Monoja68’s Weblog

RedhaMu, Tuhan!

Kepercayaan !

Penggerak hidup manusia ialah kepercayaan, membenarkan, iman! Samada kepercayaan itu di atas sesuatu yang benar atau kepada sesuatu yang salah, ia tetap menggerakkan manusia menuju apa yang dipercayai itu. Kepercayaan merupakan sumber tenaga yang menghidupkan enjin aktiviti manusia. Lantaran itu wajar setiap kita menggilap kepercayaan kita kepada perkara yang benar, agar kita mampu menghidup dan mengaktifkan kebenaran itu. Kepercayaan boleh bertambah dan boleh berkurang mengikut pertambahan fakta yang didapati dan mengikut asakan dan ulangan kerja apa yang dipercayai itu. Inilah yang menjadikan solat difardhukan setiap hari, guna menancapkan kepercayaan atau iman kepada Allah mengukuh ke dalam diri – zahir dan batin ! 

Dalam perkara yang jelas pada akal atau disebut logik, bersandarkan kepada dalil dan bukti yang sah, hendaklah setiap kita akur dan mengukuhkan kepercayaan tentang kebenaran perkara itu sepanjang masa, saban ketika. Islam menyebut perkara itu sebagai Qat’iy‘. Dalil dan bukti yang sampai kepada kita ada dua perkara yang perlu diawasi ; pertama, keabsahan dan ketepatan dalil itu sampai daripada sumber pokok yang tidak boleh dipertikaikan, di mana apabila benar dalil dan bukti itu datang daripada sumber aslinya maka disebutkan sebagai qat’iyyatul wurud (kedatangan dalil yang pasti) dan jika ada kemungkinan tidak benar walau pun kemungkinan itu kecil maka disebut zhanniyyatul wurud (kedatangan dalil yang kurang pasti), kedua, petunjuk daripada dalil dan bukti itu memberi maksud yang konkrit kepada perkara tertentu atau mempunyai ‘kemungkinan’ makna lain yang boleh diandaikan, di mana apabila jelas maksud dalil itu hanya tertentu kepada satu tujuan maka ianya disebut qat’iyyatud dalaalah (petunjuk yang pasti) dan jika ada kemungkinan bagi maksud-maksud lain daripada maksud asal perkataan yang digunapakai maka ianya disebut zhanniyyatud dalaalah (petunjuk yang kurang pasti).

Perkara yang mudah difahami dan tidak memerlukan daya fikir yang tinggi disebut sebagai ‘badiihiy’ atau ‘ma’lum bid dhoruurah’ (diketahui secara mudah), seperti satu lebih kecil bilangannya daripada dua atau seumpama ayah lebih tua daripada anak. Memahami perkara sebegini tidak memerlukan kekuatan akal seseorang. Namun adakalanya satu lebih berharga daripada dua atau lebih apabila dilihat dari sudut nilai dan mutu sesuatu. Contohnya seorang nabi lebih berharga daripada dua orang manusia biasa atau lebih ramai lagi. Sewaktu ini, logik satu lebih kecil daripada dua menjadi batal dan salah. Ini pun sekira dirujuk kepada nilai dan harga sesutu perkara. Tetapi jika dilihat kepada bilangan dan urutan angka sememangnya satu tetap kekal lebih kecil daripada dua.

Kepercayaan terhadap sesuatu mestilah bersandarkan kepada kebenaran sesuatu itu. Manakal nilai kebenaran pula mestilah bersandarkan kepada manfaat yang hakiki sesutu itu kepada manusia sejagat dan alam seluruhnya. Maka di sini, siapakah yang mampu menilai manfaat hakiki yang menyeluruh ini kalau bukan Pencipta manusia dan alam ini ? Maka sekali lagi, kepercayaan kepada Allah mestilah mengatasi segala kepercayaan kepada perkara lain selain Allah.

Kepercayaan kepada Allah hendaknya mengatasi kepercayaan kepada manusia, harta, wang, makanan, tenaga, dan segala benda yang kelahirannya adalah alam – Alam adalah selain Allah ! 

Semoga kita sedar tentang asas ini !

Oktober 30, 2008 - Posted by | Uncategorized

Tiada komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: