Monoja68’s Weblog

RedhaMu, Tuhan!

Perbahasan Islam-Kristian 1

Pendahuluan.

 

13/09/2008, 8.00am

 

 

Suatu hari saya dikejutkan oleh satu e-mail daripada rakan saya tentang do’a yang bertajuk : Adakah Tuhan Menjawab Do’a Kita ?, yang diambil daripada suatu sumber  berasal daripada laman web kristian berbahasa Melayu yang diterjemahkan daripada laman web berbahasa Inggeris (saya sengaja tidak menyebut laman-laman web tersebut untuk menjaga rakan-rakan yang tidak mendalam dalam pengajian Islamnya meninjau ke laman web tersebut tanpa bekalan yang berpatutan). Semua artikel dalam laman web berbahasa Melayu saya salin ke laptop saya untuk dikaji dan dibahas, kemudian dihidangkan semula ke hadapan pembaca. Laman web Kristian itu tidak dibuka untuk forum, hanya ada ruang soalan dan akan dijawab melalui e-mail. Saya rasa hairan kenapa ruang forum tidak dibuka untuk bebas berbahas dengan adab-adab yang baik demi mencari kebenaran yang mutlak. Di atas suasana itu, saya rasa terpanggil untuk berbicara dan bersemuka hujjah dan fakta antara Islam dan Kristian, walaupun Syeikh Ahmad Deedat r.a. telah lama menguburkan hujjah-hujjah Kristian ini di setiap perdebatan Islam-Kristian.

 

Tajuk pertama yang saya ikut serta perbahasan ini ialah ADAKAH TUHAN WUJUD ?

 

  1. Adakah Tuhan Wujud           

Sebelum perbahasan sekitar tajuk ini diteruskan, saya kira patut didahului beberapa tajuk kecil yang dapat melancarkan perbahasan mengenai tajuk utama. Tajuk-tajuk kecil itu ialah pertama, Apa Itu Kepercayaan ?, kedua, Perlukah Manusia Kepada Agama ? dan ketiga, Manakah Agama Yang Paling Tepat dan Benar ?

                                               

1.1. Apa itu kepercayaan

 

Sebelum membicarakan tentang wujud Tuhan, adalah mesti kita membicarakan dahulu tentang apa itu kepercayaan.  Kepercayaan merupakan teras perbahasan kepada Wujud Tuhan dan agama. Simpang siur perbahasan tentang Ketuhanan dan Agama adalah hasil adanya kepercayaan.

 

Apa dia kepercayaan ?

Anthony Robbins menyebut :”Satu ketetapan yang paling kuat mempengaruhi hasil ialah kepercayaan, iaitu pesanan yang sesuai dan secara konsisten dihantar kepada otak dan sistem saraf. Bagi kesemua kuasanya, tidak ada keajaiban yang sukar difahami terlibat dalam proses ini. Kepercayaan hanyalah suatu keadaan, satu gambaran dalaman yang menguasai tingkah laku….. Kelahiran kecemerlangan bermula dengan kesedaran kita bahawa kepercayaan ialah satu pilihan. Kita selalunya tidak memikirkan begitu, tetapi kepercayaan boleh menjadi pilihan yang disedari. Anda boleh memilih kepercayaan yang menghadkan anda, atau anda boleh memilih kepercayaan yang menyokong anda. Tekniknya ialah memilih kepercayaan yang  membawa kepada kejayaan dan hasil yang anda mahukan dan untuk membuang yang menahan anda…… Kepercayaan kitalah yang menentukan berapa banyak potensi kita yang boleh dipergunakan. Kepercayaan boleh membuka atau menutup pengaliran idea.……

 

Dari mana datangnya KEPERCAYAAN ?

Kepercayaan terhasil daripada : PERSEKITARAN… PERISTIWA SAMADA KECIL ATAU BESAR… ILMU PENGETAHUAN… HASIL KITA YANG DAHULU…. MEWUJUDKAN DALAM FIKIRAN PENGALAMAN YANG ANDA INGINKAN DI MASA HADAPAN SEOLAH-OLAH BERADA DI SINI SEKARANG. (Imaginasi)…

 (Sila lihat : Kuasa Infiniti…  Oleh Anthony Robbins, Bab 4 ms 56-61/ 1999)

 

Kepercayaan hanyalah suatu keadaan, satu gambaran dalaman yang menguasai tingkah laku….Apabila anda percayakan sesuatu atau seseorang, anda menerimanya tanpa berbelah bagi samada perkataan, perbuatan, prinsip dan pegangan hidup, bahkan watak dan pergerakan fizikal.

 

Islam menyebut IMAN dan AQIDAH

 

Antara banyak perkara yang lucu di dunia ini ialah kepercayaan kepada ‘HANTU’ (Adakah pembalikan daripada kalimat TUHAN ?) yang menguasai masyarakat Melayu dan banyak manusia dahulu dan masa kini. Wujudkah hantu ? Padahal belum anda lihat dan tidak dapat anda buktikan kepada sesiapa jua. Sekadar anda melihat sendiri dalam mimpi, ketika sedar di waktu-waktu tertentu dan melalui khayalan pembikin-pembikin filem-filem seram, tetapi tidak dapat membawa bukti ke hadapan awam secara ‘segar’ dan ‘hidup’, bukanlah kenyataan dan pendakwaan yang boleh disahkan, melainkan oleh mereka yang benar-benar mempercayai  anda! Namun, manusia banyak tetap merasa takut tentang hantu dan ceritanya, lebih-lebih lagi apabila berbicara tentang hantu di hutan rimba di waktu malam pekat berduaan sahaja. Anda takutkan hantu ? Saya Takuuuuut ! Semuanya kerana KEPERCAYAAN. Kepercayaan ini adalah hasil maklumat terdahulu, pendidikan (ditakut-takutkan secara berulangkali dan berterusan) dan pengalaman.

 

Sebenarnya, pada hemat saya, hantu adalah khayalan manusia dalam menterjemahkan kes-kes, peristiwa-peristiwa dan pengalaman-pengalaman yang lalu tentang  alam JIN dan MALAIKAT. (Ini pun dua jenis makhluk yang berhajat kepada KEPERCAYAAN – Tiada bukti yang boleh digenggam dan didedahkan kepada orang ramai, selain bekas-bekas, kesan-kesan dan pengalaman orang-orang yang terlibat dengan rasukan, dan selain data-data kajian ilmiyyah/ akademik berkenaan wahyu Allah)

Kepercayaan mampu mencipta keluarbiasaan dalam hidup manusia !

 

1.2. Perlukah manusia kepada agama

 

Untuk tajuk ini, saya hanya menukilkan apa yang ditulis oleh Prof. Dr Yusoff Al Qaradhawi dan sedikit ulasan saya seperti berikut :

 

[ Seorang sejarawan dan ahli falsafah yang bernama Arnold Toynbee telah berkata : “Agama adalah pembawaan sejati dan tabie bagi manusia. Cukuplah kita katakan bahawa keperluan kepada agama menyebabkan andaikata seseorang itu putus harapan dia akan mencari hiburan keagamaan untuk menghadapi perkara yang sudah tidak dapat diatasinya.” Dr Karl Bang telah berkata di dalam bukunya “Manusia Moden Yang Mencari Dirinya Yang Sebenar” : “Setiap pesakit yang meminta nasihat dariku sepanjang tiga puluh tahun yang lepas dari setiap pelusuk alam, adalah disebabkan oleh kekurangan dan kegoyahan kepercayaan (aqidah) mereka. Mereka tidak sembuh melainkan setelah kembalinya kepercayaan mereka.” William James, ahli falsafah pragmatism berkata : “Ubat kepada tekanan (tidak syak lagi) ialah iman (kepercayaan).” Dr Brill berkata : “Orang yang benar-benar beragama tidak akan menghadapi sakit jiwa.” Dale Carnegie telah berkata dalam bukunya “Tinggalkanlah Tekanan (Stress) Dan Mulalah Hidup Baru” : “Para pakar sakit jiwa menyedari bahawa keimanan yang kukuh dan pegangan kepada agama sudah memadai untuk menghalau serta mengubati tekanan dan ketegangan perasaan.” Dr Henry Lang telah menerangkan dengan panjang lebar di dalam bukunya “Kembali Kepada Keimanan” berkenaan masalah ini serta membuktikannya dengan pengalamannya yang banyak sepanjang tugasnya mengubati sakit jiwa. ]

 

(Pengantar Pengetahuan Islam ; Prinsip, keunikan, matlamat dan sumber. – Oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, edisi terjemahan, terbitan As-Syabab Media, 2000. Ms 22-23)

 

[Seorang hakim dari Britain di zaman ini berkata : “Tanpa akhlak tiada undang-undang dan tanpa keimanan tiada akhlak.”  Dan Voltaire pernah berkata : “Jikalau Tuhan tiada, maka menjadi kewajipan kepada kita untuk menciptanya.”]

 

(Pengantar Pengetahuan Islam ; Prinsip, keunikan, matlamat dan sumber. – Oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, edisi terjemahan, terbitan As-Syabab Media, 2000. Ms 24)

 

Begitulah pandangan ilmuan moden tentang keperluan agama dan keimanan. Adakah kita yang ‘tidak ke mana’ ini (berilmu tidak, kaya pun tidak, berkuasa tidak, segar bugar tidak, ada kepakaran pun tidak) merasakan tidak berhajat kepada agama dan keimanan ? Memang begitulah sebahagian remaja dan orang dewawa memberi jawapan, kononnya mereka tidak seronok hidup dalam kongkongan dan ‘penjara agama’. Padahal mereka berfikir singkat menurut gejolak nafsu dan emosi, tidak berfikir untuk hidup sampai ke zaman tua dan sesudah mati. Dalam suasana tidak mempedulikan agama itu pun, adakah orang yang ‘tidak seronok hidup dalam kongkongan dan ‘penjara agama’ itu berasa seronok dan bahagia ? Apa bahagianya kalau fikiran suntuk, makan tak cukup, duit tak ada, menjadi kuli memanjang, sakit menjadi-jadi, dan nak buat kerja pun tak reti ? Apa bahagianya apabila kekayaan harta dan wang ringgit menghambat diri ke hulu ke hilir memenuhkan keinginan yang tidak sudah-sudah ? Ada baiknya kalau merana di dunia, tetapi masih selamat di akhirat. Beragamalah saudara, Islamlah ! saudara akan selamat !

 

Manusia memang mahu berTuhan, samada manusia dulu, manusia kini dan manusia akan datang. Itu disebut fitrah (Fitrah : sifat semula jadi, bakat, pembawaan, atau perasaan keagamaan. Fitratullah : kejadian yang termeterai dalam ketetapan Allah. Kamus Dewan/2002). Kemahuan berTuhan itu menjadikan manusia melakukan pelbagai ritual ibadat (Ritual : tatacara dalam upacara keagamaan, adat, dsb. Kamus Dewan/2002) atau amalan perhambaan diri kepada yang ‘maha kuasa’ dan ‘maha ghaib’. Persoalan keagamaan ini adalah persoalan yang tidak wajar diperdebatkan kerana hampir seluruh manusia ada agama yang menjadi prinsip hidup dan pegangan hati masing-masing. Kalaulah ada orang yang mahu memperdebatkan juga, bolehlah dalam konteks ‘manakah agama yang benar di antara puluhan agama anutan ramai di dunia ini ?’. Dan pastinya, di penghujung perdebatan itu kita akan temui hanya satu fakta yang utuh dan meyakinkan iaitu ISLAM ADALAH AGAMA YANG BENAR !

 

1.3. Manakah agama yang paling tepat dan benar

 

Di para atas tadi telah disinggungkan sedikit tentang agama yang mana wajar menjadi pilihan manusia. Seorang muslim tentu menjawab : “Islamlah yang paling baik!” Orang Kristian pula menjawab : “Kristianlah yang paling baik!” Penganut agama lain juga menjawab bahawa agama anutan mereka sahajalah yang paling baik.

 

Semua orang ada jawaban mengikut apa yang diyakininya. Tetapi cuba anda bayangkan keyakinan anda sewaktu remaja atau kanak-kanak dahulu, adakah ‘keyakinan’ anda ketika itu sebenar-benar keyakinan yang bersandarkan hujjah dan lojik yang kuat ? Tidak ! Sewaktu anda asyik bermain dengan kawan-kawan sebaya menjelang Maghrib, ayah atau ibu datang mendesak pulang. Katanya : “Pulang cepat, hantu berkeliaran di awal senja begini.” Anda percayakah tentang hantu sewaktu asyik bermain ? Tidak ! Tetapi apabila semua kawan-kawan anda beransur pulang, tinggallah anda sendirian dengan rasa seram dan seriau bulu roma anda mengingatkan kata ‘hantu’ yang disebut oleh ibu anda tadi. Sebenarnya, mana satu keyakinan anda yang hakiki ? Tiada hantu atau ada hantu ? Kedua-duanya itu hanyalah sekadar keyakinan tanpa hujjah dan dalil bukti. Itu sekadar kepercayaan kanak-kanak dan remaja.
Sememangnya anda akan menyebut : “Ini keyakinan saya !” Seolah-olah tidak ada ruang untuk mengubah pegangan, kepercayaan dan keyakinan anda lagi oleh sesiapa pun. Senggang beberapa hari anda telah bertindak sebalik daripada ucapan anda tadi. Kenapa ? Anda menjawab : “Berubah keyakinan!” Jadi, bagaimana dengan keyakinan terdahulu ? Jawaban seratanya ialah kayakinan terdahulu tidak disertai hujjah dan bukti, berbeza dengan keyakinan hari ini.

 

Namun, apabila saya bertanya lagi : “Keyakinan anda hari ini adakah berdasarkan hujjah dan bukti ?” Anda kemarahan mendengar soalan begitu. Semacam mencabar anda. Walhal anda masih percayakan hantu, kan ? Mana hujjah dan buktinya ? Anda makin marah. Jangan, kemarahan itu adalah di antara tanda-tanda tidak mampu mengemukakan hujjah, lalu membuka terjah, sepak, tumbuk, tampar, dan kalau tak dapat juga bersumpah! Seperti sumpah Saifool si pembancuh kopi dan sumpah si Najeeb pengebom berani mati. Bawakan hujjah dan bukti untuk membenarkan keyakinan anda.

 

Begitu jugalah remaja yang suka berpeleseran, bercandaan, berduaan, berempit/ berkempit dan sebagainya. Semuanya memberi jawapan yang diyakini, sehingga sepasang teruna-dara (entah masih teruna entah masih dara) yang lari ke ‘seberang’ mahu kahwin, dengan berani dan penuh yakin mengalas tindakan mereka dengan berkata : “Kami sanggup sehidup semati, melintang lalu membujur patah, susah sama dijinjing senang sama dipikul, melentang berminum embun meniarap bermakan pasir dan bla, bla, bla……” dan akhirnya kembali melutut ke pangkuan ayah bonda memohon bantuan dan sokongan lantaran tak tahan lagi hidup berduaan dalam kepayahan. Di mana keyakinan mereka ?

 

Agak jauh saya berkayuh meninggalkan tajuk, tapi berkaitan.

 

Soal keyakinan sahaja tidak memadai. Keyakinan yang sebenar mestilah beralas dan berhujjah, berbukti dan berdalil. Keyakinan bukan keras kepala, tapi keras kepala memang berkeyakinan. Orang yang berkeyakinan boleh bertolak ansur, tetapi orang yang keras kepala tiada tolak ansurnya, tidak mengendah. Saya yakin saya benar tetapi tiada bukti yang boleh saya lemparkan ke muka, seperti keyakinan saya tentang manisnya gula. Itu tidak dapat dinafikan hakikatnya. Tetapi dalam keyakinan beragama dan berprinsip hidup, kita mesti mempunyai dalil bukti yang mempertahankan pegangan dan prisip hidup kita.

 

Kesimpulan, agama manakah yang paling benar dan paling baik untuk dianuti adalah berkaitan dengan pilihan hati seseorang terhadap pelbagai agama di atas muka bumi ini, samada agama langit (Islam, Yahudi, Kristian dan seumpamanya) atau agama bumi (Hindu, Buddha, Majusi, Pengikut hawa nafsu, Penyembah berhala, dan sebagainya), pilihan hati yang bersandarkan dalil bukti yang jelas tentang Ketuhanan, Kehidupan selepas mati, Syurga dan Neraka, Roh, bahkan tentang Peraturan dan Undang-undang kehidupan di dunia ini, dan apa saja yang berkaitan dengan agama dan kepercayaan. Adalah tidak adil mempertahankan agama anutan yang sedia ada pada anda hari ini sedangkan anda tidak tahu sandaran dan dalil bukti kebenarannya, dan menolak agama lain yang anda juga tidak memahami isi kandungan dan dalil bukti kebenarannya.

Di sinilah kita memerlukan perdebatan, perbahasan, perbandingan dan pembuktian hujjah dan dalil tentang keyakinan kita terhadap anutan masing-masing. Ayuh ! kita mulakan di sini ! Sajikan bukti-bukti kamu, sekiranya kamu benar !

 

  1. Adakah Tuhan Wujud ?

 

Tajuk ini tidak sepatutnya diperdebatkan. Sebab, manusia yang sihat badan dan fikiran tidak mampu menafikan wujud Tuhan, Tuhan Yang Maha Kuasa. Bayangkan anda membuat penerjunan setinggi 1000m mengguna payung terjun yang termoden. Tiba-tiba payung anda menghadapi masalah teknikal yang tidak dijangkakan semasa anda mula terjun. Anda masih tidak berTuhan  sewaktu itu ? Ooooo tidak !! Oh Tuhanku ! Terbetik di hati paling dalam anda dengan penuh pengharapan agar Yang Maha Kuasa menyelamatkan anda. Itulah perakuan yang jelas anda mempercayai wujudnya Allah. Dari mana keluarnya kalimat itu kalau bukan daripada sifat manusia yang semula jadi diciptakan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa ? Itulah maksud saya kita tidak sepatutnya membahas tajuk wujudnya Tuhan.

 

Namun, sebagai pengukuhan kepada keyakinan yang sedia ada, marilah kita menimba maklumat sokongan untuk memantapkan keyakinan kita tentang adanya Tuhan, walau pun sedikit dan sebentar :

 

1.      Alam Semesta tanda adanya Tuhan Pencipta.

Bumi dan planet-planet lain di alam ini membuka minda orang yang menggunakannya tentang adanya Pencipta. Kedudukan bumi yang tidak terjauh daripada matahari yang menyebabkan ianya membeku, dan tidak terdekat kepada matahari yang menyebabkan ianya mencair, bukanlah suatu kebetulan, dan mustahil terjadi dengan sendiri. Kesesuaian bumi untuk membekalkan keperluan hidup manusia yang bersifat kebumian : tanah, air, api dan angin menjadikan kehidupan di bumi ini bagi manusia adalah satu ‘kehendak’ Yang Maha Kuasa, bukan terjadi secara tiba-tiba dan bukannya sekadar letupan ‘bang’ yang  tidak tidak diketahui sumber.

  

2.      Keunikan anatomi badan manusia

Susun atur tubuh badan manusia yang memperlihatkan keindahan yang berbeza daripada makhluk lain terutama pada kebolehan dan keupayaan otak berfungsi yang tidak ada ciptaan yang lebih rapi daripadanya. Ini adalah satu tanda adanya Pencipta Yang Maha Tahu. Begitu juga kadar dan jenis darah dalam tubuh manusia, anti bodi yang mampu menjaga badan manusia daripada serangan musuh, urat saraf dan semua sistem badan manusia yang mempamerkan ada Pencipta Yang Maha Kuasa dan Maha Tahu.

 

3.      Peristiwa-peristiwa yang luarbiasa

Dalam banyak peristiwa dan kejadian yang dihadapi oleh manusia dan makhluk lain di muka bumi ini, ada kedapatan peristiwa-peristiwa yang keluar daripada ‘logik’ dan peraturan yang lazim, namun tidak diketemui rahsia bagaimana ianya boleh terjadi. Contohnya terlalu banyak dalam paparan peristiwa ganjil di kaca TV Astro. Keluarbiasaan ini sudah tentu ada penjaganya Yang Maha Tahu dan Maha Kuasa. Selain itu, peristiwa kemuncak yang dicapai oleh karamah para wali Allah dan mukjizat para nabi Allah tidak dapat diketepikan justeru ianya maklumat yang absah dan konkrit untuk diterimapakai sebagai berita dan sejarah. Maka, adakah semua itu terjadi tanpa Tuhan Pencipta ? Mustahil !

  

4.      Terjemahan batin manusia

Dalam lubuk hati manusia yang paling jauh sentiasa ada terjemahan tentang adanya Tuhan Pencipta Yang Maha Agung, Maha Pengasih, Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Di kejauhan malam yang sepi, manusia bangkit sendirian memerhati alam sekeliling dengan segala kesunyian, kesayuan dan kekesitan yang melampau, terutama apabila berada di hutan yang jauh daripada manusia umum. Sewaktu itu, muncullah pelbagai perasaan yang mencengkam jiwa seseorang yang akhirnya mengucapkan kalimat pasti dan jelas : “Oh, Tuhanku!” Begitu juga di saat tersepit yang tidak ada lagi harapan sesama makhluk di alam semesta ini membantu dan menyelamat. Akhirnya, tergumam di bibir si hamba ini kalimah : “Ya, Tuhanku!” Inilah terjemahan batin manusia yang meyakinkan adanya Tuhan, Pencipta alam semesta.

  

5.      Tidur dan Kematian

Dalam tidur manusia, terjadilah peristiwa yang tidak terungkai sampai ke hari ini, iaitu mimpi. Mimpi merupakan peristiwa aneh yang tidak ada terjemahan tepat untuk menta’rifkan hakikatnya. Wujudnya tidak dirancang oleh manusia, meskipun dipasangkan niat yang serius untuk tidak bermimpi semasa tidur. Siapa yang membawa datang mimpi-mimpi manis, pahit, takut, ghairah dan pelbagai situasi yang tidak mudah digambarkan ini untuk manusia, kalau bukan Yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana ?

 

Kemudian mati, satu peristiwa kemusnahan jasmani manusia dan berakhirnya kehidupan di alam dunia ini untuk menyambung kembali perjalanan di alam lain, iaitu alam barzakh atau alam kubur. Apakah kesudahan bagi kematian ? Tamatkah kehidupan manusia dengan kematian ? Kematian akan membawa pergi bersamanya segala keindahan, kecantikan, kekuatan, kepintaran dan keistimewaan seseorang yang menyebabkan manusia terpaksa akur garis penamat apa saja kebanggaan diri manusia. Apabila sampai digaris penamat yang bernama kematian, hilanglah segala-galanya daripada manusia itu. Tetapi, tamatkah kehidupan manusia ? Tidak…… keadilan hidup manusia belum terbalas, belum tercapai, belum terukir sepenuhnya. Maka, selepas kematian itu semestinya ada kehidupan yang mengembalikan hak-hak manusia yang dirampas dan segala kezaliman akan dibalas. Kematian ini menghajati suatu kuasa mutlak yang mengendalikannya iaitu Tuhan Yang Maha Kuasa.

 

6.      Wahyu langit

Tanda adanya Tuhan, antara lain ialah wahyu Allah yang disampaikan kepada para Nabi : Zabur di turunkan kepada Nabi Daud a.s, Taurat diturunkan kepada Nabi Musa a.a., Injil diturunkan kepada Nabi Isa a.s. dan Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., manakala suhuf atau lembaran-lembaran diturunkan kepada nabi-nabi yang lain secara berasingan.

 

Apa kaitan penurunan wahyu langit dengan kewujudan Tuhan, dan bagaimana boleh mensabitkan perihal wahyu dengan adanya
Tuhan ?

 

Begini, wahyu langit atau wahyu Allah samada Al-Quran bagi umat Islam, Injil bagi umat Kristian dan lain-lain kitab yang didakwakan sebagai wahyu dari langit mestilah tahan diuji kebenarannya sebagai kitab dan wahyu daripada Allah, melalui kajian akademik yang paling kukuh sistemnya.    Al-Quran merupakan kitab panduan hidup umat Islam, adalah sebuah kitab yang boleh disabitkan kesohehannya. Saya yang membaca Al-Quran berulangkali (lebih 50 kali khatam), apatah lagi seorang yang hafaz Qur’an yang mengkhatam Qur’an ratusan kali, tidak pernah rasa bosan dan muak dengan Qur’an. Setiap kali membacanya, ada saja maklumat segar yang memberikan keyakinan terhadap wujudnya Allah. Inilah kaitan wahyu langit dengan masalah wujud Allah. Dalam agama lain, saya tidak pernah lalui, sementelahan pula agama-agama yang mendakwa ada wahyu dari langit juga, tetapi keaslian teksnya sudah kabur dan terlalu diragui.

 

7.      Keghaiban dll.

Satu lagi tanda wujudnya Allah, iaitu perkara-perkara ghaib termasuklah roh manusia (kita mempercayai diri kita ada mempunyai roh, apabila mati, ke mana menghilangnya roh itu. Tentunya ada kuasa lain Yang Maha  Kuasa menguasai roh itu), jin (berlaku rasukan dan pertemuan-pertemuan yang terkeluar daripada sistem biasa bagi tabiat manusia), malaikat (gambaran yang kedapatan dalam perakuan Nabi Muhammad s.a.w yang sabit keabsahannya), syurga (kesudahan yang kemuncak bagi kebahagiaan), neraka (kesudahan yang kemuncak bagi kecelakaan), qiamat/ kehancuran mutlak, kebangkitan semula, graviti, haba, eletrik, bunyi, cinta, keinginan, keyakinan, pemikiran dan sebagainya.

 

Keghaiban itu menarik perhatian manusia yang berfikir untuk memperakukan kewujudan Tuhan, Tuhan yang bersifat dengan sifat Kesempurnaan Mutlak dan tiada sebarang kekurangan, kelemahan dan kecacatan.

 

********

 

Tetapi sayang sekali dalam agama Kristian, wujud Tuhan telah diselubungi kelemahan yang melampau, di mana Isa Al Masih a.s. dianggap anak Tuhan yang dikatakan [Tuhan sendiri turun menjadi manusia dan menggantikan kita menerima hukuman dosa“Tuhan begitu mengasihi dunia sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya sesiapa yang mempercayai-Nya tidak akan binasa tetapi memperolehi hidup kekal.”Yohanes, 3 : 16.] Ungkapan ini jelas menggambarkan Tuhan itu lemah sehingga memerlukan manusia untuk menjelmakan diriNya (Keberhajatan Tuhan kepada makhluk adalah gambaran kelemahan. Maha Suci Allah daripada demikian). Kalaulah Tuhan itu perlu menjelma yang sebagaimana  tergambar pada pandangan makhluk, sudah tentu Tuhan itu ada ‘persamaan’ dengan makhluk samada jin, malaikat dan makhluk lain. Tetapi Tuhan yang sebenar yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan tidak boleh digambarkan oleh khayalan manusia dan segala makhluk ini. Selagi tergambar di khayalan manusia, selama itulah ianya BUKAN Tuhan yang sebenar. Dalam isu ini, akal mesti mengakui keterbatasannya yang tidak mampu menggambarkan Tuhan Yang Sebenar secara arca dan rupa paras. Apa yang boleh ialah memberi sifat dengan segala sifat kesempurnaan dan menyahkan daripadaNya  segala sifat kekurangan, kelemahan dan kecacatan.

 

 

September 19, 2008 - Posted by | Isu semasa

2 Komen »

  1. bagus sekali komentar ini. saya setujupendapat anda. tapi ketahuilah, jika Allah tidak memberi hidayat kepada seseorang itu selagi itu lah ia tidak mendapat petunjuk.berdoalah semoga Allah selalu menetap dan meniggikan Iman kita kepadaNya.berilah kami kefahaman ilmu untuk mengenalMu wahai Tuhan Yang Maha Agung.bertafakurlah….

    Komen oleh shaharudin | Julai 4, 2009 | Balas

  2. Renungan….

    Komen oleh Pojan Jaklah | Februari 15, 2012 | Balas


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: