Kepercayaan !
Penggerak hidup manusia ialah kepercayaan, membenarkan, iman! Samada kepercayaan itu di atas sesuatu yang benar atau kepada sesuatu yang salah, ia tetap menggerakkan manusia menuju apa yang dipercayai itu. Kepercayaan merupakan sumber tenaga yang menghidupkan enjin aktiviti manusia. Lantaran itu wajar setiap kita menggilap kepercayaan kita kepada perkara yang benar, agar kita mampu menghidup dan mengaktifkan kebenaran itu. Kepercayaan boleh bertambah dan boleh berkurang mengikut pertambahan fakta yang didapati dan mengikut asakan dan ulangan kerja apa yang dipercayai itu. Inilah yang menjadikan solat difardhukan setiap hari, guna menancapkan kepercayaan atau iman kepada Allah mengukuh ke dalam diri – zahir dan batin !
Dalam perkara yang jelas pada akal atau disebut logik, bersandarkan kepada dalil dan bukti yang sah, hendaklah setiap kita akur dan mengukuhkan kepercayaan tentang kebenaran perkara itu sepanjang masa, saban ketika. Islam menyebut perkara itu sebagai ‘Qat’iy‘. Dalil dan bukti yang sampai kepada kita ada dua perkara yang perlu diawasi ; pertama, keabsahan dan ketepatan dalil itu sampai daripada sumber pokok yang tidak boleh dipertikaikan, di mana apabila benar dalil dan bukti itu datang daripada sumber aslinya maka disebutkan sebagai qat’iyyatul wurud (kedatangan dalil yang pasti) dan jika ada kemungkinan tidak benar walau pun kemungkinan itu kecil maka disebut zhanniyyatul wurud (kedatangan dalil yang kurang pasti), kedua, petunjuk daripada dalil dan bukti itu memberi maksud yang konkrit kepada perkara tertentu atau mempunyai ‘kemungkinan’ makna lain yang boleh diandaikan, di mana apabila jelas maksud dalil itu hanya tertentu kepada satu tujuan maka ianya disebut qat’iyyatud dalaalah (petunjuk yang pasti) dan jika ada kemungkinan bagi maksud-maksud lain daripada maksud asal perkataan yang digunapakai maka ianya disebut zhanniyyatud dalaalah (petunjuk yang kurang pasti).
Perkara yang mudah difahami dan tidak memerlukan daya fikir yang tinggi disebut sebagai ‘badiihiy’ atau ‘ma’lum bid dhoruurah’ (diketahui secara mudah), seperti satu lebih kecil bilangannya daripada dua atau seumpama ayah lebih tua daripada anak. Memahami perkara sebegini tidak memerlukan kekuatan akal seseorang. Namun adakalanya satu lebih berharga daripada dua atau lebih apabila dilihat dari sudut nilai dan mutu sesuatu. Contohnya seorang nabi lebih berharga daripada dua orang manusia biasa atau lebih ramai lagi. Sewaktu ini, logik satu lebih kecil daripada dua menjadi batal dan salah. Ini pun sekira dirujuk kepada nilai dan harga sesutu perkara. Tetapi jika dilihat kepada bilangan dan urutan angka sememangnya satu tetap kekal lebih kecil daripada dua.
Kepercayaan terhadap sesuatu mestilah bersandarkan kepada kebenaran sesuatu itu. Manakal nilai kebenaran pula mestilah bersandarkan kepada manfaat yang hakiki sesutu itu kepada manusia sejagat dan alam seluruhnya. Maka di sini, siapakah yang mampu menilai manfaat hakiki yang menyeluruh ini kalau bukan Pencipta manusia dan alam ini ? Maka sekali lagi, kepercayaan kepada Allah mestilah mengatasi segala kepercayaan kepada perkara lain selain Allah.
Kepercayaan kepada Allah hendaknya mengatasi kepercayaan kepada manusia, harta, wang, makanan, tenaga, dan segala benda yang kelahirannya adalah alam – Alam adalah selain Allah !
Semoga kita sedar tentang asas ini !
Sepanjang Shawwal 1429h…
Sepanjang Syawwal 1429h ini, tiada apa yang saya tuliskan untuk dipostingkan ke blog ini selain tip motivasi. Itu pun dalam masa sehari dua lepas hari raya. Rupanya, minat menulis ini tidak begitu mendalam masuk ke lubuk hatiku. Mungkin justeru halangan dan kekangan kerja yang menghambat tumpuan menulis. Apa pun, minat menulis mampu mencuri masa mereka yang sibuk untuk menulis.
Dewasa ini banyak benda yang wajar ditulis. Isu politik memang menarik. Isu agama dan mazhab pun banyak yang mendesak agamawan untuk menulis. Isu sosial apa kurangnya. Isu ekonomi semasa pun menarik untuk dibicarakan. Tapi saya tidak banyak maklumat tentang semua itu meskipun saya beraliran agama – latar belakang agama.
Untuk menyegarkan fikiran buat masa ini, suka saya mengutarakan satu kes yang saya depani sendiri. Kes seorang pelajar mengandung tujuh bulan tanpa kahwin. Saya temui si ayah untuk mengetahui lebih lanjut tentang masalah anak gadisnya yang mengandung. “Saya tidak menjangkakan dia berbuat demikian.” Keluh si ayah. Katanya lagi, “Dia jarang keluar rumah. Itu yang saya hairan, bila masa pula dia cari jantan buat kerja bodoh itu.” Saya turut mengeluh dengan keluhan si ayah itu. Keluhan saya bukan sangat kerana masalah anak gadis si ayah ini, tetapi kerana sikapnya yang tidak mempedulikan agama, tidak mempedulikan masyarakat, tidak mempedulikan amar ma’ruf nahi mungkar. Pernah si ayah ini memberitahu saya bahawa dia acap kali terdengar anak lelaki jiran sebelah rumahnya yang belum kahwin sedang ber’kerjasama’ dengan gadis yang dibawa pulang. Anak lelaki jirannya itu hanya tinggal dengan ibunya yang telah tua. “Aku tak peduli apa yang budak tu nak buat. Itu bukan urusan aku. Aku tak nak jaga tepi kain orang !” Akhirnya, anak gadisnya mengandung tujuh bulan tanpa bapa yang sah !
Ini masalah agama. Ini jua masalah sosial. Dan ini juga masalah politik. Masalah ekonomi mungkin tidak ketara.
1. Masalah agama : Lantaran tidak faham agama, tidak pedulikan agama, maka anak gadis yang membesar dalam lingkungan tidak menjaga peraturan agama akan mudah kalah dalam cubaan hidup. Mudah terpengaruh oleh pujuk rayu. Mudah terdorong untuk memenuhi runtunan nafsu. Mudah termakan oleh tawaran manis jantan pelahap.
2. Masalah sosial : Masyarakat yang hanyut dalam gelombang modenisasi cacamerba, masyarakat yang memandang remeh tentang pergaulan bebas, masyarakat yang tidak mengambil berat tentang akhlak Islam dan ketimuran, masyarakat yang tidak ambil pusing tentang amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan masyarakat yang secara tak langsung menggalakkan kebejatan bermaharajalela dalam kehidupan anggota masyarakat.
3. Masalah politik : Kedudukan politik semasa dalam sesebuah negara amat besar memberi sumbangan kepada segala kes negatif dan kes positif. Parti politik yang memerintah sememangnya ada kuasa dan autoriti untuk membina satu sistem yang boleh menyelamatkan atau satu sistem yang boleh membinasakan.
Dalam kes tadi, memang gadis itu bersalah. Benar dia bersalah. Tetapi, suasana keluarga, kehidupan masyarakat dan percaturan politik negara juga memberi saham besar dalam memerangkap kesalahan gadis itu.
Bagaimana ?
Begini, keluarga yang tidak mempedulikan agama tidak akan memberi nasihat dan peringatan kepada anak gadisnya. Paling tidak nasihat yang dapat difahami melalui tindakan dan amalan, seperti solat berjamaah dan membaca al-Quran. Apabila nasihat dan pengajaran berkurangan, maka akal berkarat dan nafsu teransang berlebihan.
Begitu juga masyarakat yang tidak prihatin kepada kesan jangka panjang hasil pergaulan bebas lelaki perempuan, tidak prihatin kepada pendedahan aurat dan pameran fesyen untuk meransang keinginan nafsu, tidak prihatin tentang ‘mendorong kepada perkara bagus dan menyekat daripada perkara keji’ atau amar ma’ruf dan mungkar, maka berlakulah kecelaruan dalam kehidupan masyarakat sehingga berlakunya kepelbagaian jenis jenayah dan salah laku etika mulia.
Manakala politik, sememangnya ia mampu merubah landskap hidup individu dan masyarakat, kerana ia mampu membina sistem dan peraturan dalam negara.
Dalam kes gadis yang mengandung tujuh bulan itu, kesalahan perbuatan bejatnya memang berkait rapat dengan kelemahan iman dan kerapuhan agama. Juga berkait rapat dengan ketidakpedulian masyarakat terhadap ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar’. Dan akhirnya memang berkait rapat dengan arus politik pihak yang berkuasa lantaran ianya boleh mengeluarkan akta demi menjaga agama, akal, nyawa, harta dan maruah diri daripada pencerobohan.
Pendek kata, tidak berani menanggung risiko susah pada awal waktu, maka natijahnya akan menanggung risiko lebih susah pada akhir waktu.
POLITIK OH POLITIK 3
POLITIK OH POLITIK 3
Masjid antara tempat yang dilarang membicarakan hal politik. Saya tidak peduli larangan yang dikeluarkan oleh pihak yang kolot itu. Kenapa ? Sebab imam/ khatib jumaat sentiasa mengingatkan semua orang yang hadir solat Jumaat samada ahli politik, ahli ekonomi, ahli sosial, ahli agama, ahli sukan dan sebagainya agar bertaqwa, di atas mimbar dalam masjid! Taqwa itu bermaksud menjaga diri daripada menipu rakyat, rasuah, pilih kasih, pecah amanah, tidak menjalankan hukum Allah dan sebagainya. Ah, Khatib pun membicarakan urusan politik ? Habis, kalau tidak dipedulikan kebejatan mereka yang berkuasa dalam negara, negeri, jajahan, daerah dan kampung maka apalagi peranan khatib untuk berkhutbah ? Kejahatan tidak solat fardu seorang petani hanya melibatkan peribadinya, manakala kejahatan melarang atau mengendalakan orang ramai bersolat fardhu yang dilakukan oleh orang politik melibatkan bermacam-macam-macam taraf manusia. Mana yang lebih jahat ? Mana yang lebih perlu ditegur dan diwasiatkan dengan taqwa oleh si khatib?
Dalam kitab Riadusshoolihin, Imam Nawawi r.a. menjelaskan kelompok manusia yang boleh diumpati[1], antaranya ialah menyebut gelaran yang tidak disukai oleh tuannya tetapi perlu dinyatakan juga lantaran memperkenalkan individu yang kesamaran. Kitab ini biasanya dibaca dalam masjid. Lagi orang yang boleh diumpati ialah orang fasiq secara terang-terangan, pemimpin yang khianat, mengadu hal suami yang tidak bertanggungjawab oleh isteri dan sebagainya. Semuanya disebut dalam masjid semasa baca kitab. Kenapa tidak dilarang menyebut sebegitu, walhal jelas membicarakan tentang orang politik ?
Jelas di sini bahawa membicarakan soal politik dalam masjid memang lazim diamalkan oleh para ulama, cuma jarang menyentuh politik semasa yang meremang bulu roma. Tapi, saya percaya dan yakin bahawa membicarakan politik dalam masjid adalah wajar supaya politik umat manusia bersih dan tidak sama dengan politik golongan jin syaitan, kotor!
Ada satu lagi yang kena kita fikir-fikirkan tentang bicara politik dalam masjid ini. Apa dia ? Ha, sebenarnya persoalan ini lebih logik bagi orang yang ada akal dan, tak logik bagi orang yang tak siuman dalam berfikir. Apa dia yang satu ini? Yang satu ini ialah Tuhan yang disembah semasa dalam masjid berbezakah dengan Tuhan yang disembah luar masjid ? Kalau sama, suruhan Allah kepada semua manusia termasuk orang politik, dan larangan Allah kepada semua manusia termasuk ahli politik tertakluk dalam masjid sahaja atau terlibat di luar masjid sebagaimana terikat di dalam masjid ? Kalau serupa, kenapa nak asingkan pembicaraan amar ma’ruf nahi mungkar di dalam masjid dan di luar masjid ?
Akhirnya, berhentilah wahai orang-orang yang bebal, daripada melarang para ulama, ilmuan, khatib dan orang yang berwibawa, melarang berbicara tentang politik tanah air, politik semasa dan politik antarabangsa, supaya dengan perbicaraan tentang politik ini, masyarakat dapat suntikan kefahaman Islam yang lengkap tentang hidup beragama, hidup berTuhan! Umat Islam semestinya memahami kepentingan politik, kepentingan kuasa memerintah bagi sesebuah organisasi, kepentingan ‘tangan di atas’ atau majikan yang berkuasa menentukan polisi dalam apa jua urusan hidup pekerjanya.
[1] Uraian Perihal Ghibah — Mengumpat Yang Dibolehkan
Ketahuilah bahwasanya mengumpat itu dibolehkan karena adanya tujuan yang dianggap benar menurut pandangan syara’ Agama Islam, yang tidak akan mungkin dapat sampai kepada tujuan tadi, melainkan dengan cara mengumpat itu. Dalam hal ini adalah enam macam sebab-sebabnya:
Pertama: Dalam mengajukan pengaduan penganiayaan, maka bolehlah seseorang yang merasa dirinya dianiaya apabila mengajukan pengaduan penganiayaan itu kepada sultan, hakim ataupun lain-lainnya dari golongan orang yang mempunyai jabatan atau kekuasaan untuk menolong orang yang dianiaya itu dari orang yang menganiayanya. Orang yang dianiaya tadi bolehlah mengucapkan: “Si Fulan itu menganiaya saya dengan cara demikian.”
Kedua: Dalam meminta pertolongan untuk menghilangkan sesuatu kemungkaran dan mengembalikan orang yang melakukan kemaksiatan kepada jalan yang benar. Orang itu bolehlah mengucapkan kepada orang yang ia harapkan dapat menggunakan kekuasaannya untuk menghilangkan kemungkaran tadi: “Si Fulan itu mengerjakan demikian, maka itu cegahlah ia dari perbuatannya itu,” atau Iain-Iain sebagainya. Maksudnya ialah untuk dapat sampai guna kelenyapannya kemungkaran tadi. Jadi apabila tidak mempunyai maksud sedemikian, maka pengumpatan itu adalah haram
hukumnya.
Ketiga: Dalam meminta fatwa – yakni penerangan keagamaan. Orang yang hendak meminta fatwa itu bolehlah mengucapkan kepada orang yang dapat memberi fatwa yakni mufti: “Saya dianiaya oleh ayahku atau saudaraku atau suamiku atau si Fulan dengan perbuatan demikian, apakah ia berhak berbuat sedemikian itu padaku? Dan bagaimana jalan untuk menyelamatkan diri dari penganiayaannya itu? Bagaimana untuk memperoleh hakku itu serta bagaimanakah caranya menolak kezalimannya itu?” dan sebagainya. Pengumpatan semacam ini adalah boleh karena adanya keperluan. Tetapi yang lebih berhati-hati dan pula lebih utama ialah apabila ia mengucapkan: “Bagaimanakah pendapat anda mengenai seseorang atau manusia atau suami yang berkeadaan sedemikian ini?” Dengan begitu, maka tujuan meminta fatwanya dapat dihasilkan tanpa menentukan atau menyebutkan nama seseorang. Sekalipun demikian, menentukan yakni menyebutkan nama seseorang itu dalam hal ini adalah boleh atau jaiz, sebagaimana yang akan Kami cantumkan dalam Hadisnya Hindun – lihat Hadis no. 1532. Insya Allah Ta’ala.
Keempat: Dalam hal menakut-nakuti kaum Muslimin dari sesuatu kejelekan serta menasihati mereka – jangan terjerumus dalam kesesatan karenanya. Yang sedemikian dapat diambil dari beberapa sudut, di antaranya ialah memburukkan kepada para perawi Hadis yang memang buruk ataupun para saksi – dalam sesuatu perkara. Hal ini boleh dilakukan dengan berdasarkan ijma’nya seluruh kaum Muslimin, tetapi bahkan wajib karena adanya kepentingan.
Kelima : Di antaranya lagi ialah di waktu bermusyawarat untuk mengambil seseorang sebagai menantu, atau hendak berserikat dagang dengannya, atau akan menitipkan sesuatu padanya ataupun hendak bermuamalat dalam perdagangan dan Iain-Iain sebagainya, ataupun hendak mengambil seseorang sebagai tetangga. Orang yang dimintai musyawarahnya itu wajib tidak menyembunyikan hal keadaan orang yang ditanyakan oleh orang yang meminta per-timbangan tadi, tetapi bolehlah ia menyebutkan beberapa cela yang benar-benar ada dalam dirinya orang yang ditanyakan itu dengan tujuan dan niat menasihati.
Keenam : Di antaranya lagi ialah apabila seseorang melihat seorang ahli agama-pandai dalam selok-belok keagamaan –yang mundar-mandir ke tempat orang yang ahli kebid’ahan atau orang fasik yang mengambil ilmu pengetahuan dari orang ahli agama tadi dan dikhuatirkan kalau-kalau orang ahli agama itu terkena bencana dengan pergaulannya bersama kedua macam orang tersebut di atas. Maka orang yang melihatnya itu bolehlah menasihatinya – yakni orang ahli agama itu – tentang hal-ihwal dari orang yang dihubungi itu, dengan syarat benar-benar berniat untuk menasihati.
Persoalan di atas itu seringkali disalah-gunakan dan orang yang berbicara tersebut – yakni orang yang rupanya hendak menasihati -hanyalah karena didorong oleh kedengkian. Memang syaitan pandai benar mencampur-baurkan pada orang itu akan sesuatu perkara. la menampakkan pada orang tersebut, seolah-olah apa yang dilakukan itu adalah merupakan nasihat-tetapi sebenarnya adalah karena lain tujuan, misalnya kedengkian, iri hati dan sebagainya. Oleh sebab itu hendaklah seseorang itu pandai-pandai meletakkan sesuatu dalam persoalan ini.
Dalil-dalil :
1528. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha bahwasanya ada sesorang lelaki meminta izin kepada Nabi s.a.w untuk menemuinya, lalu beliau s.a.w bersabda untuk menemuinya, lalu beliau s.a.w bersabda – kepada sahabat-sahabat: “Izinkanlah ia, ia adalah seburuk-buruk orang dari seluruh keluarganya.” (Muttafaq ‘alaih)
Imam bukhari mengambil keterangan dari Hadis ini akan bolehnya mengumpat pada orang-orang yang suka membuat kerusakan serta tidak berpendirian tetap.
1529. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Saya tidak menyakinkan kepada si fulan dan si fulan itu bahwa keduanya itu mengetahui sesuatu perihal agama kita”
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, ia berkata:
“Allaits bin Sa’ad, salah seorang yang meriwayatkan hadis ini berkata: “Kedua orang lelaki ini termasuk golongan kaum munafik.”
1530. Dari Fathimah binti Qais radhiallahu ‘anha, katanya: “Saya mendatangi Nabi s.a.w. lalu saya berkata: “Sesungguhnya Abuljahm dan Mu’awiyah itu sama-sama melamar diriku.” Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: “Adapun Mu’awiyah itu adalah seorang fakir yang tiada berharta, sedangkan Abuljahm adalah seorang yang tidak sempat meletakkan tongkat dari bahunya.” (Muttafaq ‘alaih)
Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan:
“Adapun Abuljahm, maka ia adalah seorang yang gemar memukul wanita.” Ini adalah sebagai tafsiran dari riwayat yang menyebutkan bahwa ia tidak sempat meletakkan tongkat dari bahunya. Ada pula yang mengartikan lain ialah bahwa “tidak sempat meletakkan tongkat dari bahunya” itu artinya banyak sekali bepergiannya.
1531. Dari Zaid bin Arqam r.a., katanya: “Kita keluar bersama Rasulullah s.a.w. dalam suatu perjalanan yang menyebabkan orang-orang banyak memperoleh kesukaran, lalu Abdullah bin Ubay berkata: “Janganlah engkau semua memberikan apa-apa kepada orang yang ada di dekat Rasulullah, sehingga mereka pergi – yakni berpisah dari sisi beliau s.a.w. itu.” Selanjutnya ia berkata lagi: “Nescayalah kalau kita sudah kembali ke Madinah, sesungguhnya orang yang berkuasa akan mengusir orang yang rendah.”
Saya lalu mendatangi Rasulullah s.a.w. dan memberitahukan hal ucapannya Abdullah bin Ubay di atas. Beliau s.a.w. menyuruh Abdullah bin Ubay datang padanya, tetapi ia bersungguh-sungguh dalam sumpahnya bahwa ia tidak melakukan itu – yakni tidak berkata sebagaimana di atas. Para sahabat lalu berkata: “Zaid berdusta kepada Rasulullah s.a.w.” Dalam jiwaku terasa amat berat sekali karena ucapan mereka itu, sehingga Allah Ta’ala menurunkan ayat, untuk membenarkan apa yang saya katakan tadi, yaitu – yang artinya: “Jikalau orang-orang munafik itu datang padamu.” (al-Munafiqun: 1)
Nabi s.a.w. lalu memanggil mereka untuk dimintakan pengampunan – yakni supaya orang-orang yang mengatakan bahwa Zaid berdusta itu dimohonkan pengampunan kepada Allah oleh beliau s.a.w., tetapi orang-orang itu memalingkan kepalanya – yakni enggan untuk dimintakan pengampunan.” (Muttafaq ‘alaih)
1532. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Hindun yaitu isterinya Abu Sufyan berkata kepada Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Abu Sufyan itu seorang lelaki yang kikir, ia tidak memberikan nafkah yang dapat mencukupi kebutuhanku serta untuk keperluan anakku, melainkan dengan cara saya mengambil sesuatu daripadanya, sedang ia tidak mengetahuinya. “Beliau s.a.w. lalu bersabda : “Ambil sajalah yang sekiranya dapat mencukupi kebutuhanmu dan untuk kepentingan anakmu dengan baik-baik – yakni jangan berlebih-lebihan.” (Muttafaq ‘alaih)
Petikan daripada kitab : Riaadussoolihiin oleh Imam An-Nawawi.
TIP MOTIVASI 8
Motivasi Belajar Dan Pengurusan Diri.
Belajar adakalanya membosankan apabila ia menjadi satu bebanan yang menghambat kita. Adakalanya ia menyeronokan apabila ia menjadi satu hobi yang memecut kita.
Motivasi belajar tentunya berkait rapat dengan pengurusan diri.
Pengurusan diri berkait rapat dengan cara kita berfikir.
Cara kita berfikir pula berkait rapat dengan solat kita.
Dan solat kita pastinya berkait rapat dengan iman kita kepada Allah.
Dengan kata lain, puncanya ialah iman.
Bagaimana cara berfikir kita berkait dengan solat ?
Cuba perhatikan satu kenyatan berikut :
Untuk mendapat konsentrasi (tumpuan) fikiran mestilah duduk tegak, membaca/ menulis, mata melihat sasaran dan telinga mendengar kenyataan. Itu kenyataan pengkaji barat dan pakar motivasi kini. Solat lebih awal mendidik kita berbuat demikian. Untuk ‘khusyu’’ ( menghimpun daya fikir/akal dan memberi tumpuan) mestilah berdiri tegak, membaca ayat, melihat tempat sujud dan memperdengarkan bacaan kita ke telinga sendiri atau mendengar penuh perhatian kepada bacaan imam.
Bukankah latihan khusyu’ itu lebih berwawasan daripada latihan konsentrasi yang disarankan? Dalam pada itu pun istilah khusyu’ dan konsentrasi adalah hampir sama dan sinonim.
Belajar teknik belajar adalah penting.
Praktikal teknik belajar lebih penting.
Dan kemahuan untuk belajar terlebih penting.
Pengurusan diri termasuk jadual rutin harian, pengurusan makan minum, pengurusan pakaian, rumah tangga, kewangan, masa belajar, kuliah, persatuan dan jamaah.
Ingat ! Termasuk pengurusan diri ialah
cara berfikir dan kawalan emosi dalam semua sudut.
Monoja 260206
-
Recent
-
Pautan
-
Arkib
- November 2009 (2)
- Mei 2009 (4)
- April 2009 (3)
- Februari 2009 (4)
- Disember 2008 (4)
- November 2008 (2)
- Oktober 2008 (4)
- September 2008 (24)
- Ogos 2008 (8)
-
Kategori
-
RSS
Entries RSS
Comments RSS