Monoja68’s Weblog

RedhaMu, Tuhan!

PROGRAM SEPANJANG RAMADHAN

PROGRAM SEPANJANG BULAN RAMADHAN

Konsep : “Memburu Keredhaan Allah.”

 

Peringatan : Lima rukun/ teras Islam ialah :

  1. Syahadat (Keilmuan)
  2. Solat (Kepatuhan)
  3. Zakat (Kebajikan)
  4. Puasa (Kesucian)
  5. Haji (Keamanan)

 

Jadi, puasa amat penting dalam mendidik manusia. Wajarlah Ramadhan dijenamakan dengan nama bulan Puasa. Dalam pada itu, panggilan lengkap bulan Ramadhan adalah lebih baik kerana pelbagai program dalam bulan ini difardhukan, digalakkan dan disarankan untuk pelaksanaan. Ganjarannya pula berganda-ganda.

 

Antara program bulan Ramadhan ialah :

 

Tunggu dulu ! Yang menghairankan ialah umat Islam bertenaga melakukan pelbagai aktiviti ibadat dan khidmat dalam bulan ini, meskipun siang hari kelaparan dan malam hari ‘kekenyangan’. Inikah yang dikatakan mukjizat dan bukti hadis awal Ramadhan rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan daripada api neraka? Ok, teruskan …..

 

  1. Fardhu ‘Ain : Puasa – Jenama utama

 

Dalam bulan Ramadhan, puasa adalah kewajipan setiap individu muslim. Tiada ruang untuk pindahkan tugas peribadi ini kepada pihak lain. Gunanya ? Tentu pendidikan peribadi tentang makna hidup bermasyarakat. Si kaya, tetap merasai keperitan lapar. Sementelahan si miskin. Si gemuk, tetap menanggung kesan dahaga. Apalagi si kurus. Si raja, tetap menempuh gelombang ‘sakit’. Lebih-lebih lagi si rakyat. Jadi, puasa memadukan perasaan dan tanggungan semua peringkat manusia muslim. Maka, tiada lagi kelompok muslim yang sombong angkuh dan penting diri. Itulah sepatutnya.

Apa yang jadi, sebenarnya ?

Apa yang jadi terhadap umat Islam kini dengan pelbagai masalah dan suasana – perkelahian, perpecahan, pertembungan, perdengkian dsb. – bukanlah dihasilkan oleh amalan puasa, tetapi sebaliknya hasil daripada ‘tidak berpuasa’ !

Puasa mesti bersandarkan kepada IMAN, kerana ianya adalah amalan si hamba dengan Tuhannya semata-mata. “Puasa itu untukKu, dan Aku sendiri membalasinya. Dan Kebaikan itu berganda sepuluh kali ganda.” – Riwayat Imam Bukhori. Apabila IMAN menjadi sandaran, maka tidak ada orang yang berpuasa mencari kesempatan untuk membatalkan puasanya dengan apa cara sekalipun. Bukan itu saja, menghilangkan pahala dan ganjaran puasa yang dijanjikan Allah pun tidak tergamak dilakukan, seperti main dam, melepak tanpa tujuan, menonton filem-filem melalaikan, berbual kosong, bertekak dan bertegang leher di atas hal keduniaan, tidur memanjang, dan sebagainya. Berpuasa yang bersandarkan kepada IMAN itu juga mendorong seseorang melaksanakan segala apa yang digalakkan oleh Allah dan RasulNya untuk dilakukan dalam bulan Ramadhan, seperti tilawah qur’an, sedekah, menolong orang yang berhajat, dan sehingga sanggup untuk ‘jihad qital’ dan mati syahid sewaktu berpuasa. Usaha yang dititik-beratkan oleh mereka yang berpuasa di atas dasar IMAN ialah menggarap, merangkul, menguasai, memiliki, memperolehi sebanyak mungkin ganjaran pahala dan keredhaan Allah, di dunia dan di akhirat.

 

  1. Sunat Muakkadah : Solat taraawih – 8 rakaat atau 20 rakaat

 

Dalam bulan Ramadhan, solat dilaksanakan lebih berkali ganda dengan bulan-bulan lain. Solat sunat yang lazim (seperti sunat sebelum dan selepas solat fardhu, solat dhuha, solat tahiyyatul masjid, solat sunat mutlak dan lain-lainnya) kekal mengambil tempat yang biasa, ditambah pula dengan solat taraawih yang dilaksanakan samada 8 rakaat disusuli 3 rakaat witir, atau 20 rakaat disusuli 3 rakaat witir. Tambahan daripada solat-solat itu ialah solat malam selepas tidur yang dikenali sebagai solat tahajjud. Malas-malas orang yang berpuasa, masih juga meneruskan solat taraawih ini meskipun bertengkar dengan mengantuk dan letih. Kalau di luar bulan Ramadhan jangan diharap perkara sebegini terjadi, jauh panggang dari api. Ahli jamaah di masjid pun bertambah, bukan kerana makanan tetapi kerana kecintaan kepada gandaan pahala yang dijanjikan Allah. Bukankah ini berpunca daripada IMAN ?

 

  1. Sunat Muakkadah : Tadaarus Al Qur’an

 

Tadaarus Qur’an yang bermaksud saling membaca dan memerhatikan bacaan orang lain dengan kesediaan menegur dan ditegur merupakan tugas rutin dalam bulan Ramadhan. Qur’an itu panduan hidup dalam pelbagai bidang kerja dan pelbagai sudut aktiviti. Dibacanya secara tadabbur (memerhatikan saranannya), tartil (menjaga kaedah bacaan/ bertajwid), sayu dan syahdu di siang hari atau pun di malam hari. Ini pun menimbulkan kehairanan banyak orang bagaimana kecintaan kepada Qur’an untuk dibaca, difahami, diamalkan dan diagungkan semakin meningkat pada bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain ? Tetapi, seperkara yang perlu disemak kembali ialah tilawah Qur’an yang tidak difahami kandungan Qur’an atau tidak mahu memahami perintah dan larangan Allah di dalam Qur’an. Ini adalah lahir daripada salah faham terhadap matlamat risalah Islam diturunkan kepada manusia. Qur’an dianggap sebagai bahan bacaan berpahala semata-mata, guna mendapat berkat dan pembalasan baik di akhirat. Tidak lebih daripada itu. Pada hakikatnya, Qur’an adalah panduan hidup, undang-undang keselamatan buat manusia dan alam jagat, peraturan yang komplet untuk keharmonian semua bangsa, motivasi yang kemuncak dalam meningkatkan daya kerja dan upaya hidup, jampi yang ampuh dalam meleraikan sihir, bahkan kesembuhan yang praktikal untuk mereka yang sakit. Alangkah indahnya kehidupan kita di bulan ini apabila tumpahan cinta kepada tilawah Qur’an melebar kepada mesra terhadap kandungannya, dengan harapan dan tekad untuk diamalkan dalam rutin hidup kita sepanjang usia.

 

  1. Sunat Muakkadah : Sodaqah (Sedekah) – Sila rujuk : Pandangan Hidupku 3

 

Sodaqah atau Sedekah ialah ‘memberi sesuatu untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dan mengharapkan pahala dan ganjaran’. (Kamus Al-Raid). Atau, sedeqah ialah apa yang dikeluarkan oleh manusia daripada hartanya atas bentuk ‘qurbah’ (pendekatan diri kepada Allah s.w.t.) seperti zakat, tetapi sedeqah pada asalnya dikatakan untuk orang yang sukarela dengannya dan zakat untuk yang wajib. Kadang-kala disebut juga yang wajib itu sedeqah apabila tuannya mencari sifat benar pada perbuatannya. (Mu’jam Mufradat Alfaz Al-Qur’an, oleh Al-Raghib Al Isfihaniy).

Sedekah ini terlalu luas ruang lingkupnya. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud :“Setiap sendi daripada manusia ada (tanggungjawab) sedeqah di setiap hari yang terbit matahari padanya ; Mengadili (mendamaikan) antara dua pihak (yang bertelagah) adalah sedeqah, menolong seseorang atas tunggangannya (kenderaannya), lalu dia membawa ke atas tunggangan (kenderaan) itu atau mengangkat ke atasnya barangan lelaki itu adalah sedeqah, kalimah yang baik (nasihat atau motivasi) adalah sedeqah, setiap langkah yang dilangkahinya menuju solat (di masjid) adalah sedeqah dan menghapuskan bahaya/ gangguan daripada jalan (orang ramai) adalah sedeqah.”  – Riwayat Imam Bukhori dan Muslim

Entahlah, dalam menahan lapar dan dahaga umat Islam digalakkan memberi sedekah lagi dalam pelbagai bentuk. Segala pemberian yang bukan fardhu, dengan perbezaan maksud, menjurus kepada membina keharmonian hidup bermasyarakat. Sedekah ini, hadiah, hibah, wakaf, wasiat, dan lain-lain pemberian semacam membebankan mereka yang berpuasa. Tetapi tidak ! Kerana mereka berpuasa di atas landasan IMAN, mereka tetap sanggup ‘memberi’ lebih daripada hari-hari di bulan lain, sedang hati dan jiwa mereka tetap tenang dan mengharapkan pulangan daripada Allah. Ini merupakan keistimewaan bulan Ramadhan. Dan jauh di hadapan, rasa dengki, dendam, marah, jauh hati, sayu, kecewa, patah semangat, tiada hormat, dan pelbagai penyakit dalaman semakin mengecil dan menyusup pergi. Gantinya, cinta, kasih sayang, hormat menghormati, penghargaan, dan bermacam nilai positif semakin meningkat dan bercambah-cambah. Apa lagi yang dihajati manusia dalam hidup sosialnya ?

 

  1. Sunat Muakkadah : Memberi makan orang berpuasa (Majlis Ifthor)

 

Memberi makan orang berpuasa semasa berbukanya amat digalakkan. Bahkan pada bulan-bulan lain pun adat memberi makan ini digalakkan lantaran ianya mampu meringankan beban mereka yang melarat dan menambah kasih sayang sesama insan. Tetapi, di musim Ramadhan ini makanan atau minuman yang menjadi pembuka puasa seseorang itulah yang paling mahal ganjarannya. Biasanya pula, orang yang memberi makan kepada tetamunya itu tidaklah menyediakan sekadar makanan pembuka puasa, bahkan disediakan makanan sepuas rasa dan selera.

 

Orang-orang yang berada yang memberi makan dan mengajak orang lain berbuka dengan makanan yang disediakannya tidak merasa sombong dengan kemampuannya dan orang yang bertamu di rumah atau di hidangan si kaya pula tidak merasa dengki dendam dengan si kaya. Terpahat di fikiran mereka yang kekurangan bekal jasmani rasa hormat dan penghargaan kepada orang yang bersimpati. Maka, tiada lagi penyakit iri dan benci di kalangan masyarakat sebegini.

 

  1. Akhlak : Tidak berkelahi (Saya berpuasa)

 

Apabila orang tertentu mendesak tuan untuk berkelahi, tiba-tiba tuan menjawab : “Ma’af, saya berpuasa,” agaknya bagaimana sikap orang tersebut ? Rasanya dia tidak lagi mendesak untuk memuaskan nafsunya. Andaikata semua orang yang berpuasa berazam tidak mahu berkelahi, masih ada lagi kah orang yang tak tahan untuk bertindak kasar dan bersengketa ? Agak sukar mengandaikan demikian. Lebih hampir ialah orang yang panas baran akan surut mengalah, orang yang ‘gedebe’ akan malu alah, dan orang yang mencari nama akan terpukul dengan sikap angkuhnya itu. Tuan yang nampak mengalah dari awal menjadi pemenang, pemenang mengawal nafsu dan kontrol emosi.

 

  1. Akhlak : Sabar dengan karenah lapar dan dahaga ; marah, merungus, mendesah, gelojoh, meluru, dll.

 

Sabar, luas skopnya. Semasa berdepan dengan musuh, ia disebut ‘berani’. Semasa menghadapi tarikan dunia, ia dikatakan zuhud. Sewaktu ditimpa bencana, ia dipanggil ‘sabar’ juga. Ketika keinginan tidak kesampaian, ia dinamakan ‘qana’ah’ atau berpada dengan apa yang ada. Begitulah di masa-masa yang lain, sabar diungkapkan dengan bahasa yang berbeza untuk menggambarkan situasi yang ada. Dalam bulan Ramadhan ini sabar semakin hebat berkuasa. Paling tidak, sabar dan sanggup menahan diri daripada berbuka sehingga tiba masanya, tenggelam mentari di senja hari. Hasil sabar itulah, terpancarnya kegembiraan : ‘ORANG YANG BERPUASA ITU MEMPUNYAI DUA KEGEMBIRAAN, KEGEMBIRAAN YANG PERTAMA KETIKA MASA BERBUKA PUASANYA DAN KEGEMBIRAAN YANG KEDUA MASA MENEMUI TUHANNYA.’

 

  1. Akhlak : Meninggalkan bahasa lucah, melolong dan seumpamanya.

 

Seperti sabar, meninggalkan bahasa lucah, sumpah palsu, melalak melolong dan meninggikan suara tanpa keperluan yang sah merupakan akhlak terpuji. Ia menggambarkan kedamaian jiwa dan ketinggian budi pekerti seseorang. Ianya sekaligus menterjemahkan apa yang tersimpan dalam fikiran seseorang. Sikap memerlukan pasakan idea tertentu ke dalam pemikiran dan fikiran bawah sedar kita, paling tidak selama 21 hari atau tiga minggu.[1] Sebulan bulan Ramadhan sudah mencukupi untuk membentuk pemikiran dan tabiat positif seseorang.

 

  1. Fardhu Kifayah :Membantu orang yang melarat

 

Membantu orang yang hidup melarat adalah tugasan fardhu kifayah. Bantuan itu berkecukupan dengan seorang, maka yang lain terlepas tanggungan dosa, manakala yang seorang itu menggondol gandaan pahala. Sebaliknya bantuan itu tidak memadai dengan seorang, bahkan memerlukan puluhan, ratusan, ribuan dan jutaan orang seperti ‘mengundi pemimpin negara’ untuk menegakkan keadilan, maka sudah tentu sebanyak itulah kecukupan yang diperlukan. Mereka yang tidak ikut serta membantu sedangkan tanpa bantuan dirinya masalah tidak dapat diselesaikan, maka berdosalah mereka itu. Begitulah fardhu kifayah, mengikut bilangan pendokong yang mencukupi untuk menyelesaikan kemelut hidup.

 

  1. Fardhu ‘Ain : Zakat Fitrah dan lain-lain aktiviti termasuklah jihad fiisabiilillah.

 

Tugasan ini adalah salah satu kewajipan teras dan rukun yang lima penegak bangunan Islam. Di lain lembaran insyaAllah, bicara zakat, jihad dan lainnya bermula.

 

Petikan Quran :

 

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ(183)أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ(184)شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنْ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمْ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمْ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمْ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ(185)وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِي إِذَا دَعَانِي فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ(186)

 

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

 

Petikan Hadis :

 

 

  مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ – البخارى

 

“Siapa membangunkan Ramadhan dengan penuh IMAN dan MENGHARAPKAN GANJARAN DI SISI ALLAH, diampunkan baginya dosa-dosa (dosa kecil) yang telah lalu.”

 

  إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ – البخارى

 

“Apabila masuk bulan Ramadhan, dibukalah pintu-pintu langit, dikunci pintu-pintu neraka Jahannam, dan dibelenggu para syaitan.”



[1] Berapa lama masa/ tempoh untuk membina fikiran bawah sedar/ Bicara Kendali Diri atau autosugesti  seseorang ?

1.      Dr Robert Anthony berkata : “Dapatkan kebiasaan dalam masa 21 hari. Mari kita menoleh ke belakang untuk melihat seketika suatu teknik belajar yang sederhana namun sangat berkesan. Teknik ini dinamakan KEBIASAAN 21 HARI. Telah dibuktikan bahawa masa 21 (dua puluh satu) hari sudah cukup untuk menghilangkan suatu kebiasaan buruk yang sudah lama bertapak pada hati dan kelakuan seseorang dan membina suatu kebiasaan yang baru dan positif. Teknik ini akan memakan waktu selama lebih kurang sepanjang itu ialah bagi mamastikan anda dapat memahami dan menyerap ke dalam diri petunjuk-petunjuk dalam buku ini.” ms. xxi.

Dalam buku yang sama beliau menyatakan : “Tindakan penggerak yang dinamis dengan menepati janji paling tidak selama dua puluh satu hari akan berhasil dengan kakuatan ajaib yang dapat memperkuatkan sikap itu.” Ms. 59.( Buku : Rahsia Membina Keyakinan Diri Sendiri – Dr Robert Anthony. Edisi terjemahan Bahasa Malaysia , cetakan ALBAZ/2000 )

2.       Shad Helmstetter, Phd berkata : “ Jika anda serius tentang keinginan anda untuk menambahkan pendapatan anda, mulakan dengan memberikan diri anda Bicara Kendiri tentang nilai diri  dan nilai kewangan selama tiga minggu – kemudian tetapkan matlamat anda dan tuliskan perancangan anda.  Setelah anda menentukan siapa diri anda sebenarnya, dan apa keupayaan anda, lebih senanglah untuk anda melihat apa yang perlu dilakukan seterusnya. Mulakan dengan pemprograman anda ; yang selebihnya akan menyusul.” Ms. 122.( Buku : Apa Yang Perlu Dikatakan Apabila Anda Berbicara Dengan Diri Sendiri – Shad Helmstetter, Phd. Edisi terjemahan Bahasa Malaysia, cetakan ALBAZ/2000 )

3.       Hj Ab Fatah Hasan berkata : “ Alex Osborn telah dapat membuktikan bahawa orang yang berlatih membuat kiraan yang mudah dengan cara mencongak selama dua puluh minit setiap hari selama dua puluh hari  berturut-turut boleh meningkatkan daya perhatian dan pemusatan.” ms. 52.( Buku : Penggunaan Minda Yang Optimum Dalam Pembelajaran – Hj. Ab Fatah Hasan, Unit Penenrbitan Akademik UTM Sekudai/1994 )

4.       Para Ulama Islam berkata : “Amalkan wirid ini ….. selama 21 hari atau 41 hari …….”

 

 

September 1, 2008 - Posted by | Uncategorized

1 Komen »

  1. Excellent way of explaining, and pleasant article to take
    data regarding my presentation topic, which i am going to deliver in college.

    Komen oleh feel like makin love lyrics | Disember 31, 2014 | Balas


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: