

  1. Penguasaan hutang dan tekanan orang.

 

4.1.           Apabila wujud penguasaan hutang, secara pasti akan menyusulnya tekanan orang. Ini kerana tekanan orang adalah susulan timbunan hutang.

 

4.2.           Timbunan hutang keliling pinggang dan tekanan orang kiri kanan adalah terjemahan daripada hidup tidak terancang, bernafsu besar dan berjiwa kecil.

 

4.3.           Apabila anda mempunyai banyak ‘keinginan’ nafsu dan halatuju yang tidak tersusun mengikut keutamaan/ kepentingan yang segera dan keutamaan/ kepentingan yang tidak segera, maka sudah tentu jalan hidup anda akan berselirat dengan tugasan yang tidak penting tetapi segera atau tidak penting lagi tidak segera. Hasilnya jelas, iaitu buat sesuka hati menurut nafsu yang tidak terkekang.

 

4.4.           Mungkin juga beban hutang dan desakan orang berpunca daripada gopoh membuat keputusan dan melimpah menaruh harapan. Belum pun pasti hitam putihnya sesuatu, anda sudah membuat keputusan. Akhirnya hutang ! Belum pun pasti akan dapat sesuatu, anda telah menaruh harapan tinggi. Penyudahnya hutang ! Bila berhutang, tentu anda akan merasai tekanan orang secara langsung atau tidak langsung.

 

4.5.           Jalan berfikir orang yang dilingkungi hutang terlalu sempit. Dia akan dihambat oleh perasaan bimbang kalau hutangnya  dituntut  orang sebelum dia bersedia melunaskannya. Jiwanya sentiasa tertekan oleh pelbagai igauan buruk yang tidak berkesudahan selagi hutangnya tidak hilang. Orang yang berhutang berada dipihak yang kalah sepanjang masa sebagaimana orang yang salah berada dipihak yang lemah sepanjang zaman.

 

4.6.           Ingat ! Hutang terlalu luas bidangnya. Hutang wang, hutang budi dan jasa, hutang cinta dan kasih sayang, hutang simpati orang, hutang nyawa, hutang bantuan, hutang subsidi, dan sebagainya. Jangan banyak berhutang, nanti payah hendak membayarnya. Derita kita, biar kita yang tanggung sendiri. Bahagia kita, berilah dikongsikan orang lain.

 

4.7.           Bagaimana cara mengelak daripada penguasaan hutang dan tekanan orang ?

a.      Binalah kekayaan jiwa dan kebesarannya. Itulah kekayaan sejati.

b.      Berqana’ah atau berpada dan merasa puas dengan kurniaan Allah swt., dalam masa yang sama mencari punca kelemahan untuk dibaiki dan merancang untuk perolehan yang lebih baik.

c.      Suluhlah jalan bertindak dengan susunatur ‘penting-segera, penting-tidak segera. Dan jauhilah perkara yang tidakpenting-segera dan tidakpenting-tidaksegera.

d.      Jangan menurut nafsu.

 

Sekian. 170704

Semakan 150107

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(10)

Mari Berfikir Sejenak

 

Asas berfikir.

Berikan jawapan anda kepada soalan-soalan berikut :

  1. Apa yang kita buru dalam hidup ini ? Harta, pangkat, kemewahan, keseronokan atau kebahagiaan ?
  2. Perlukah kita hidup dalam lingkungan disiplin, peraturan, hukum dan undang-undang ?
  3. Perlukah manusia kepada agama ? Dan kalau ya, agama yang mana mesti dianuti oleh setiap manusia ?
  4. Islamkah kita sekarang ? Bagaimana pengesahan Islam seseorang itu apabila baligh ? Adakah kita benar-benar memahami Islam dan menyanjunginya ? Benarkah kita menyintai Islam ? Dan setujukah kita berada dalam peraturan dan lingkungan hukum Islam ?
  5. Tahukah kita kandungan Al-Quran dan tuntutannya ?
  6. Bagaimana cara kita bekerja untuk Islam ?

 

Jawapan yang dicadangkan (lihat lampiran) :

  1. Bahagia di dunia dan di akhirat, atau setidak-tidaknya bahagia di akhirat. (L1)
  2. Ya, terpaksa akur dan tidak mampu mengelak kerana sunnatullah/ semulajadi. (L2)
  3. Ya, tentunya Islam kerana saya membesar dalam masyarakat penganut Islam. (L3)
  4. Ya, tetapi semuanya memerlukan bukti untuk pengesahan. (L4)
  5. Entah, sebabnya saya tidak mendalami bahasa Qur’an dan ilmunya. (L5)
  6. Tentunya mengikut acuan baginda Rasulullah s.a.w. (L6)

 

Generasi Al Qur’an

Tuntutan dan tanggungjawab kita :

  1. Membaca Al-Qur’an dengan tartil/ bertajwid.
  2. Memahami Al-Qur’an mengikut kaedah bahasa Arab yang tepat dan usul tafsir yang diperakukan.

2.1.       Ilmu alat : Bahasa dan lainnya

2.2.       Asbabunnuzul

2.3.       Nasakh mansukh dsb.

  1. Melaksanakan segala kewajipan individu (fardhu ‘ain) selengkapnya.

3.1.       Syahadah

3.2.       Solat

3.3.       Puasa

3.4.       Zakat

3.5.       Haji

3.6.       Akhlak

3.7.       Fardhu semasa

  1. Berusaha melaksanakan kewajipan awam (fardhu kifayah) sedapatnya.

4.1.       Ilmu

4.2.       Kepimpinan

4.3.       Pelaksanaan hukum syara’

4.4.       Fardhu semasa

  1. Perasaan ‘belajar untuk melaksanakan’, atau keimanan mendahului kefahaman dan tindakan.

 (Lampiran 1)

 

Kalau setakat suka dan ketawa hilai itu sudah dikira bahagia, kanak-kanak pun dapat ikut serta orang dewasa merasainya dalam keadaan tidak mengerti hakikat perkara yang diketawakan, tidak memahami sebab dan akibat suasana tersebut. Bahagiakah selepas berkejar-kejaran lalu jatuh tersungkur menyembah bumi ?

 

Kalau setakat seronok dan gembira itu telah dianggap bahagia, para remaja pun boleh berkongsi dengan orang yang matang dan cerdik pandai walhal mereka tidak berfikir baik buruk tindakan yang diambil dan kesan masa depan perbuatan mereka. Bahagiakah selepas bercumbu-cumbuan lalu dicekup oleh pegawai agama ?

 

Kalau setakat senang, tenang dan damai itu sudah dihitung bahagia,  ahli fikir dan pelatih yoga atau petapa pun bisa mengecapi apa yang diboloti oleh orang kenamaan dan filosofi dalam keadaan tidak pasti hujung jatuh dan penyudah kehidupan sesudah mati. Bahagiakah mereka dengan perolehan yang terbatas di alam fana ini, sedangkan di alam akhirat yang pasti datang, mereka merana berpanjangan ?

 

Hakikatnya, bahagia hanya dikecapi oleh mereka yang mengenal Allah (‘Arif Billah) terutama para nabi, golongan siddiq, mereka yang syahid dan orang-orang  solih. Sebagaimana kata Imam Al-Ghazali dalam ‘Ihya’ Uluumiddin’nya (Jilid 1, ms 67-Dar fikri, cetakan ke 3/1991) :

وأما الفوز بالسعادة فلا يناله إلا العارفون بالله تعالى ، وهم المقربون المنعمون فى جوار الله تعالى بالروح والريحان وجنة النعيم ، وأما الممنوعون دون ذروة الكمال فلهم النجاة والسلامة كما قال الله عز وجل (فى سورة الواقعة/ 88-91)

Bermaksud :

“Dan adapun kejayaan mencapai KEBAHAGIAAN maka tidak memperolehinya melainkan oleh orang-orang ‘ARIF (mengenal) Allah Ta’ala, dan mereka itu ialah Muqarrabun (orang yang hampir kepada  Allah dengan ta’at) lagi Mun’amun (orang yang diberi nikmat) berada di sisi (berdekatan)  Allah Ta’ala dengan berehat dan kesenangan dan syurga penuh nikmat. Manakala orang-orang yang ditahan sampai ke kemuncak kesempurnaan maka untuk mereka adalah kelepasan dan keselamatan sebagaimana firman Allah Azza wajalla (dalam surah Al-Waqi’ah/88-91)”

 

Ada ketikanya seseorang itu merasai kebahagiaan yang berkala ; rasa bahagia sebentar kerana sebab-sebab tertentu (seperti dalam alam percintaan sewaktu berada di sisi kekasih) sehingga tidak terkesan bahkan terasa remeh baginya segala ujian dan tribulasi. Namun sesudah itu, datang pula perasaan yang sebaliknya (seperti risau, sedih, takut, marah, benci, menyampah, sunyi, rindu, tersisih, stress dsb) yang menyebabkan bahagia tadi hanya tinggal kenangan. Orang yang merasai bahagia yang sebegini (bahagia berkala atau sekali-sekala) bukanlah dinamakan orang yang bahagia, sebagaimana orang yang tidak berduit sehari dua bukanlah dinamakan orang yang papa kedana. Tetapi orang yang bahagia ialah bahagianya kekal berterusan sampai akhir hayat, samada semasa berduit atau tidak berpitih, semasa disanjung atau disisih, semasa sihat atau sakit, semasa senang atau naif, semasa cergas atau letih… dia tetap bahagia, kerana bahagianya hanya dengan Allah, pergantungannya yang Maha Kaya dan Maha Kuasa !

 

Kalau bahagia diukur dengan tubuh sasa, bukit tentu lebih sasa maka ia akan lebih bahagia. Kalau bahagia diukur dengan kekuatan, singa tentu lebih kuat maka ia akan lebih bahagia. Kalau bahagia diukur dengan kesuburan dan dan berkembang biak, rumput rampai tentu lebih subur dan berkembang biak maka ia akan lebih bahagia. Dan kalau…kalau… Akhirnya, bukan itu kayu ukur kebahagiaan manusia, bukan juga pada harta bertimbun, pengikut berjuta, pangkat bergentayangan, rupa paras berpesona, dan kemewahan berselerak…bukan itu semua. Tetapi bahagia hanya ada pada hati sanubari orang yang ma’rifatullah (mengenali Allah) dan berkekalan sifat itu sampai ke penghujung usia.

 

“مَنْ لمْ تكُنْ له بدَايَة مُحْرقة ، لمْ تكُنْ له نِهَايَة مُشْرِقة.” ابن عطاء الله رحمه الله

Kata Ibnu ‘Ata’illah r.a. :

Orang yang tidak ada permulaan yang membakar, tidak ada baginya kesudahan yang memancar.

 

 “Kelazatan bukan berada pada berehat dan masa kosong, tetapi kelazatan itu berada dalam kepenatan, usaha gigih dan kesulitan ketika berubah pada hari-hari tertentu kepada kerehatan dan masa lapang. Tidak sempurna faedah berpindah dari satu negeri ke negeri lain melainkan apabila jiwa berpindah daripada suatu perasaan ke suatu perasaan. Apabila kerisauan musafir bersamamu, maka anda masih bermukim belum beredar !”

(Wahyul Qalam, Mustafa Sodiq Al-Raafi’iy, jld 1, ms 48.)

 

 

 

 (Lampiran 2)

 

Hidup manusia mesti terbatas samada pergerakan, kemahuan, tindakan, tenaga, keupayaan pancaindera, perasaan, bahkan usia. Itulah sunnatullah (peraturan Allah) di muka bumi.

 

Dalam hidup kita seharian, sudah pasti kita menentukan pelbagai peraturan ke atas diri kita dan orang lain. Bagaimana cara kita makan dan tidur, itulah peraturan yang kita tentukan untuk kita makan dan tidur. Orang lain tidak berupaya menentukan peraturan mereka untuk kita berselera makan dan selesa tidur. Kita pun begitu, tidak berupaya menentukan peraturan buat orang lain secara menyeluruh. Itulah fitrah alam, sunnatullah ! Setujukah kita sebegitu, atau tidak bersetujukah kita, peraturan alam itu mesti dipatuhi. Itu satu. Satu lagi pula, peraturan yang perlu dikongsi bersama sesama makhluk. Haiwan ada kawasan dan tabiatnya. Tumbuhan ada tempat dan sistemnya. Manusia pun ada lokasi dan undang-undangnya. Bahkan semua makhluk termasuklah cakerawala dengan galaksinya. Masing-masing ada tempat dan peraturannya. Bagaimana nak hidup bersama ? Mesti ada peraturan dan undang-undang yang boleh dikongsi dan disepakati. Maka, sesama manusia pun pasti ada peraturan dan undang-undang yang boleh dikongsi dan disepakati. Bukankah manusia sesama bangsanya saling memerlukan antara satu sama lain ?

 

Semasa peraturan dan undang-undang sesama manusia perlu dikongsi dan disepakati, siapakah yang paling layak menentukan peraturan dan undang-undang terbaik untuk semua pihak ?

 

Pada dasarnya, kita terikat dengan satu prinsip :

جلب المصالح ودرء المفاسد

Menarik kepentingan/ manfaat dan menolak kerusakan/ bahaya.

 

Siapakah orang yang paling beroutoriti dan berkelayakan untuk menentukan peraturan dan undang-undang yang menjamin kemanfaatan untuk kita dan menolak kebahayaan ke atas kita smua ? Siapakah yang lebih faham tentang kepentingan kita dan kemudhoratan (bahaya) kita semua ? Kita sesama manusiakah, atau Tuhan Yang Maha Bijaksana ?

 

Di sinilah kewajaran kita menerima disiplin, peraturan, hukum dan undang-undang yang disepakati bersama, tetapi disiplin, peraturan, hukum dan undang-undang itu mestilah yang datang daripada Pencipta iaitu Allah s.w.t yang tidak ada kepentingan bagi pihakNya dalam menentukan manfaat bagi manusia dan menolak mudhorat daripada manusia.

 

Kalaulah kita ‘terpaksa’ hidup dalam lingkungan disiplin, peraturan, hukum dan undang-undang hidup peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan dunia, apa salahnya kita menerima terus disiplin, peraturan, hukum dan undang-undang Allah s.w.t yang dirumuskan daripada sumber hukum Islam  iaitu Al-Qur’an, Al-Hadis, Ijma’ dan Qias ? Kalaulah peraturan badan kita yang memerlukan senaman secara rutin setiap hari untuk menjaga kesihatan, apalah salahnya kita menerima peraturan solat yang lebih menjamin kesihatan badan, emosi, akal dan roh kita ? Kalaulah peraturan keluarga, norma hidup masyarakat, undang-undang sivil negara dan resolusi PBB terpaksa kita patuhi walhal tidak menjamin kebahagiaan kita dan keselamatan dunia, apalah salahnya kita menerima pakai hukum-hakam syara’, hudud dan deklarasi Baginda s.a.w. semasa haji perpisahan untuk keamanan dunia sejagat walhal telah terbukti dalam sejarah tentang kejayaan dan ianya diyakini terjamin pada masa akan datang sehingga ke alam akhirat ? Aslim, taslam ! (Islamlah, anda selamat!).

 

[Ada yang menganggap maqasid ialah maslahah itu sendiri, samada menarik maslahah atau menolak mafsadah. Ibn al-Qayyim menegaskan bahawa syariah itu berasaskan kepada hikmah-hikmah dan maslahah-maslahah untuk manusia samada di dunia atau di akhirat. Perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia. Sementara Al-Izz bin Abdul Salam juga berpendapat sedemikian apabila beliau mengatakan “Syariat itu semuanya maslahah, samada menolak kejahatan atau menarik kebaikan…” ] petikan kertas kerja bertajuk : Maqasid Syar’iyyah….

 

 

 

 (Lampiran 3)

 

Manusia memang mahu berTuhan, samada manusia dulu, manusia kini dan manusia akan datang. Itu disebut fitrah (Fitrah : sifat semula jadi, bakat, pembawaan, atau perasaan keagamaan. Fitratullah : kejadian yang termeterai dalam ketetapan Allah. Kamus Dewan/2002). Kemahuan berTuhan itu menjadikan manusia melakukan pelbagai ritual ibadat (Ritual : tatacara dalam upacara keagamaan, adat, dsb. Kamus Dewan/2002) atau amalan perhambaan diri kepada yang ‘maha kuasa’ dan ‘maha ghaib’. Persoalan keagamaan ini adalah persoalan yang tidak wajar diperdebatkan kerana hampir seluruh manusia ada agama yang menjadi prinsip hidup dan pegangan hati masing-masing. Kalaulah ada orang yang mahu memperdebatkan juga, bolehlah dalam konteks ‘manakah agama yang benar di antara puluhan agama anutan ramai di dunia ini ?’. Dan pastinya, di penghujung perdebatan itu kita akan temui hanya satu fakta yang utuh dan meyakinkan iaitu ISLAM ADALAH AGAMA YANG BENAR !

 

[ Seorang sejarawan dan ahli falsafah yang bernama Arnold Toynbee telah berkata : “Agama adalah pembawaan sejati dan tabie bagi manusia. Cukuplah kita katakan bahawa keperluan kepada agama menyebabkan andaikata seseorang itu putus harapan dia akan mencari hiburan keagamaan untuk menghadapi perkara yang sudah tidak dapat diatasinya.”

Dr Karl Bang telah berkata di dalam bukunya “Manusia Moden Yang Mencari Dirinya Yang Sebenar” : “Setiap pesakit yang meminta nasihat dariku sepanjang tiga puluh tahun yang lepas dari setiap pelusuk alam, adalah disebabkan oleh kekurangan dan kegoyahan kepercayaan (aqidah) mereka. Mereka tidak sembuh melainkan setelah kembalinya kepercayaan mereka.”

William James, ahli falsafah pragmatism berkata : “Ubat kepada tekanan (tidak syak lagi) ialah iman (kepercayaan).”

Dr Brill berkata : “Orang yang benar-benar beragama tidak akan menghadapi sakit jiwa.”

Dale Carnegie telah berkata dalam bukunya “Tinggalkanlah Tekanan (Stress) Dan Mulalah Hidup Baru” : “Para pakar sakit jiwa menyedari bahawa keimanan yang kukuh dan pegangan kepada agama sudah memadai untuk menghalau serta mengubati tekanan dan ketegangan perasaan.”

Dr Henry Lang telah menerangkan dengan panjang lebar di dalam bukunya “Kembali Kepada Keimanan” berkenaan masalah ini serta membuktikannya dengan pengalamannya yang banyak sepanjang tugasnya mengubati sakit jiwa. ]

 

(Pengantar Pengetahuan Islam ; Prinsip, keunikan, matlamat dan sumber. – Oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, edisi terjemahan, terbitan As-Syabab Media, 2000. Ms 22-23)

 

Seorang hakim dari Britain di zaman ini berkata : “Tanpa akhlak tiada undang-undang dan tanpa keimanan tiada akhlak.”  Dan Voltaire pernah berkata : “Jikalau Tuhan tiada, maka menjadi kewajipan kepada kita untuk menciptanya.”

 

(Pengantar Pengetahuan Islam ; Prinsip, keunikan, matlamat dan sumber. – Oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, edisi terjemahan, terbitan As-Syabab Media, 2000. Ms 24)

 

Begitulah pandangan ilmuan moden tentang keperluan agama dan keimanan. Adakah kita yang ‘tidak ke mana’ ini (berilmu tidak, kaya pun tidak, berkuasa tidak, segar bugar tidak, ada kepakaran pun tidak) merasakan tidak berhajat kepada agama dan keimanan ? Memang begitulah sebahagian remaja dan orang dewawa memberi jawapan, kononnya mereka tidak seronok hidup dalam kongkongan dan ‘penjara agama’. Padahal mereka berfikir singkat menurut gejolak nafsu dan emosi, tidak berfikir untuk hidup sampai ke zaman tua dan sesudah mati. Dalam suasana tidak mempedulikan agama itu pun, adakah orang yang ‘tidak seronok hidup dalam kongkongan dan ‘penjara agama’ itu berasa seronok dan bahagia ? Apa bahagianya kalau fikiran suntuk, makan tak cukup, duit tak ada, menjadi kuli memanjang, sakit menjadi-jadi, dan nak buat kerja pun tak reti ? Ada baiknya kalau merana di dunia, tetapi masih selamat di akhirat. Beragamalah saudara, Islamlah ! saudara akan selamat !

 

 

 

 (Lampiran 4)

 

Justeru kita lahir dalam masyarakat penganut Islam yang masih mengamalkan sebahagian ritual agama, maka kita pun diiktiraf sebagai seorang Islam meskipun kita tidak ada kepastian hakikat perakuan Islam itu sendiri. Kita tahu bahawa seorang kafir yang mahu memeluk Islam mestilah mengucap dua kalimah syahadah. Itu sedia maklum. Tetapi kita tidak menyedari pula bahawa kita yang telah Islam di sudut keturunan ini juga memerlukan perakuan syahadah tadi apabila kita baligh’ atau sampai umur (samada melalui : bermimpi, datang haid atau cukup 15 tahun qamariyyah/ hijriyyah).

 

Seseorang yang telah baligh tetapi tidak memahami Islam, tidak faham syahadah dan tuntutannya, tidak tahu solat dan rukun Islam yang lain, tidak jelas aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah, tidak ada rasa bangga dengan agama Islam, tidak kenal dosa dan pahala, tidak tahu yang mana makruf dan yang mana mungkar, dan tidak tersentuh dengan isu-isu umat Islam ; Adakah dia diiktiraf Islam dan masih kekal sebagai seorang muslim sebagaimana sebelum balighnya ? Jawapannya tentu TIDAK ! Jika demikian tadilah kedudukan seseorang yang telah baligh, dia terhitung sebagai seorang yang bukan Islam setelah dikira sebagai seorang Islam sebelum balighnya ! Itulah riddah yang tidak disedari, syirik yang tersembunyi.

 

Baginda Rasulullah s.a.w. sering memohon perlindungan dalam doanya yang bermaksud : “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mohon perlindungan denganMu daripada kami melakukan sesuatu syirik kepadaMu yang kami ketahui, dan kami mohon keampunan daripada syirik yang kami tidak sedari.”

“اللهم إنا نعوذ بك من أن نشرك بك شيئا نعلمه ونستغفرك لما لا نعلمه”

 

Inilah peri pentingnya pendidikan Islam di awal usia kanak-kanak dan semasa remaja. Bukankah Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya ‘suruhlah anak-anak kamu solat semasa usia 7 tahun, dan pukullah jika mereka enggan semasa usia 10 tahun, dan pisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak  perempun’ ? Suruhan hanya ditujukan kepada mereka yang telah mengetahui. Ini bererti kanak-kanak mesti dididik dengan solat sebelum usia tujuh tahun, meskipun mereka belum mengerti hikmah pelaksanaan solat itu. Begitu juga dasar-dasar aqidah dan rukun iman yang teras, perlu diterapkan sebelum usia mencecah baligh dan umur lima belas. Kenapa ? Kerana itulah zaman bermulanya ‘taklif’ dan tanggungan dosa pahala seseorang dalam hidup peribadi. Usia baligh itulah zaman bermulanya tanggungjawab untuk dipikul sendiri.

 

Benarkah kita memahami Islam ? Tetapi kenapa kita tidak terkilan dengan Islam liberal dan sekutunya ?

 

Benarkah kita menyintai Islam ? Tetapi kenapa kita tidak peduli dengan amar makruf dan nahi mungkar (suruh perkara baik dan cegah perkara buruk mengikut syara’) ? Bahkan tidak prihatin pun kepada amalan fardhu ‘ain dan fardhu kifayah !

 

Dan setujukah kita berada dalam peraturan dan lingkungan hukum Islam ? Tetapi kenapa masih anti hudud dan pelaksanaan syari’at Islam ?

 

Berbahagialah orang yang faham, cinta, redha dan beramal dengan syari’at Allah !

 

 

 

(Lampiran 5)

 

[Kitab suci al-Quran adalah Kalam Allah SWT yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, ditulis dalam beberapa naskhah mashaf dan dipindahkan daripada baginda SAW dengan riwayat yang mutawatir. Membacanya merupakan satu ibadah. Inilah ta’rif al-Quran yang dipersetujui para ulama’ Usul Fiqh dan bahasa.] Dipetik daripada kertas kerja MANHAL PMRAM.

 

Al qur’an merupakan kalamullah yang mengandungi perintah dan larangan Allah, atau hukum dan peraturan Allah untuk kebaikan manusia  dan alam sejagat. Membacanya menjadi ibadah. Kebenarannya diperakukan oleh sarjana dahulu dan masa kini. Ia menjadi kesembuhan bagi mereka yang sakit samada zahir maupun batin.

 

Susunan bahasanya indah tidak mampu ditiru orang. Jalinan ceritanya menarik tidak terdaya direka orang. Nasihatnya menyentuh jiwa, mudah terkesan buat orang yang berhati lunak. Peraturan dan hukumnya tegas, amat bermanfaat bagi sesiapa yang patuh dan melaksanakannya.

 

Kita bertanggungjawab membaca Al-Qur’an pagi dan petang, siang dan malam. Kita bertanggungjawab memahaminya, melaksanakan hukum hakamnya, mematuhi perintah dan larangannya dan memupuk rasa cinta yang mendalam kepadanya penghormatan yang tinggi terhadapnya.

 

(Lampiran 6)

 

Imam Hasan Hudhaibi Ismail r.a. berkata :

اعرف ربك وأصلح نفسك وادع غيرك وأقم دولة الإسلام فى نفسك تقم فى أرضك

Kenalilah Tuhanmu, perbaikilah dirimu, serulah orang lain dan bangunkan negara Islam dalam dirimu pasti ia akan tegak di bumimu !

 

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلذِّكْرِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ فَمَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

قَالَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ – البخارى

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani menyatakan dalam syarah soheh Bukhori bahawa kalimah Allah itu ialah Agama Allah, iaitu Islam.

 

Untuk menjadikan Agama Allah itu tinggi mestilah memenuhi sepuluh perkara berikut :

Dasar, prinsip, perlembagaan, akta dan enekmen negara atau negeri berteraskan sumber rujukan Islam iaitu Qur’an, Hadis, Ijma’ dan Qias.

Hukum-hukum Allah dikuatkuasakan dalam negara di semua peringkat.

Lima rukun-rukun Islam iaitu shahadah, solat, zakat, puasa dan haji  dan lima keperluan asas manusia iaitu agama, nyawa, akal, harta, keturunan atau maruah diri  hendaklah terjaga dan dilaksanakan dalam kehidupan masyarakat.

Perilaku dan akhlak Islam seperti amanah, benar, suka menolong perkara kebajikan, mengelak diri daripada kejahatan, mempermudahkan urusan awam, dsb disuburkan dalam pergaulan dan muamalah masyarakat dan keluarga.

Keamanan dan keselamatan awam terjamin oleh keimanan dan sikap penduduk dan ahli masyarakat, dan bukannya bergantung kepada pengawasan polis dan tentera.

Aqidah, syari’at, akhlak, keilmuan, kebudayaan, adat dan rutin hidup individu, keluarga, masyarakat dan negara terjamin dan berasaskan pengajaran Islam.

Manusia sentiasa mengingati Allah dalam segala urusan hidup, sehinggakan orang bukan Islam pun turut menghormati peraturan dan kehidupan masyarakat Islam meskipun mereka masih menganut agama mereka.

Pandangan umum masyarakat dan kira bicara mereka di merata tempat tidak melupakan Allah dan batas-batas syari’atNya.

Syiar-syiar dan perlambangan Islam dijaga dan dihormati.

Hak asasi manusia terpelihara dan diutamakan.

 

Sekian 150307

 

Ogos 10, 2008 - Posted by | Uncategorized

Tiada komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: