Monoja68’s Weblog

RedhaMu, Tuhan!

MUSLIM : APA YANG MESTI DIFAHAMINYA ?

ANDA SEORANG MUSLIM ? MAKA, ANDA MESTI MEMAHAMI :

 

  1. AGAMA DAN PRINSIP AKIDAH ANDA
  2. DIRI ANDA DAN MANUSIA SEUMUMNYA
  3. KEBUDAYAAN DAN PERATURAN SEMASA
  4. SEJARAH ISLAM, DUNIA DAN TEMPATAN
  5. HAK DAN KEWAJIPAN SEMASA
  6. KEMUNGKINAN DAN ANDAIAN MASA DEPAN

 

 

PENJELASAN UMUM :

 

Apabila anda seorang muslim/ muslimah, semestinya anda memahami perkara-perkara pokok dalam agama anda, memahami fitrah dan peraturan Allah yang ditetapkan bagi diri anda sebagai manusia dan tabiat manusia secara umum (psikologi & sosiologi). Selain itu, anda juga mestilah memahami budaya setempat anda, adat istiadat dan peraturan yang digunapakai di tempat anda samada di kalangan keluarga, kampung halaman, daerah, jajahan, negeri, negara dan iklim sekitar anda. Berkenaan sejarah Islam, sejarah dunia dan sejarah tempatan anda pun amat penting difahami, terutama peristiwa-peristiwa penting, tokoh-tokoh dan sebab/ punca kejadian. Dan yang paling praktikal ialah memahami tugas, tanggungjawab, peranan, hak dan kewajipan anda yang semasa atau sekarang, kehidupan anda yang hakiki, iaitu apa dan bagaimana anda mesti bertindak hari ini!. Demi kejayaan anda, jangan lupa untuk memahami pelbagai andaian dan kemungkinan masa depan peribadi anda, masyarakat, negara, alam semesta anda dan khususnya agama anda !

 

 

HURAIAN MENGIKUT KATEGORI :

 

1.      AGAMA DAN PRINSIP AKIDAH ANDA

            Anda mestilah memahami akidah dan agama yang anda anuti ; asal usulnya, tabiatnya, intipatinya, perkara pokok ajarannya, perkara cabang ajarannya, ruang lingkup capaiannya, sistem undang-undang di dalamnya, saranan membinanya dan kesesuaiannya bagi manusia dan alam jagat. Kenapa ? Kerana akidah dan agama merupakan tanah air, bangsa dan keluarga seorang mukmin. Ia juga peta hidup manusia walaupun ada orang yang menafikan kepentingan agama. Agama dalam maksud mempercayai kuasa luar yang tidak tertanding oleh jangkauan akal dan fizikal manusia, juga agama dalam maksud peraturan dan undang-undang yang mesti diterimapakai untuk kehidupan manusia.

           

            [Di sini, maksud agama dalam lingkaran perhubungan manusia dengan Yang Dipuja semata, atau maksud agama di sudut spritual sahaja tidaklah dikehendaki. Itu bukan maksud agama yang dikehendaki di sini. Agama yang dimaksudkan di sini ialah prinsip yang dipertahankan untuk keselamatan zahir dan batin, peribadi dan awam,  manusia dan makhluk lain, hidup dan mati. Prinsip itu menjadi peta dan pandu arah manusia seluruhnya dalam menempuh kehidupan !]

 

            Islam sebagai agama anutan anda, mesti difahami.

           

            Asal usulnya datang daripada Tuhan Pencipta Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui, Tuhan yang disebut Allah. Tabiatnya sederhana dalam apa jua permasalahan dan situasi, tempat dan zaman.  Intipatinya ialah memberi keselamatan kepada umat manusia dan alam jagat dan menolak segala bentuk kemudharatan kepada diri, orang lain dan alam maya. Perkara pokok ajarannya ialah keyakinan kepada Yang Maha Esa, Maha Kuasa dan Maha Mengetahui, menjamin kemaslahatan manusia untuk hidup di dunia dan hidup di alam selepas mati, alam akhirat.

 

            Perkara cabang ajarannya berkaitan dengan hukum hakam kehidupan samada hukum hakam ibadat khusus seperti solat dan rukun Islam yang   lain ; hukum hakam mu’amalat seperti jual-beli, urusan harta dan urusan pergaulan yang lain ; hukum hakam munakahat seperti kahwin, cerai, penjagaan anak dan pelbagai masalah rumah tangga ; hukum hakam jinayat  seperti hudud, qishos dan ta’zir ; dan al-qada’ seperti sistem perlantikan khalifah, pentadbiran negara dan khidmat masyarakat.

 

            Ruang lingkup capaiannya meliputi semua kehidupan dahulu, sekarang dan akan datang, merangkumi zahir dan batin, segala makhluk, semua keperluan yang tergambar oleh manusia dan hidupan lain. Sistem undang-undang di dalamnya adalah jelas, mudah dan fleksibel merangkumi pelbagai aspek dan masalah. Saranan membinanya menyentuh jiwa raga manusia, merangsang fikiran dan hati kecil insan. Dan kesesuaiannya bagi manusia dan alam jagat telah dinikmati oleh mereka yang terdahulu, terbukti dalam zaman moden hari ini, dan terpanggil oleh tuntutan semasa zaman akan datang.  

 

 

2.      DIRI ANDA DAN MANUSIA SEUMUMNYA

            Diri anda dan manusia lain perlu difahami. Anatomi, tabiat dan keperluannya. Rangka lahir, urutan psikologi dan roh siratannya. Sekilas pandang, andalah yang lebih faham tentang diri anda, zahir dan batin. Namun, praktisnya tidak terjadi demikian apabila anda mengambil sesuatu keputusan yang menguntungkan diri tetapi menjahanamkan orang lain, anda membuat suatu tindakan yang menyelamatkan anda tetapi memudhoratkan pihak kedua dan ketiga. Kenaapa boleh berlaku demikian ? Sebabnya, antara lain, anda tidak sedar tentang hakikat keputusan yang anda ambil apakah berasaskan pertimbangan akal atau menurutkan runtunan nafsu, apakah berteraskan kajian teliti pelbagai aspek atau mengikut pandangan sekelumit ilmu ? Lalu, bagaimana seharusnya anda menilai keperluan peribadi dan tabiat manusia ? Dalam hal ini, Allah jualah yang Maha Mengetahui hakikat diri anda dan rupa sebenar diri manusia. Sumber asas rujukan Islam iaitu Al-Qur’an dan Al-Hadis membuat garis panduan lengkap untuk memahami diri dan manusia ini. Kajian para peneliti menjadi pemudah cara dalam memahami hakikat diri dan manusia. Anda boleh mengambil pengajaran daripada kajian manusia yang bertaburan itu, namun tidak boleh keluar daripada garis panduan yang dilakarkan oleh Allah dalam wahyuNya.

 

            Diri anda ada fizikalnya, ada mentalnya, ada nafsu dan emosinya dan ada jiwa dan rohnya. Setiap kategori itu ada makanan dan baja buat menyuburkan pertumbuhannya. Badan perlukan tenaga dalam makanan berkhasiat. Akal perlukan tenaga dalam ilmu yang bermanfaat. Emosi perlukan perkembangan dalam kasih sayang dan penghargaan. Dan roh perlukan santapan ibadat dan heningan fajar.

 

            Manusia sebagaimana diri anda jua, mempunyai tabiat dan sifat yang tidak berasingan daripada diri anda. Cuma, manusia ini merangkumi pelbagai ragam dan watak yang membezakan antara satu dengan yang lain, namun keperluannya semenjak dulu sampai kini dan akan datang pun tetap tidak berbeza ; menarik manfaat untuknya dan menolak mudhorat daripadanya ! Manusia dulu mempunyai ransangan seksual yang mampu mengembangkan zuriat, manusia kini dan akan datang pun bertabiat yang sama. Manusia dulu mempunyai keinginan peribadi yang berbentuk makan minum, pakaian, kerehatan, seksual, perlindungan, komunikasi dan lain-lain lagi ; begitulah manusia kini dan akan datang. Manusia dulu ada yang mengeluh, sedih, sakit, derita, marah, rakus, gopoh, tahan senafas, gembira, sihat, bahagia, santun, berpada, hati-hati dan pelbagai sifat-sifat negatif dan positif ; begitulah manusia kini dan akan datang. Bersambungan, berlanjutan, berterusan dan berantaian tabiat manusia ini semenjak dulu, kini dan selama-lamanya, samada jasmani, emosi, roh dan intelektualnya. Inilah yang memudahkan diri anda dan manusia umum sewaktu mengambil pelajaran dan peringatan dalam menempuh perjuangan hidup.

 

3.      KEBUDAYAAN DAN PERATURAN SEMASA

            Kebudayaan merupakan adat-istiadat, bahasa, pegangan, kepercayaan dan peraturan yang bertulis dan yang bukan bertulis yang bersebati dalam kehidupan sesuatu masyarakat. Anda mesti memahami dan mendekatinya untuk membolehkan anda mengecapi rukun damai liku-liku kehidupan bersosial dan untuk memudahkan anda melakukan perubahan apa-apa yang perlu diubah.  Jika anda tidak mendalami kebudayaan setempat, anda akan terasing jauh daripada massyarakat tersebut dan jauh sekali berpeluang merubah jalan kehidupan yang perlu diubah. Peraturan semasa, iaitu peraturan yang digunapakai dalam masyarakat setempat juga mesti difahami dan diteliti agar boleh mempertahankannya atau dapat mengubahsuai yang mana perlu diubahsuai. Di sinilah peri penting dan gunanya ilmu psikologi (kejiwaan) dan sosiologi (kemasyarakatan). 

 

4.      SEJARAH ISLAM, DUNIA DAN TEMPATAN

            Anda mesti memahami sejarah lantaran sejarah itu berulang. Sejarah manusia, sejarah alam, sejarah perundangan, sejarah agama-agama, sejarah peperangan, sejarah pembangunan fizikal, sejarah perkembangan pemikiran, sejarah Islam, sejarah dunia dan sejarah tanah tempat tumpah darah anda.

           

            Sejarah ini amat penting, sehingga orang yang tidak ada sejarah masa silamnya, tidak akan ada masa depannya. Dan yang paling hebatnya ialah orang yang sanggup mencipta sejarah gemilangnya. Di sebalik itu ialah orang yang paling hina, iaitu orang yang mencipta sejarah juga, tetapi sejarah hitam yang membuatkan generasi selepasnya mengutuk dan mencelanya. Anda boleh memilih untuk mencipta sejarah kebanggaan, atau mencipta sejarah kehinaan atau mencipta hidup tanpa sejarah yang dititip orang. 

           

5.      HAK DAN KEWAJIPAN SEMASA ATAU SEKARANG

            Anda memikul tugas, tanggungjawab dan kewajiban semasa di samping memiliki hak dan tuntutan yang boleh anda menuntut daripada pihak yang berkenaan.

           

            Anda mesti memahami secara jelas dan mendalam tugas, tanggungjawab dan kewajipan yang sedang anda pikul pada masa ini, pada hari ini! Anda mesti sedar zaman mana anda hidup, tempat mana anda berpijak.

 

            Dalam usia persekolahan dan pengajian tinggi, kewajipan anda berbeza daripada zaman terjun ke gelanggang masyarakat awam. Zaman pertama (usia persekolahan dan pengajian tinggi) anda tidak perlu banyak memikirkan tentang bekerja menyara hidup, bertungkus lumus mencari rezeki, membanting tulang mendapatkan sesuap makanan seteguk minuman. Tugas itu merupakan tugas orang tua anda aatau penjaga anda, selain sekali-sekala anda diminta membantu dan meringankan tugasan mereka. Bahkan kewajipan anda di zaman ini ialah berusaha mencari ilmu, gigih menggali maklumat, tekun menguasai pelajaran, di samping mencari sedikit pengalaman hidup dan belajar berdikari. Memang zaman belajar ini ada kepenatan, ada keperitan dan ada ujian. Maklum sajalah anda berada di period masa ilmu belum ada, maklumat masih kontang, pengalaman tidak ke mana, dan pandangan panjang sejengkal, sudah tentu sukar menghadapi tugas mencabar menimba ilmu, mengingat fakta, dan menganalisis maklumat. Tetapi zaman itu anda belum banyak menghadapi beban tanggungjawab dan risiko tugas. Purata risiko dan masalah anda diambil-alih dan dipedulikan oleh orang tua dan para penjaga ; sakit demam, wang ringgit, kemarahan orang, gangguan fizikal, mental dan seksual, dan apa jua permasalahan dan kesilapan. Dan kalaulah anda tersilap di zaman belajar, tidak ada orang mencela anda di atas kesilapan itu justeru anda masih dalam tempoh belajar dan latihan. Tidak sebagaimana orang yang berada di zaman kedua dalam menempuh hidup, di mana kesilapan adalah kesalahan dan dosa!

 

            Zaman kedua (terjun ke gelanggang masyarakat awam) jauh berbeza dengan zaman pertama tadi. Zaman ini anda mestilah bertanggungjawab penuh tentang bekerja menyara hidup, bertungkus lumus mencari rezeki, membanting tulang mendapatkan sesuap makanan seteguk minuman, meneruskan pencarian ilmu, menanggung risiko tugas peribadi, keluarga dan orang yang berada di bawah tanggungan anda. Lebih mencabar. Lebih menghimpit kotak fikiran anda berbanding semasa belajar dulu. Manakala kesalahan isteri, anak-anak, dan orang tanggungan anda menghempas di atas bahu anda. Begitulah sukar dan mencabarnya zaman kedua dalam kehidupan anda.

 

            Walau bagaimana sukar dan mencabarnya menempuh hidup ini, anda tetap mesti mara terus tanpa ragu dan bimbang. Kenapa ? Kerana orang lain pun melalui jalan yang sama, menempuh denai yang serupa. Lagi pun Allah memberi jaminan bahawa bersama kepayahan itu ada kemudahan, di samping penderitaan itu ada kebahagiaan. Pengalaman mereka yang terdahulu menjadi cagaran dan panduan berguna kepada anda. Lazimnya, usaha ikhtiar, kerahan tenaga, berdisplin, mengatur jadual tugas, do’a dan tawakkal menjadi laluan mudah menghadapi cabaran hidup. Pokoknya anda mesti mengenal pasti hak dan kewajipan anda. Hak adalah sesuatu yang boleh dituntut, dan kewajipan adalah sesuatu yang mesti ditunaikan.

 

6.      KEMUNGKINAN DAN ANDAIAN MASA DEPAN

            Anda mesti memahami kemungkinan dan andaian yang akan berlaku pada masa depan dengan mengambil kira situasi masa kini. Apakah kemungkinan akan terjadi kepada diri anda sewaktu usia 20’an, 30’an, 40’an, 50’an dan zaman tua nanti ? Kemungkinan sakit, gagal, kalah, lumpuh rugi dan sebaliknya. Kemungkinan kahwin, mendapat zuriat, kenaikan pangkat, dibebani tugas paling berisiko dan menjadi pemimpin besar. Kemungkinan positif dan juga negatif. Kemungkinan bencana alam hasil tangan-tangan jahat manusia. Kemungkinan banjir, kemarau, kebakaran, kemalangan, dan apa saja yang tidak diingini atau pun yang diimpikan. Senarai kemungkinan ini wajar dicatat dan disemak selalu untuk perhatian anda. Di atas kemungkinan-kemungkin inilah kita dapat membuat persediaan yang lebih rapi dan lebih berwibawa. Di sinilah anda kelihatan lebih dewasa daripada usia anda sekarang, bijak mengandaikan kemungkinan masa depan dan bersedia menghadapinya.

 

Selamat maju jaya 180708

Monoja.

 

September 9, 2008 - Posted by | Uncategorized

Tiada komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: