Monoja68’s Weblog

RedhaMu, Tuhan!

Mubahalah atau Mulaa’anah : Atas Dasar Islam atau Politik

Mubahalah atau Mulaa’anah[1] : Atas Dasar Islam atau Politik

Monoja68. 170808

 

Isu mubahalah yang sampai ke kemuncaknya pada hari Jumaat, 15/08/08 lepas merupakan satu kes berlatarbelakangkan politik Malaysia dewasa ini. Samada kes benar atau salah, ‘mubahalah’ bukan jalan penyelesaian. Dalam hidup kita, dan dalam Islam, ada kes-kes dan isu-isu yang terlibat dengan hukuman keseksaan (bunuh, rejam, jel, sebat dan lainnya) dan kebendaan(denda). Dan ada kes-kes dan isu-isu yang terlibat dengan tekanan (tekanan fikiran atau emosi) dan do’a (do’a bencana atau kesukaran hidup) yang tidak melibatkan hukuman keseksaan dan denda kebendaan. Sebagai contoh, kes kecurian yang mana pencurinya sempat ditangkap bersama bukti barang curian, maka tidak ada hukuman lain daripada hukuman keseksaan  atau kebendaan. Sekiranya setelah nyata kecurian itu dilakukan oleh pencuri yang ditangkap, tetapi pencuri itu mahu bermubahalah (hukuman dalam bentuk do’a melaknat) kononnya dia tidak mencuri bahkan hanya dipergunakan oleh pihak lain, permintaan itu tidak boleh diterima pakai dan menjadi permohonan yang sia-sia.

 

Itu memang kita rasa tak mungkin untuk dimubahalahkan !

 

Katakanlah seorang pencuri yang disyaki mencuri tetapi tidak ada barang curian bersamanya, (iaitu kes kecurian yang masih diragukan atau sekadar tertuduh yang belum disahkan bersalah) lalu pencuri itu mohon bermubahalah. Adakah wajar diterima ? Juga tidak ! Kerana pendakwa tentu berkeyakinan bahawa setiap orang yang diberi peluang bermubahalah akan seronok menggunakan ‘senjata’ ini untuk melepaskan diri daripada pendakwaan.

 

“Celaka punya pencuri, nak mubahalah kepala hotak kau! Nanti aku akan bawa bukti tentang kes kau depan hakim di mahkamah.” Bentak pendakwa.

 

Kenapa pendakwa tak nak terima permohonan pencuri untuk bermubahalah ? Ini kerana pendakwa mahukan setiap pelaku jenayah mesti dihukum. Untuk dihukum, mesti pendakwaan yang ada bukti yang tidak meragukan pihak hakim. Kalau setiap penjenayah boleh bebas dan lepas daripada hukuman hanya dengan ‘mubahalah’, seronoklah penjenayah-penjenayah kecil dan besar di dunia ini. Dan satu lagi, tak payahlah anggota keselamatan bertugas menangkap penjenayah dan membawa bukti kes ke hadapan pengadilan. Sebab, tentu penjenayah akan minta mubahalah tengah jalan lagi, tak payah ke balai polis, ke mahkamah, ke lokap dan sebagainya. Bukankah mubahalah itu memadai dengan ‘lisan’, dengan ucapan, dengan baca nota saja ?

 

Dalam kes tuduhan liwat DSAI oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang hebat melatari politik Malaysia hari ini, DSAI tidak boleh sekali-kali terlepas daripada pertuduhan dengan hanya ‘mubahalah’ di masjid, masjidil haram sekali pun ! Mohd. Saiful Bukhari Azlan mesti tidak boleh memaafkan DSAI, dan membebaskannya dengan lima minit mengucapkan ‘mubahalah’ itu, sedangkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan menanggung malu berpanjangan dan penderitaan ‘fobia’ diliwat sepanjang hayat. DSAI memang tidak boleh dilepaskan hanya dengan mubahalah. Mohd. Saiful Bukhari Azlan mesti MEMBAWA BUKTI untuk memastikan DSAI dihukum dengan hukuman yang sepatutnya. Nanti, kemudian hari tiada lagi manusia yang berani melakukan liwat dengan pemuda berusia 23 tahun ini.

 

Dunia terbalik !

Menghairankan, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pula yang bermubaahalah ! Macam dia yang kena dakwa. Orang yang kena curi (pendakwa) bermubahalah, pencuri (tertuduh) terlepas ! ‘Gila’ punya cerita. Siapa yang mahu membuktikan ‘peristiwa’ liwat itu benar ? Siapa ? DSAI atau Mohd. Saiful Bukhari Azlan ? Atau Najiib dan Be End ? Kalau Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang nak membuktikan DSAI melakukan perkara bejat itu, bawakan bukti saksi dan bukti sokongan lain, bukannya dengan si pendakwa sendiri melakukan sumpah laknat dan mubahalah. Jangan menterbalikkan dunia kita ini. Orang lain pun nak hidup senang macam kalian juga. Kalau pendakwa bermubahalah, selesaikah masalah jenayah yang dilakukan oleh tertuduh ! Dunia ini akan diselimuti jenayah berjajaran. Orang ramai tidak akan selamat hidup di kawasan penjenayah yang bermaharajalela. Mohd. Saiful Bukhari Azlan mesti berfikir logik dan bersandarkan kepada agama. Si dalang di belakang tabir pun mesti berfikiran logik dan beralaskan agama. Jangan bertindak gelabah sebegitu sehinggakan kanak-kanak pun faham maksud yang dikehendaki.

 

Kalau seseorang menangkap pencuri, kemudian dia yang bermubahalah dan bersumpah dengan nama Allah bahawa dia kena curi, kemudian dia meminta pencuri juga bermubahalah dan bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak mencuri, lingkup dunia ini. Gejala kecurian akan menghantui alam manusia dan haiwan! Semua pencuri berseronok, semua penjenayah berseronok selepas melakukan jenayahnya! Sebab, mereka boleh lepas dengan mubahalah dan pihak pendakwa tidak perlu mendapatkan bukti untuk membawa penjenayah ke pihak pengadilan.

 

Orang yang kena curi semestinya menyerahkan pencuri itu kepada pihak berkuasa. Dakwa pencuri itu dan bawa bukti bahawa dia mencuri.

 

Dalam kes DSAI – Mohd. Saiful Bukhari Azlan, keadilan hendaklah diutamakan. Islam mahukan keadilan dan keamanan. Keadilan menurut Islam ialah mesti dilaksanakan hukuman syara’ ke atas tertuduh jika sabit kesalahan dan dilaksanakan juga hukuman syara’ ke atas pendakwa jika dakwaannya tidak disertakan bukti yang sah, sebab dia telah mengaibkan orang lain dan menjatuhkan maruahnya di khalayak umum. Dan mengikut undang-undang ciptaan manusia yang akalnya terbatas pun sama, iaitu pertuduhan mestilah ada bukti yang jelas, bukan sekadar mahu bermubahalah !

 

Cuma mengikut undang-undang satu sahaja yang dirasakan sesuai untuk bermubahalah ini, iaitu mengikut undang-undang POLITIK ORANG BIJAK (NAJIIB), BARANG NAIK (BE END) DAN DAHRIY (IKUT MASA) !

 

Sedikit komen terhadap suara seorang mufti yang mencadangkan tertuduh juga perlu bermubahalah, janganlah berhasrat supaya cadangan mubahalah ini berterusan dalam  kes jenayah. Sebab risiko besar akan melanda masyarakat yang disumbat halwa ini tanpa dipalu gendang pelaksanaan syariat Islam iaitu hudud, qisos dan ta’zir. Mubahalah bukan di padang jenayah yang telah ada undang-undang syara’, bahkan bukan di paya undang-undang manusia yang turut disediakan peraturannya. Mubahalah sekadar di laman yang abstrak, di kanvas yang tidak boleh dilihat. Sebaiknya, cadangkan supaya pendakwa membawa bukti, manakala tertuduh hendaklah bersumpah. Titik.

   

 



[1] Mubahalah berasal daripada kalimah  al Bahlu  dan ‘al Ibtihal fiddu’a’ yang bermaksud merendah diri dalam berdo’a. Mubahalah pula ialah Mula’anah (Mukhtar al Sihah) yang berasal daripada kalimah al La’nu (Laknat) yang membawa maksud menolak dan menjauhkan atas jalan murka. Demikian itu, jika laknat datang daripada Allah di akhirat, maka ia adalah ‘uquubah’ / denda. Jika di dunia, ia bermaksud terputus daripada menerima rahmat Allah dan taufiqNya. Manakala laknat yang datang daripada manusia, maka ia merupakan do’a kebinasaan ke atas pihak/ orang lain. (Mu’jam Mufradat Alfaz Al Qur’an, oleh Al-Imam Al-Raghib Al-Isfihani, Darul Fikri Lubnan, tanpa tahun.)

Ogos 18, 2008 - Posted by | Uncategorized

Tiada komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: