Monoja68’s Weblog

RedhaMu, Tuhan!

Sepanjang Shawwal 1429h…

Sepanjang Syawwal 1429h ini, tiada apa yang saya tuliskan untuk dipostingkan ke blog ini selain tip motivasi. Itu pun dalam masa sehari dua lepas hari raya. Rupanya, minat menulis ini tidak begitu mendalam masuk ke lubuk hatiku. Mungkin justeru halangan dan kekangan kerja yang menghambat tumpuan menulis. Apa pun, minat menulis mampu mencuri masa mereka yang sibuk untuk menulis.

Dewasa ini banyak benda yang wajar ditulis. Isu politik memang menarik. Isu agama dan mazhab pun banyak yang mendesak agamawan untuk menulis. Isu sosial apa kurangnya. Isu ekonomi semasa pun menarik untuk dibicarakan. Tapi saya tidak banyak maklumat tentang semua itu meskipun saya beraliran agama – latar belakang agama.

Untuk menyegarkan fikiran buat masa ini, suka saya mengutarakan satu kes yang saya depani sendiri. Kes seorang pelajar mengandung tujuh bulan tanpa kahwin. Saya temui si ayah untuk mengetahui lebih lanjut tentang masalah anak gadisnya yang mengandung. “Saya tidak menjangkakan dia berbuat demikian.” Keluh si ayah. Katanya lagi, “Dia jarang keluar rumah. Itu yang saya hairan, bila masa pula dia cari jantan buat kerja bodoh itu.” Saya turut mengeluh dengan keluhan si ayah itu. Keluhan saya bukan sangat kerana masalah anak gadis si ayah ini, tetapi kerana sikapnya yang tidak mempedulikan agama, tidak mempedulikan masyarakat, tidak mempedulikan amar ma’ruf nahi mungkar. Pernah si ayah ini memberitahu saya bahawa dia acap kali terdengar anak lelaki jiran sebelah rumahnya yang belum kahwin sedang ber’kerjasama’ dengan gadis yang dibawa pulang. Anak lelaki jirannya itu hanya tinggal dengan ibunya yang telah tua. “Aku tak peduli apa yang budak tu nak buat. Itu bukan urusan aku. Aku tak nak jaga tepi kain orang !” Akhirnya, anak gadisnya mengandung tujuh bulan tanpa bapa yang sah !

Ini masalah agama. Ini jua masalah sosial. Dan ini juga masalah politik. Masalah ekonomi mungkin tidak ketara. 

1. Masalah agama : Lantaran tidak faham agama, tidak pedulikan agama, maka anak gadis yang membesar dalam lingkungan tidak menjaga peraturan agama akan mudah kalah dalam cubaan hidup. Mudah terpengaruh oleh pujuk rayu. Mudah terdorong untuk memenuhi runtunan nafsu. Mudah termakan oleh tawaran manis jantan pelahap.

2. Masalah sosial : Masyarakat yang hanyut dalam gelombang modenisasi cacamerba, masyarakat yang memandang remeh tentang pergaulan bebas, masyarakat yang tidak mengambil berat tentang akhlak Islam dan ketimuran, masyarakat yang tidak ambil pusing tentang amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan masyarakat yang secara tak langsung menggalakkan kebejatan bermaharajalela dalam kehidupan anggota masyarakat.

3. Masalah politik : Kedudukan politik semasa dalam sesebuah negara amat besar memberi sumbangan kepada segala kes negatif dan kes positif. Parti politik yang memerintah sememangnya ada kuasa dan autoriti untuk membina satu sistem yang boleh menyelamatkan atau satu sistem yang boleh membinasakan. 

Dalam kes tadi, memang gadis itu bersalah. Benar dia bersalah. Tetapi, suasana keluarga, kehidupan masyarakat dan percaturan politik negara juga memberi saham besar dalam memerangkap kesalahan gadis itu.

Bagaimana ?

Begini, keluarga yang tidak mempedulikan agama tidak akan memberi nasihat dan peringatan kepada anak gadisnya. Paling tidak nasihat yang dapat difahami melalui tindakan dan amalan, seperti solat berjamaah dan membaca al-Quran. Apabila nasihat dan pengajaran berkurangan, maka akal berkarat dan nafsu  teransang berlebihan. 

Begitu juga masyarakat yang tidak prihatin kepada kesan jangka panjang hasil pergaulan bebas lelaki perempuan, tidak prihatin kepada pendedahan aurat dan pameran fesyen untuk meransang keinginan nafsu, tidak prihatin tentang ‘mendorong kepada perkara bagus dan menyekat daripada perkara keji’ atau amar ma’ruf dan mungkar, maka berlakulah kecelaruan dalam kehidupan masyarakat sehingga berlakunya kepelbagaian jenis jenayah dan salah laku etika mulia.

Manakala politik, sememangnya ia mampu merubah landskap hidup individu dan masyarakat, kerana ia mampu membina sistem dan peraturan dalam negara.

Dalam kes gadis yang mengandung tujuh bulan itu, kesalahan perbuatan bejatnya memang berkait rapat dengan kelemahan iman dan kerapuhan agama. Juga berkait rapat dengan ketidakpedulian masyarakat terhadap ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar’. Dan akhirnya memang berkait rapat dengan arus politik pihak yang berkuasa lantaran ianya boleh mengeluarkan akta demi menjaga agama, akal, nyawa, harta dan maruah diri daripada pencerobohan.

Pendek kata, tidak berani menanggung risiko susah pada awal waktu, maka natijahnya akan menanggung risiko lebih susah pada akhir waktu.

Oktober 19, 2008 - Posted by | Uncategorized

Tiada komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: