Monoja68’s Weblog

RedhaMu, Tuhan!

17 RAMADHAN – NUZUL QUR’AN

Saya tidak berhasrat menulis tentang Quran yang saya sendiri tidak menjiwainya 100% dalam kehidupan. Namun, sebagai pengukuhan minda terhadap Qur’an, saya menggagahi diri menyentuh sedikit tentang Qur’an sebagai perkongsian pengalaman.

Hari ini, Kelantan cuti menghormati peristiwa nuzul Qur’an. Mungkin hasratnya memberi peluang umat Islam mengambil masa menatap Qur’an, memahami, menghayati dan menyeliti peringatannya ke celah-celah aktiviti hidup seharian. Qur’an adalah mukjizat utama dan terbesar baginda Rasulullah s.a.w. Di dalamnya, melalui jumlah ayat 6,236 ayat itu (di kalangan masyarakat Jawi/ Melayu kita, bilangan yang masyhur ialah 6666 ayat. Di kalangan mereka yang belajar ilmu-ilmu Qur’an jumlah ayat berkisar jumlah di atas mengikut perbezaan pendapat ulama’), ada undang-undang yang terlibat dengan denda, ada peraturan yang tidak melibatkan denda tapi ada dosa, ada saranan pendorong dan ada saranan pencegat/ menyekat. Ada ayat hukum dan ada ayat sejarah dan pengajaran. Ada cerita pengurusan hidup dunia sejagat dan ada cerita kehidupan akhirat. Ah, segala-galanya ada dalam Qur’an samada kenyataan secara lengkap seperti hal aqidah, ibadat dan akhlak, dan ada yang hanya disebut secara simbolik dan formula seperti tentang khilafah dan pemerintahan.

Di sini, saya nak ceritakan kisah yang boleh dikongsikan :

1. Bacalah Qur’an dalam keadaan mana pun (yang tidak dilarang syara’), mata anda tetap bercahaya dan tidak mengganggu penglihatan anda.

2. Kalau anda boleh memahami terus melalui bahasa Arab, bacalah sebanyak mana pun anda tetap akan menemui ilmu baru dan tenaga segar.

3. Surah Al Baqarah, seperti yang disebut Baginda s.a.w. sebagai benteng sesebuah rumah daripada gangguan jin syaitan, memang memberi faedah yang besar dalam menjaga kedamaian rumah tangga. Pengalaman saya, selepas membaca lengkap satu surah Al Baqarah sewaktu merawat isteri yang disihir, ternyata setelah sedar daripada tidur seperdua malam, kelihatan di sekeliling bilik yang saya tidur mereka yang mengawasi saya dengan penuh kasih sayang. Kedamaian menyimbah perasaan saya yang membuatkan saya selesa tidur kembali untuk rehat selepas kepenatan bergelut dengan ‘pengganggu’. Hasil daripada peristiwa itu, saya berkeyakinan penuh dengan apa yang Nabi s.a.w sabdakan, dan juga dengan kemukjizatan Qur’an.

4. Membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan kandungan Qur’an oleh peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan dunia akan memberi kesan positif kepada kehidupan dunia kita dan kehidupan akhirat nanti. Kalau anda seorang individu, Qur’an menghiburkan perasaan anda sehingga terasa kuat dan bertenaga kembali. Kalau anda ketua keluarga, anda akan perolehi panduan yang lengkap mengharmonikan sesebuah keluarga. Kalau anda ketua masyarakat, anda akan ketemui peraturan yang indah dalam melahirkan masyarakat yang harmonis. Kalau anda ketua negeri/ negara, anda akan dapati undang-undang hudud, qisos dan ta’zir akan melahirkan negara yang aman dan maju. Dan kalau anda berada di tahap internasional, anda akan perolehi panduan yang menyeluruh untuk memakmurkan bumi ini.

5. Musuh-musuh Islam semenjak dulu sampai kini, dan sehingga qiamat nanti, bertungkus lumus mencari kelemahan Quran untuk diserlahkan, kemudian dibobrokkan, kemudian diketawakan supaya orang ramai tidak lagi membaca dan berpandukan kepada Qur’an itu. Tetapi apa hasilnya ? Tidak pernah terjadi walau seketika, andaian kelemahan itu diperolehi, diketemui, dipamerkan, digembar-gemburkan kepada awam selain sedikit yang kononnya menjadi modal orientalis dan murid-muridnya untuk menimbulkan keraguan masyarakat Islam dan dunia. Kami yang mempelajari ilmu-ilmu Qur’an di Universiti Al-Azhar, Mesir, merasakan apa yang dijaja oleh orientalis itu tidak lebih daripada mengulangi cerita basi yang lampau.  Sehingga kini, siapa yang mampu melahirkan sebuah kitab rujukan yang sedia dibaca oleh orang yang marahein dan gelandangan, dan lebih-lebih lagi sedia dibaca dan dihadhamkan oleh ahli bijak pandai sedunia ; muslim atau non-muslim, yang ada ciri-ciri kesamaan dengan Qur’an ? Siapa yang sanggup ; individu atau kelompok ? Inilah antara ciri-ciri mukjizat Qur’an ; tak tertanding oleh kemampuan akal manusia, kerana ianya adalah wayhu Tuhan Yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana.

Oleh itu, Qur’an adalah kitab yang paling baik untuk kita hayati di sepanjang bulan ini dan bila-bila masa pun. Marilah kita memulai hari ini, masa ini, menggapai Qur’an dan menyintainya. Cinta, membuatkan kita lupa kekurangan sesuatu. Manakala perkara yang tidak ditemui kekurangan seperti Qur’an, cinta mengangkat kita ke puncak kehidupan, sedia mati mempertahankannya! 

4.26 pm 17 Ramadhan 1429 = 17/09/08

September 17, 2008 - Posted by | Uncategorized

Tiada komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: