MEMAHAMI SIFAT KASIH SAYANG DAN HIKMAHNYA
1. PENDAHULUAN
Hidup manusia akan terbatas dan terkongkong apabila ada sekatan perasaan dan kejiwaan sesama manusia. Sebaliknya terbuka dan bebas (dalam peraturan dan undang-undang yang diperlukan) apabila ada kasih sayang dan saling mempercayai sesama insan. Lantaran itu, tajuk ini MEMAHAMI SIFAT KASIH SAYANG DAN HIKMAHNYA amat diperlukan untuk difahami dan dihadhami (dicernakan) oleh setiap warga bumi terutama mereka yang mengungkap persaksian “Asyhadu anlaa ilaaha illallaah, wa asyhadu annamuhammadar rasuulullaah.”
Terima kasih tidak terhingga kepada 3AIG yang mempelopori program Pengenalan Hibah, Yasin dan Kasih Sayang Sesama Insan dan dijadikan program wajib ahli dan pelanggan dalam kumpulannya.
2. SIFAT-SIFAT UTAMA YANG DIPERLUKAN
Setiap kelahiran manusia dibekali oleh Allah s.w.t perasaan yang pelbagai. Perasaan itu perlu dipupuk, diasuh dan dilazimi untuk menjadi akhlak atau perangai (1) yang membolehkan seseorang itu dikatakan bersifat dengan sifat-sifat tertentu. Antara sifat-sifat utama yang perlu dipupuk dan disuburkan ialah :
– Cinta atau al-Hubb :
Cinta dan kasih sayang akan tumbuh dalam diri hasil kepercayaan yang lahir melalui pancaindera yang lima (2) dan melalui ilmu tentang kebaikan menyeluruh atau sebahagian bagi sesuatu. Berlawanan dengan cinta dan kasih sayang ialah benci dan cuak yang merupakan perasaan tidak menerima terhadap sesuatu justeru tanggapan dan kepercayaan keburukan menyeluruh atau sebahagian bagi sesuatu. Mengenali dengan tepat akan sesuatu itu boleh menumbuhkan cinta yang sebenar atau benci yang sebenar. Manakala mengenali dengan silap (3) akan sesuatu pula boleh melahirkan cinta dan benci yang salah dan tersasar. Maksud cinta dan kasih sayang di sudut bahasa dan istilah akan dibicarakan kemudian nanti.
– Sabar atau bernafas panjang atau sanggup tahan senafas :
Sabar merupakan sifat utama yang dianjurkan Allah. Ia memberi maksud sanggup bertahan mengikut keperluan dan situasi. Sewaktu perang, orang yang ‘bersabar’ dikatakan berani. Semasa mampu membalas kejahatan orang tetapi ditahan gelora dendam disebut penyantun. Ketika hati ghairah ingin memiliki keindahan dunia dan tarikannya dan dia mampu memiliki, lalu dia ‘mengongkong’ diri daripada perhiasan dunia itu dan tidak terikat dengannya, maka ketika itu dikatakan zuhud. Sewaktu malas dan kelesuan, tetapi digagahi jua menunaikan kefardhuan dan nawafil (sunat) dikatakan mujahadatunnafsi (melawan nafsu keji). Dan seterusnya….. semua itu adalah SABAR!
– Benar atau menepati realiti :
Bersifat benar dengan maksud benar dengan Allah dalam memenuhi janji ‘inna solaati wanusuki wamahyaaya wamamaati lillah…’ , benar dengan diri dalam memenuhi kehendak ‘sunnatullah’ (4) pada diri sendiri sebagai makhluk yang dipertanggungjawabkan memakmur dan mengendalikan dunia yang dikenali sebagai manusia (5) dan benar dengan makhluk (6) lain, terutama sesama manusia.
– Ikhlas atau melakukan kerja kerana matlamat yang satu :
Ikhlas bermakna suci bersih. Ikhlas berbakti kerana Allah bermaksud bekerja hanya mencari keredhaan Allah meskipun manusia tidak menyetujuinya. Namun, semasa membuat penilaian tentang apa yang Allah redha dan apa yang manusia setuju itu memerlukan ILMU tentang wahyu Allah (Qur’an dan sunnah yang soheh) dan ILMU tentang latar hidup mannusia dan aliran pemikirannya. Dan syarat dasar dalam keikhlasan amal (7) ialah dua : pertama, berbuat kerana menuntut keredhaan Allah atau ‘kerana Allah’ dan kedua, bertindak menepati dengan peraturan syari’at Islam atau menurut sunnah.
3. BERAKHLAK DENGAN SIFAT TUHAN DALAM KEHIDUPAN
Bagaimana meniru sifat Tuhan ? Allah bersifat dengan sifat rahman iaitu pengasih kepada segala makhluk di dunia ini, maka seseorang manusia (apalagi seorang muslim/ muslimah) itu mestilah mengumpulkan sifat kasih sayang itu ke dalam dirinya sebanyak yang terdaya mengikut perintah Allah dalam menyayangi apa yang disayangi Allah dan membenci apa yang dibenci Allah. Bukankah iman dan amal itu berada dalam kitaran cinta dan benci ?(8) Begitu juga sifat-sifat Allah yang lain yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan manusia. Namun sifat Allah yang tertentu seperti ‘Mematikan’, ‘Maha Suci (Quddus)’, ‘Esa’ dan beberapa sifat lain tidak boleh ditiru oleh manusia lantaran kemutlakan sifat itu hanya untuk Allah.
4. PENGERTIAN KASIH SAYANG DISEGI BAHASA DAN ISTILAH
Kasih sayang dan cinta (dalam bahasa Arab disebut Mahabbah) di segi bahasa adalah berasal daripada bening dan bersih, atau luapan hati dan gejolaknya, atau tenang dan teguh, atau gundah dan tiada tetap, atau inti sesuatu, atau usungan bejana/ bekas, atau buah hati. Batasan maknanya juga berbeza pendapat di kalangan ahli bahasa. Ada yang menyatakan sebagai kecenderungan secara terus menerus dengan disertai hati yang meluap-luap. Ada pula yang menyebut sebagai kecenderungan secara total kepada orang yang dicintai, kemudian engkau rela mengorbankan diri, nyawa dan hartamu demi dirinya, kemudian engkau mengikutinya secara sembunyi atau terang-terangan. Istilah yang sinonim dengan kasih sayang dan cinta ini amat banyak sehingga menjangkau 50 istilah. Penjelasan detail hendaklah dirujuk kepada buku penting tentang tajuk ini yang bernama : Cinta Dan Rindu Menurut al-Qur’an Dan al-Sunnah (Asal : Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaaqiin) oleh al- ‘Allaamah al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah r.a.. (9)
5. PENGERTIAN KASIH SAYANG YANG DIKEHENDAKI
4.1. Kasih-sayang sesama Islam (seaqidah)
Kata Imam Hasan al-Banna r.a. (1908-1949m) dalam Risalah Ta’alimnya : “Maksudku dengan ukhuwwah (kasih sayang dan persaudaraan) adalah: Hati-hati dan ruh terikat dengan ikatan akidah. Ikatan akidah adalah ikatan yang paling kukuh dan mahal. Persaudaraan sebenarnya adalah persaudaraan iman dan perpecahan itu adalah saudara kepada kekufuran. Kekuatan yang pertama kepada kita adalah kekuatan kesatuan, tidak ada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah adalah berlapang dada dan yang paling tinggi ialah martabat `ithar’ (melebihkan saudaranya dari dirinya sendiri). Firman Allah s.w.t. : “dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang Yang berjaya.” (surah Al-Hasyr ayat 9).
Akh yang benar dengan fikrahnya akan melihat saudaranya lebih utama untuk diberikan perhatian dari dirinya sendiri kerana kalaulah mereka tidak bersama dengannya pasti mereka akan bersama dengan selain darinya (orang lain). Sesungguhnya serigala akan membaham kambing yang kesesatan. Mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain. “Mukminin dan mukminat sebahagian mereka adalah pemimpin kepada sebahagian yang lain.” Inilah situasi yang perlu kita wujudkan.”
4.2. Kasih sayang sesama manusia
Kasih sayang sesama manusia meliputi segala-galanya dalam urusan hidup selain melibatkan unsur agama dan aqidah yang menjadi rukun agama yang dianuti oleh manusia tersebut. Justeru itu, kasih sayang ini membuka ruang untuk berintraksi dengan manusia yang tidak seagama secara terbuka dalam semua bidang selain yang melibatkan unsur agama manusia itu. Kemanusiaan ini amat menyeluruh, terutama bagi pihak kerajaan Islam dalam menangani semua pihak yang berada di bawah naungannya sehingga hak beragama penganut agama bukan Islam juga boleh dilayani selagi tidak berunsur menyebar dan menyuburkan agama tersebut. Kasih sayang ini meliputi bantuan keperluan hidup ; makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan, dan keperluan asas yang lain, pergaulan (kecuali dalam hal-hal tertentu seperti perkahwinan), harta, tanah dan sebagainya.
5. BAHAGIAN KASIH SAYANG
5.1. Kasih sayang fitrah
Kasih sayang fitrah atau semula jadi atau sunnatullah yang dibekalkan oleh Allah ini seperti kasih sayang yang timbul apabila melihat anak kecil yang diseksa atau sakit. Semakin lemah seseorang manusia di sudut fizikal semakin dalam perasaan kasih sayang yang timbul dalam hati sanubari mereka yang berada sekitarnya. Justeru itu, kasih ibu dan ayah kepada anaknya tidak diperintahkan oleh Allah lantaran tabiat semula jadi yang wujud itu. Berbeza kasih sayang anak kepada dua ibu bapanya mestilah dipupuk dan dibajai, dan ianya diperintahkan oleh Allah, lantaran bimbang sewaktu tua ibu bapa (sewaktu lemah) tidak dipedulikan oleh anak-anak.
Termasuk kasih sayang fitrah ini ialah segala bentuk haiwan yang sentiasa menaungi anak-anaknya dan pasangannya. Bahkan adakalanya kasih sayang haiwan lebih hebat daripada kasih sayang sebahagian manusia yang tidak terdidik.
5.2. Kasih sayang Allah kepada hambaNya
a. Kasih sayang Allah kepada makhlukNya
Segala makhluk di alam maya ini berada di bawah kasih sayang Allah mengikut jenis dan klasifikasinya, walaupun makhluk itu (hanya jin dan manusia) kufur kepada Allah, lalu mereka boleh hidup dengan udara, air, tanah dan api yang disediakan oleh Allah. Dalam hal ini, mereka yang berikhtiar dan berusaha lebih akan mendapat habuan rezeki dan kekayaan mengikut kadar kerja yang disumbangkan. Bukankah ganjaran itu mengikut kadar kerja yang diusahakan ?
b. Kasih sayang Allah kepada hambaNya yang beriman
Kasih sayang Allah kepada makhlukNya yang beriman ada kelainannya, terutama di akhirat nanti. Semasa di dunia kasih sayang Allah ini berupa pertambahan taqarrub si hamba yang beriman kepada Allah. Persoalan rezeki dan kesenangan hidup bukan ukuran kasih sayang Allah kepada seorang mukmin.
5.3. Kasih sayang hamba kepada Tuhannya
Kasih sayang hamba kepada Tuhannya bergantung di atas kesedaran diri hamba/ manusia terhadap segala bentuk nikmat yang diperolehinya samada nikmat kewujudannya di dunia, atau nikmat panjang umur dan kesihatan dan nikmat kesenangan berupa harta, wang, kekayaan, pangkat dan sebagainya.
5.4. Kasih sayang hamba sesama hamba
Kasih sayang hamba sesama hamba berlegar pada 5 paksi berikut :
a. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan (satu hak sahaja) (lihat nombor 4.2 di atas)
b. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan dan kejiranan (dua hak sahaja). Selain kasih sayang 5.1 di atas, kejiranan menambah lagi hak manusia dalam mendapat prioriti kasih sayang.
c. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan, kejiranan dan kekeluargaan (tiga hak sahaja). Tambahan kepada kasih sayang 5.1 dan 5.2 di atas, kekerabatan akan meningkatkan prioriti dan keutamaan memberi kasih sayang ini. Namun di akhirat, kasih sayang kekerabatan akan terputus apabila berbeza aqidah dan prinsip taqwa. Lihat (Zukhruf/ 67) : “pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya Yang lain, kecuali orang-orang Yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”
d. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan, kejiranan, kekerabatan dan keagamaan/ aqidah. (empat hak) (lihat 4.1 di atas). Juga apa yang disabdakan oleh junjungan Rasulullah s.a.w. yang sering dibacakan kepada kita yang bermaksud : “Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia kasih kepada saudaranya (seagama) sebagaimana ia kasih kepada dirinya sendiri.”
e. Kasih sayang sejati. Kasih sayang yang sebenar adalah kasih sayang berdasarkan aqidah. Manakala kasih sayang yang lain menyusul selepas kasih sayang aqidah ini mengikut kadar yang dibolehkan oleh aqidah samada dalam kekerabatan, atau kejiranan atau kemanusiaan.
6. KEUTAMAAN KASIH SAYANG DAN KELEBIHANNYA
6.1. Mendapat rahmat Allah
6.2. Mengurangkan kebencian dan permusuhan dalam selimut
6.3. Mengurangkan peperangan
6.4. Menarik sikap perdamaian antara manusia
6.5. Mengelak daripada tindakan ‘hukum balas’ dan dendam akibat kesalahan-kesalahan yang kecil, bahkan kesalahan yang besar seperti memaafkan pembunuhan yang tidak disengajakan.
6.6. Mendekatkan hati-hati yang berjauhan
6.7. Menyeronokkan aktiviti hidup manusia
7. BAGAIMANA MENGAPLIKASIKAN KASIH SAYANG DALAM KEHIDUPAN ?
7.1. Mengenali saudaranya secara mendalam ; nama, alamat, pekerjaan, status sosial, kewangan, kesihatan, psikologi dan sebagainya. “Jika seseorang menjalin tali persaudaraan dengan orang lain, maka hendaklah dia bertanya siapa namanya, nama bapanya dan dari mana dia berasal, kerana itu lebih mengeratkan kasih sayang.” Hadis riwayat Tarmizi. (10)
7.2. Menyatakan ‘saya sayangkan kamu’. Dalam sunan Abu Daud disebutkan bahawa seorang lelaki berada di samping Rasulullah s.a.w. Kemudian ada lelaki yang lewat di sana. Orang yang ada di samping beliau berkata : “Wahai Rasulullah, saya benar-benar mencintai orang itu.” Rasulullah s.a.w. bertanya : “Apakah engkau sudah memberitahukannya?” “Tidak.” Jawabnya. “Beritahukanlah cintamu itu padanya.” Sabda beliau. Maka orang itu menemui orang yang dimaksud, lalu berkata kepadanya : “Sesungguhnya aku mencintaimu kerana Allah.” Orang yang dicintainya berkata : “Yang membuatmu mencintaiku juga mencintaimu.” (11)
7.3. Menyebarkan salam. Dalam soheh Muslim, disebutkan dari hadits Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud) : “Demi diriku yang ada di tanganNya, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman, dan kalian tidak beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah jika kutunjukkan kepada kalian jika kalian mengerjakannya, maka kalian saling mencintai ?Sebarkan salam di antara kalian.(12)
7.4. Berhadiahlah, kamu akan berkasih sayang. (Maksud Hadis).
7.5. Menutup keaiban saudaranya (Maksud hadis)
7.6. Melaksanakan aktiviti pemupukan kasih sayang seperti kebersamaan dalam : bermain, berbasikal, bersampan, melancung, ziarah, kenduri, gotong royong dsb. Ini berasaskan ayat 2 surah al-Maaidah :
bermaksud : “…..dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”
7.7. Memberi apa yang diperlukan dalam batas yang dibolehkan oleh syara’ ; Tenaga, Fikiran, Keprihatinan, Kasih sayang, Kewangan, Harta, Pangkat dsb.
7.8. Memberi (hibah) secara rambang atau terancang.
7.9. Menahan diri daripada segala bentuk ancaman, bahaya dan khianat terhadap orang lain samada dalam bentuk lidah, tangan dan hati nurani.
7.10. Mendo’akan kebaikan kepada mereka yang layak mendapatnya dan mendo’akan menolak bencana daripada mereka yang tidak sewajarnya ditimpa bencana mengikut perkiraan kita, bukan pada perkiaraan Allah.
8. TANDA-TANDA KASIH SAYANG DAN CINTA
Apabila usaha mewujud dan menyuburkan kasih sayang dan cinta sesama muslim dan sesama insan, maka akan mekarlah tanda-tanda kasih sayang dan cinta itu. Antara tanda-tanda itu (13) ialah :
8.1. Menghunjamkan pandangan mata.
8.2. Malu-malu jika orang yang dicintai memandangnya.
8.3. Banyak mengingat orang yang dicintai, membicarakan dan menyebut namanya.
8.4. Tunduk kepada perintah orang yang dicintai dan mendahulukannya daripada kepentingan diri sendiri.
8.5. Orang yang mencinta bersabar menghadapi gangguan orang yang dicintai.
8.6. Memperhatikan perkataan orang yang dicintai dan mendengarkannya.
8.7. Mencintai tempat dan rumah sang kekasih.
8.8. Segera menghampiri yang dicintai.
8.9. Mencintai apa pun yang dicintai sang kekasih.
8.10. Jalan yang dilalui terasa pendek sekali pun panjang saat mengunjungi orang yang dicintai.
8.11. Salah tingkah jika sedang mengunjungi orang yang dicintai atau sedang dikunjungi orang yang dicintai.
8.12. Kaget dan gementar tatkala berhadapan dengan orang yang dicintai atau tatkala mendengar namanya disebut.
8.13. Cemburu kepada orang yang dicintai.
8.14. Berkorban untuk mendapatkan keredhaan orang yang dicintai.
8.15. Menyenangi apa pun yang menyenangkan orang yang dicintai.
8.16. Suka menyendiri.
8.17. Tunduk dan patuh kepada orang yang dicintai.
8.18. Helaan nafas yang panjang dan lebih kerap.
8.19. Menghindari hal-hal yang merenggangkan hubungan dengan orang yang dicintai dan membuatnya marah.
8.20. Adanya kecocokan antara orang yang mencintai dan yang dicintai.
9. PENUTUP
Akhirnya, kasih sayang dan cinta yang diperlukan oleh seluruh manusia – disedari olehnya atau tidak – adalah kasih sayang kemanusiaan yang akan bercambah dan bertambah subur apabila amalan hibah, yasin dan kasih sayang yang dianjurkan ini dapat diaplikasikan dalam amalan umat Islam secara khusus dan masyarakat manusia secara umum. Tindakanlah yang menentukan kejayaan program dan cita-cita penganjur. Semoga semua peserta mampu menjadikan program ini rutin hidup yang mengagumkan manusia banyak dan yang lebih utama ialah meng’agum’kan Allah (diredhai Allah s.w.t.).
Sekian, 10122008.
Nota kaki :
Imam al-Ghazali r.a. menyatakan : “Akhlak merupakan satu ungkapan berkenaan suasana dalam diri yang kukuh mantap, daripadanya keluar segala perbuatan dengan mudah dan selesa tanpa memerlukan berfikir dan memerhati.” (Ihya ‘Ulumiddin, jld 3, ms 58, cetakan Dar al-Fikri.)
2 Pancaindera yang lima ialah penglihatan mata, pendengara telinga, pembauan hidung, pengecapan lidah dan penyentuhan tangan. Dan dikatakan bahawa indera yang paling utama ialah indera keenam iaitu pengakalan otak!
3 Mengenali tidak hakiki seperti ‘mengenali Tuhan di kalangan ajaran sesat’ atau mengenali seseorang tanpa memahami psikologi manusia.
4 Sunnatullah ialah ketentuan-ketentuan Allah yang azali, sedia ada semasa kelahiran manusia dan di saat kewujudan makhluk seperti api bersifat membakar, air bersifat memuaskan, pisau yang tajam bersifat memutuskan. Tetapi pada hakikatnya hanya Allah yang berkuasa membakar, mengenyang dan memuaskan dan memutuskan sesuatu. Semua yang ada pada makhluk itu hanyalah pinjaman yang bisa hilang apabila Allah menghendakinya. Sunnatullah pada makhluk inilah yang perlu kajian berterusan untuk memahami dan manakluki alam raya. Sistem burung terbang yang difahami oleh manusia membolehkan ciptaan besi dan bahan kaku bergerak di udara. Peraturan tingkah laku manusia yang diteliti itulah yang memberi faham kepada kita tentang psikologi manusia untuk berinteraksi antara satu sama lain. Dan seterusnya tentang segala makhluk di alam ini……..
5 ‘Sesungguhnya bagi Tuhanmu ada hak, bagi keluargamu ada hak dan bagi dirimu sendiri ada hak, maka tunaikanlah setiap yang empunya hak itu akan haknya.’ Maksud dan saripati hadis.
6 Dengan makhluk lain juga mestilah bersifat benar lantaran semua makhluk ‘hidup’ samada haiwan, tumbuhan, bahan beku, cair dan gas apalagi makhluk ghaib seperti jin dan malaikat, mempunyai tindak balas terhadap kelakuan yang dihasilkan oleh manusia.
7 Samada amal hati seperti niat dan cita-cita, amal lidah seperti ceramah dan zikir, dan amal anggota seperti solat dan kerjaya.
8 Dalam sunan Abu Daud dari hadits Abu Dzarr r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya) : “Amal yang paling utama ialah mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah.” Rujuk : Cinta Dan Rindu Menurut al-Qur’an Dan al-Sunnah (Asal : Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaaqiin) oleh al- ‘Allaamah al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah r.a. M.s. 366, edisi terjemahan terbitan ALBAZ Publishing & Distribution S/B, cetakan ketiga 2003.
9 Cinta Dan Rindu Menurut al-Qur’an Dan al-Sunnah (Asal : Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaaqiin) oleh al- ‘Allaamah al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah r.a. Edisi terjemahan terbitan ALBAZ Publishing & Distribution S/B, cetakan ketiga 2003.
10 Cinta Dan Rindu Menurut al-Qur’an Dan al-Sunnah (Asal : Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaaqiin) oleh al- ‘Allaamah al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah r.a. Edisi terjemahan , ms 369, terbitan ALBAZ Publishing & Distribution S/B, cetakan ketiga 2003.
11 Ibid, ms 369.
12 Ibid, ms 369-370.
13 Ibid, ms 216-236
MEMAHAMI HIBAH DAN HIKMAHNYA
MEMAHAMI HIBAH DAN HIKMAHNYA
1. ISLAM SECARA UMUM
Secara umumnya, Islam merangkumi Aqidah sebagai dasar dan prinsip, Syariat sebagai amalan dan tindakan kerja dan Akhlak sebagai hasil dan penyempurna kehidupan. Pembahagian ini sekadar memudahkan pengajian dan kefahaman, namun ketiga-tiga komponen ini saling berkait dan tidak boleh berpisah untuk melahirkan Islam yang sempurna dan lengkap. Pemisahan dalam pengajian bukan bererti mesti berlaku pemisahan sama dalam amalan dan tindakan kerana akidah tidak bererti tanpa bukti amalan syariat, dan akidah dan syariat tidak bermaksa tanpa akhlak. Manakala akhlak sahaja tanpa akidah dan syariat adalah rapuh dan tak bertahan kekal sampai ke akhirat. Perpaduan dan kesatuan akidah, syariat dan akhlak itulah dinamakan Islam. Islam itu indah, tetapi keindahannya tidak akan menyerlah sehingga ianya dilaksanakan dalam kehidupan….. Hayatilah !
2. MUAAMALAH DALAM ISLAM
Mu’amalah (Pengurusan Masyarakat & Harta) bermaksud urusan pergaulan hidup manusia yang melibatkan akad/ kontrak dan hak milik manusia. Ia meliputi perkara berikut :
Mu’amalat
• Jual beli
• Riba
• Salam/ Tempah
• Gadaian
• Qaradh
• Tanam Menanam
• Pengairan
• Mudharabah
• Syarikah/ Perkongsian Harta
• Sewa Menyewa
• Wakalah/ Penjagaan Harta
• Hiwalah/ Pindah Hutang
• Dhaman/ Jaminan
• Wadi’ah/ Serah Amanah Harta
• Pinjam Meminjam
• Hibah/ Pemberian
• Luqathoh/ Anak Buangan
• Wasiat/ Pusaka dll.
3. PENGENALAN HIBAH
Hibah merupakan permasalahan lama yang baru diwar-warkan. Kalimah ini tidak ada dalam fikiran dan ingatan masyarakat Islam sekian lama Di serata dunia. Untuk kefahaman masyarakat, istilah yang jarang kedengaran perlulah disebut-sebut dalam majlis rasmi dan tidak rasmi sehinggalah istilah tersebut basah di setiap bibir anggota masyarakat. Tetapi pendekatan yang paling berkesan ialah ‘pelaksanaan’ program hibah ini dan istilah yang belum difahami. Namun, kefahaman yang didahulukan dengan penjelasan yang bersistem yang kemudiannya disusuli dengan tindakan, tentu akan benar-benar berakar umbi ke dalam benak dan minda bawah sedar anggota masyarakat Islam.
Hibah yang akan dibicarakan nanti adalah sebahagian daripada sistem ekonomi masyarakat Islam yang terlalu jauh daripada pandangan dan amalan masyarakat Islam itu sendiri, berbanding dengan zakat (fardhu), sedekah (sunat), hadiah (sunat), wakaf (sunat), wasiat (sunat – pelaksanaan wajib satu pertiga harta) dan sumbangan lain. Lantaran itu, adalah wajar perbicaraan tentang Hibah ini diketengahkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam untuk difahami dan dipraktikkan dalam kehidupan.
4. HIBAH DI SUDUT BAHASA
Hibah merupakan kalimah Arab yang memberi maksud ‘pemberian’. Di sudut bahasa, Hibah adalah pemberian yang tidak didahului oleh tuntutan hak, dan padanya (barang yang diberikan itu) ada kegunaan bagi orang yang diberikan. Mengikut pengertian ini, Hibah boleh jadi pada zat yang tertentu dan bukan zat tertentu.(1) Contoh ada ‘ain/ zat tertentu ialah mengurniakan/ memberi anak lelaki atau perempuan (lihat : surah al-Syuura/ 49), manakala contoh tiada ‘ain/ zat tertentu ialah mengurniakan rahmat (lihat : surah Aali ‘Imran/ 8). Disebut kepada pemberi hibah sebagai ‘Waahib’ (واهب), penerima hibah sebagai ‘Mauhuub lahu’(موهوب له) dan harta yang diberikan sebagai ‘Mauhub’ (موهوب) dan ‘Mauhabah’ (موهَبة).(2)
5. HIBAH DI SUDUT ISTILAH
Hibah di sudut istilah syara’ ialah : Memberi milik benda tanpa ganjaran/ gantian (al-Jurjaani). Atau :Hibah adalah memberi milik harta kepada orang lain tanpa ganjaran/ gantian (al-Majallah).(3)
Penulis kitab al-Fiqh al-Manhajiy menyatakan : ‘Akad yang memberi faedah pemilikan ‘ain tanpa gantian, semasa hidup, secara sukarela.(4)
Kata Imam al-Raghib al-Ishfihani dalam bukunya ‘Mu’jam Mufradat Alfaz al-Qur’an’ : “الهبة أن تجعل ملكك لغيرك بغيرعوض ” yang bermaksud : “Hibah ialah anda menjadikan harta milik anda kepada orang lain tanpa gantian/ganjaran.” Sekian dipetik. Jika pemberi mengatakan, aku berikan kain ini dengan ganti beras itu, lalu dipersetujui oleh penerima, maka ini bukan hibah tetapi menjadi jual beli, meskipun disebut ‘beri/ hibah’.
6. PERUNDANGAN HIBAH DALAM ISLAM
Hibah dengan maksud umum itu adalah disukai, disaran dan digalakkan melalui al-Qur’an, al-Sunnah dan al-Ijma’.
1. Al-Qur’an : Surah An-Nisa’ ayat 4 : “dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat Yang lazat, lagi baik kesudahannya.”
Selepas mas kahwin diserahkan – wajib – kepada para isteri, lalu isteri-isteri itu ‘memberi’ kembali dengan rela hati, maka pemberian itu bolehlah dimakankan dan halal bagi suami mengguna-pakai pemberian isteri-isteri itu.
2. Hadis : “Wahai wanita muslimat, jangan memandang hina seorang jiran akan pemberian seorang jiran yang lain, walau pun pemberian itu hanya ‘firsina syat’.” – al-Bukhori dan Muslim. ‘Firsina syat’ iaitu kaki kambing yang tidak berdaging.”
Banyak hadis yang menyebut tentang hibah ini, antaranya ialah : “Kalaulah aku (Rasulullah s.a.w.) dijemput ke jamuan kaki hadapan atau kaki kecil, nescaya aku menyahutnya. Dan kalaulah aku dihadiahkan kaki hadapan atau kaki kecil, nescaya aku menerimanya.” – al-Bukhori.(5)
3. Ijma’ : Sesungguhnya telah sepakat ahli feqah Islam pada setiap zaman ke atas galakan melakukan hibah/ ‘memberi’ dengan segala jenis pemberian lantaran ianya adalah pintu kerjasama dalam kebajikan yang allah sarankan dalam al-Qur’an (lihat al-Qur’an : surah al-Maaidah/ 2)
7. RUKUN HIBAH
Rukun adalah teras yang menjadikan sesuatu itu mampu tegak dengannya dan akan runtuh tanpanya. “Rukun sesuatu ialah sudutnya yang sesuatu itu tenteram kepadanya, dan dipinjam untuk (maksud) kekuatan…… Dan ‘Arkanul ‘ibaadat’ (rukun-rukun ibadat) ialah penjuru-penjurunya yang mana di atas penjuru-penjuru itulah menjadi tempat binaan ibadat itu, dan dengan meninggalkan rukun-rukun ini terbatallah ibadat itu.” – ‘Mu’jam Mufradat Alfaz al-Qur’an’ oleh Imam al-Raghib al-Ishfihani.
Rukun hibah memberi maksud teras hibah yang mana tanpa teras ini hibah tidak akan terjadi atau dikatakan batal. Rukun hibah ada tiga sebagaimana rukun jual beli ada tiga. Rukun hibah ialah :
1. Dua orang yang melakukan akad/ kontak iaitu Pemberi hibah dan Penerima hibah. Syarat bagi pemberi ialah : 1. pemilik sah barangan (benda yang dihibahkan)m maka tidak sah memberi sesuatu yang bukan miliknya seperti memberi kenderaan yang dipinjamnya. 2. orang yang berkelayakan memberi sumbangan, maka tidak sah kanak-kanak, orang gila, orang yang mengigau, dan sebagainya memberi hibah. Bagi kanak-kanak dan orang gila, penjaganya juga tidak berhak memberi hibah bagi pihak yang dijaganya. 3. bebas mengurus pada hartanya, maka tidak boleh memberi oleh mereka yang dihalang mengurus harta seperti orang yang diisytihar bangkrap dan orang yang dungu. Manakala syarat penerima hibah ialah : orang yang berkelayakan untuk memiliki harta yang diberi, maka boleh menerima hibah oleh orang gila dan kanak-kanak kerana mereka berkelayakan tetapi tidak boleh mengurus, namun penjaga yang menerima hibah itu bagi pihak mereka berdua. Walau pun begitu, bayi dalam kandungan tidak berkelayakan menerima hibah kerana belum mampu milik secara pilihan. Perlu diingatkan bahawa ‘kelayakan’ atau keahlian menerima harta berbeza dengan keahlian mengurus harta. Kanak-kanak layak menerima, tetapi tidak layak mengurus. Begitu juga orang gila, orang bankrap dan orang dungu.
2. Barang/ benda yang dihibahkan. Syarat barang yang dihibahkan ialah apa saja yang boleh dijual beli, maka boleh diberi (hibah). Syarat lain ialah barangan itu mestilah ada semasa diberikan maka tidak sah memberi anak kambing yang akan lahir pada tahun-tahun hadapan, berharga maka tidak sah memberi hibah barangan najis, bukan perkara haram maka tidak sah memberi hibah babi, dan barangan milik pemberi yang pasti maka tidak sah memberi burung di udara yang belum ditangkap.
3. Shighah / lafaz sebutan, iaitu dua :
– ‘Akad ijab / lafaz memberi milik oleh pemberi hibah
Contoh ijab/ lafaz memberi hibah ialah : saya berikan awak, saya memberi milik kepada awak tanpa harga, begitu juga saya beri makan awak akan makanan ini, dan saya jadikan baju ini bagi awak.lafaz-lafaz seperti ini tidak memerlukan niat, sebab ia adalah lafaz yang jelas nyata memberi maksud ‘beri/ hibah’. Di sana ada lafaz-lafaz yang tidak jelas dan kesamaran, maka ia berhajat kepada niat. Contohnya ialah saya pakaikan awak baju saya ini, ambillah kereta saya (dikatakan kepada orang yang mencari kenderaan untuk kegunaannya). Perkataan di atas tidak jelas dalam memberi milik, maka berhajat kepada niat dan ‘uruf setempat.
– ‘Akad qabul / lafaz menerima milik oleh penerima hibah
Contoh lafaz terima hibah ialah : saya terima, saya rela, saya ambil hibah itu dan seumpamanya.
Di syaratkan pada shighah (ijab dan qabul) 3 perkara berikut :
1. Bersambung penerimaan (qabul) dengan pemberian (ijab), di mana waktu ijab dan qabul itu tidak dipisahkan oleh ‘pemisah’ (samada percakapan, perbuatan atau diam) yang diambilkira (diterimapakai) secara ‘uruf (kebiasaan setempat). Jika pemberi berkata, saya berikan duit ini kepada awak, lalu penerima bercakap-cakap tentang kereta kemudian menjawab, saya terimalah duit itu. Maka pemberian/ hibah itu tidak sah.
2. Tidak mengikat shighah tersebut dengan apa-apa syarat. Maka jika pemberi mengatakan, saya berikan duit ini kepada awak jika hujan turun, pemberian/ hibah itu tidak sah kerana bersyarat.
3. Tidak mengikat shighah tersebut dengan waktu. Maka jika pemberi mengatakan, saya berikan buku ini kepada awak sebulan, pemberian itu tidak sah kerana terikat dengan waktu tertentu.
Namun begitu, jika pemberi mengatakan, saya berikan rumah ini kepada awak selagi saya hidup, apabila saya mati rumah ini menjadi pusaka anak-anak saya, pemberian itu tetap dikira sah dan menjadi hak milik pemerima secara mutlak, meskipun bersyarat demikian. Ini adalah kes pengecualian yang menjadikan hibah berlangsung dan syarat terbatal. Hibah ini disebut hibah Umra. Rasulullah s.a.w menyebut : “al-Umra jaaizah” bermaksud : Hibah Umra harus (berlangsung dan menjadi hibah yang sah). Begitu juga hibah Ruqba di mana pemberi mengatakan, saya berikan rumah ini kepada awak selama saya atau awak hidup, jika saya mati ia tetap milik awak dan jika awak mati ia kembali kepada saya. Pemberian ini tetap berlangsung dan menjadi milik penerima hibah, manakala syarat masa itu lagha/ batal/ sia-sia. Hibah sebegini dinamakan hibah Ruqba.
8. SYARAT BERKAITAN DENGAN RUKUN HIBAH
Syarat yang ada kaitan dengan rukun hibah yang disebutkan di atas ialah kepastian menjadi hibah itu ialah qabadh/ genggam (menerima dengan mengambil) barang/ benda yang diberi secara langsung. Ijab dan qabul semata-mata tidak mematerikan pemberian/ hibah itu secara pasti, meskipun sudah sah pada syara’. Ini membawa pengertian bahawa pemberi boleh menarik balik pemberian itu jika penerima tidak mengambil (qabadh/ genggam) barangan yang diberikan.
Apa syarat qabadh/ genggam (terima dengan mengambil barangan)? Syarat qabadh (terima dan ambil) ialah izin pemberi samada izin melalui perkataan atau perbuatan, dan tidak memadai izin itu dengan sekadar pemberi itu diam dan melihatnya. Syarat qabadh yang lain ialah penerima berkelayakan untuk menerima dan mengambil hibah, maka tidak sah qabadh (terima dan ambil) oleh seorang kanak-kanak dan orang gila.
Dan harus qabadh oleh wali/ penjaga bagi pihak kanak-kanak dan orang gila.
9. HUKUM HIBAH
Hukum hibah yang cukup syarat ialah sabit pemilikan barangan yang dihibahkan bagi penerima hibah. Maka haram bagi pemberi hibah mengambil balik pemberian yang telah sah menjadi hak milik bagi penerima hibah, kecuali hibah si ayah kepada si anak di mana harus si ayah mengambil balik pemberiannya daripada si anak. Pengecualian ini kerana “kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu”, sebagaimana persabdaan Nabi s.a.w.
10. PERBEZAAN ANTARA HIBAH, HADIAH, SEDEKAH, WAKAF, WASIAT, ZAKAT DAN JUAL BELI.
Hibah : ‘Akad yang memberi faedah pemilikan ‘ain/ benda tanpa gantian, semasa hidup, secara sukarela. Bebas diberikan kepada siapa saja, termasuklah kepada orang bukan Islam.
Hadiah : Memberi milik kepada orang yang diingini mendekat diri dan berkasih sayang, dan lazimnya barangan dibawa datang kepada penerima.
Sedekah : Memberi milik barangan kepada orang yang berhajat/ memerlukan dengan niat taqarrub kepada Allah dan ganjaran di akhirat. Tidak perlu ada pihak yang qabul/ menerima, dan haram mengambil balik selepas diserahkan barangan itu.
Wakaf : Menahan harta pokok yang bermanfaat daripada pemilikan seseorang dan pengendaliannya menjadi milik Allah secara berkekalan dengan niat bertaqarrub kepada Allah. Adakalanya memerlukan penerima dan adakalanya tidak memerlukan penerima.
Wasiat : Pemberian seseorang kepada orang lain, baik ia berupa barangan atau manfaat untuk dimiliki oleh orang lain, selepas pewasiat itu meninggal dunia. Pengertian lain, wasiat ialah perjanjian khusus yang disandarkan kepada kejadian selepas mati, dan kekadangnya disertai kebajikan.
Zakat : Pemberian wajib ke atas mereka yang berharta mengikut syarat tertentu kepada asnaf yang tertentu..
Jual beli : Memberi sesuatu dengan gantian yang dipersetujui.
11. HIKMAH AMALAN HIBAH
Hibah disyari’atkan dalam Islam dengan galakan yang mendalam adalah untuk memaut hati kalangan masyarakat Islam itu sendiri sesama mereka dan memperdekatkan perasaan kejiwaan sesama manusia yang hidup dalam masyarakat Islam atau di luar masyarakat Islam. Keistimewaan hibah ini ialah ianya boleh dilakukan kepada orang yang bukan Islam sekali pun, bahkan kepada musuh-musuh yang membenci Islam apabila diketahui lembut hatinya apabila di’beri’kan sesuatu. Hibah ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang berkesan memupuk rasa hormat, kasih sayang, baik sangka, toleransi, ramah mesra dan kecaknaan dalam kehidupan sosial sesebuah negara. Secara ringkasnya, hikmah hibah ini boleh dirumuskan dalam perkara berikut (tanpa menghadkan kepada perkara di bawah) :
11.1. melunakkan hati sesama manusia
11.2. menghilangkan rasa segan dan malu sesama jiran, kawan, kenalan dan ahli masyarakat
11.3. menghilangkan rasa dengki dan dendam sesama anggota masyarakat
11.4. Menimbulkan rasa hormat, kasih sayang, mesra dan tolak ansur sesama ahli setempat.
11.5. meningkatkan citarasa kecaknaan dan saling membantu dalam kehidupan
11.6. memudahkan aktiviti saling menasihati dan pesan-memesan dengan kebenaran dan kesabaran
11.7. menumbuhkan rasa penghargaan dan baik sangka sesama manusia
11.8. mengelak perasaan khianat yang mungkin wujud sebelumnya
11.9. meningkatkan semangat bersatu padu dan bekerjasama
11.10. dapat membina jejambat perhubungan dengan pihak yang menerima hibah.
12. BAGAIMANA MEMASYARAKATKAN HIBAH
Aspek amalan dalam berhibah terlalu janggal di kalangan masyarakat Islam. Akhir-akhir ini barulah hibah diwar-warkan ke dalam masyarakat, namun pelaksanaan belum lagi menjadi rutin dan membudaya di kalangan dermawan. Justeru itu, dicadangkan beberapa aktiviti berikut dilaksanakan dalam kehidupan masyarakat Islam :
12.1. Majlis kefahaman hibah dibuat pada setiap masjid dan surau yang ada melalui para imam yang bertanggungjawab di masjid dan surau tersebut.
12.2. Mengeluarkan silsilah khutbah jumaat secara bersiri sehingga dipercayai konsep hibah telah difahami.
12.3. Menggalakkan masyarakat Islam memperuntukkan 2.5 % daripada pendapatan kasar untuk dihibahkan kepada sesiapa yang berpatutan pada setiap bulan.
12.4. Menganjurkan majlis-majlis penyampaian hibah daripada dermawan kepada penerima yang berkelayakan.
12.5. Memasukkan tajuk-tajuk pengurusan harta terutama hibah ke dalam kurikulum dasar pelajaran negara.
12.6. Mengadakan forum keistimewaan hibah di setiap parlimen seluruh negara.
12.7. Menulis maqalah ringkas tentang hibah dan diedarkan melalui akhbar-akhbar yang laris dan menyeluruh.
12.8. Memberi sumbangan hibah kepada tokoh-tokoh sebagai pengenalan amalan hibah.
13. PENUTUP
Hibah merupakan amalan membantu ekonomi umat Islam dan merapatkan ikatan persaudaraan dan pertalian kasih sayang sesama insan. Ianya amat wajar disuburkan dalam kehidupan semua ahli masyarakat lantaran ia boleh dilakukan dalam bentuk harta, makanan, minuman, dan wang ringgit. Alangkah bertuahnya masyarakat yang prihatin kepada masalah umat yang hidup sezaman dengannya lalu memberi di saat orang memerlukan, tidak meminta-minta walau pun amat berhajat kepada sesuatu, pemurah tidak kedekut, pemaaf tidak pendendam, dan sentiasa sukakan kebajikan dan bersifat majikan – tangan sebelah atas : Memberi, bukan tangan sebelah bawah : Meminta !
Nota kaki :
Al-Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam al-Syaafi’iy – Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, jld 3, ms 101, cetakan keenam Darul Qalam, Damsyiq/ 2005.
2 ‘al-Qaamus al-Fiqhi Lughatan wa Istilaahan’, oleh Sa’diy Abu Jaib, cetakan Darul Fikri/ 1988.
3 ‘al-Qaamus al-Fiqhi Lughatan wa Istilaahan’, oleh Sa’diy Abu Jaib, cetakan Darul Fikri/ 1988.
4 Al-Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam al-Syaafi’iy – Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, jld 3, ms 101, cetakan keenam Darul Qalam, Damsyiq/ 2005.
5 Al-Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam al-Syaafi’iy – Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, jld 3, ms 104, cetakan keenam Darul Qalam, Damsyiq/ 2005.
Memahami Yaasin…..
MEMAHAMI YAASIN DAN HIKMAHNYA
- KEDUDUKAN AL-QUR’AN DALAM KEHIDUPAN MANUSIA
– Al-Quran merupakan wahyu Allah kepada Rasulullah s.a.w untuk panduan hidup manusia sejagat.
– Sebahagian al-Qur’an (surah Al-Fatihah) menjadi bacaan wajib dalam ibadat Solat
– Al-Qur’an menjadi asas perlembagaan dan peraturan hidup yang mesti dibaca, dihafal, difahami, diamal dan disebarkan dalam masyarakat manusia.
- KEDUDUKAN SURAH YAASIN DALAM MASHAF : SURAH KE 36
– Surah[1] Yaasin salah satu surah daripada surah-surah al-Qur’an yang menjadi panduan dan petunjuk arah kehidupan bagi manusia.
– Berada pada surah ke 36 daripada 114 surah dalam Mushaf[2] (al-Qur’an), di mana susunan itu adalah ‘tauqiifiy’ (penentuan) daripada Allah melalui arahan Nabi Muhammad s.a.w.
– Termasuk dalam surah Makkiyyah[3] dan diturunkan selepas surah al-Jin.
– Jumlah ayat surah Yaasin ialah 83 ayat yang dimulai dengan huruf muqottho’ah (huruf keratan) yang sukar difahami. Huruf keratan ini iaitu huruf Ya’ dan huruf Siin digabungkan menjadi satu ayat di mana di sudut bahasanya tiada apa-apa makna yang boleh difahami. Tetapi justeru Allah s.w.t meletakkan dalam wahyu al-Qur’anNya, maka ayat daripada hurut keratan ini mempunyai makna dan hikmah yang tersendiri di mana ‘hanya Allah yang Maha Tahu dengan maksud yang dikehendakiNya.’ Tetapi sebahagian ulama’ mentafsirkan ‘Yaasin’ sebagai :satu sumpah yang dipakai Tuhan, salah satu dari nama Allah, salah satu dari nama al-Qur’an, semata-mata nama Surat, satu daripada nama-nama Nabi Muhammad s.a.w. Dan ada yang memberi maksud ‘hai penghulu segala manusia’, ‘hai insan, hai manusia’, Ya Muhammad. Dan pengertian yang lebih mendalam dijelaskan oleh Imam Fakhruddin Ar-Razi bahawa membaca huruf yang tidak diketahui ertinya ini adalah semata-mata melaksanakan perintah, dengan tidak memerlukan tahu akan artinya, atau pun tidak tahu. Sila rujuk Tafsir Al-Azhar, oleh Prof. Dr HAMKA, juz 23, ms 8-9, terbitan Pustaka Panjimas 1988.
- KEUTAMAAN SURAH YAASIN (Dipetik daripada Al-Itqan Fi ‘Ulumil Qur’an – Oleh Imam Al-Sayuutiy (849-911h))
– Keutamaan al-Qur’an secara umum : Imam ad-Daarimiy telah mengeluarkan sebuah hadis daripada hadis Abdullah bin Amar r.a. secara marfu’ : “Al-Qur’an lebih disayangi oleh Allah daripada langit dan bumi dan seisinya.” Imam Ahmad dan Imam Tarmizi telah mengeluarkan sebuah hadis dari hadis Syaddad bin Aus r.a. : ‘Tidak ada seorang muslim yang mengambil tempat tidurnya, lalu membaca satu surah daripada kitab Allah Ta’ala melainkan Allah mewakilkan kepadanya seorang malaikat yang menjaganya, maka tidak ada suatu pun yang menghampirinya untuk menyakitinya sehingga dia boleh bangkit bila dia mahu bangkit.” Dan Imam Abu Ya’la dan Imam At-Thobraniy telah mengeluarkan sebuah hadis dari hadis Abu Hurairah r.a. : “Al-Qur’an itu kekayaan yang tiada kefakiran selepasnya dan tiada kekayaan tanpanya.”
– Keutamaan surah Yaasin secara khusus : Imam Abu Daud, Imam An-Nasaa-i, Imam Ibnu Hibban dan selain mereka telah mengeluarkan sebuah hadis dari hadis Ma’qil bin Yasar r.a. : “Yaasin adalah jantung al-Qur’an. Tidak membaca oleh seseorang yang menghendaki keredhaan Allah dan keselamatan Hari Akhirat melainkan ia diampuni Allah ; Bacalah ia ke atas orang-orang yang hampir mati di kalangan kamu.” [Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan jika Surat ini dibacakan didekat orang yang dalam sakaratil maut, Allah akan meringankan baginya dan mudah keluar roh. Tambahnya pula, “Surat ini membawakan rahmat dan berkat dan memudahkan keluarnya roh dari badan.” Demikian dicatatkan oleh Ibnu Katsir dalam tafsirnya. – Tafsir al-Azhar, Prof Dr HAMKA, juz 23, ms 4]. Imam Tarmizi dan Imam Ad-Daarimiy telah mengeluarkan sebuah hadis[4] dari hadis Anas r.a. : “Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada jantung, dan jantung al-Qur’an itu ialah Yaasin. Dan sesiapa membaca surah Yaasin, Allah menulis baginya dengan pembacaannya itu, ganjaran membaca al-Qur’an sepuluh kali ganda.” Imam Ad-Daarimiy dan Imam At-Thobraniy telah mengeluarkan sebuah hadis[5] dari hadis Abu Hurairah r.a. : “Sesiapa membaca surah Yaasin pada suatu malam lantaran mencari keredhaan Allah, diampuni baginya (akan dosa kecilnya)”. Imam At-Thobraniy telah mengeluarkan sebuah hadis[6] dari hadis Anas r.a. : “Sesiapa yang mengekalkan diri di atas pembacaan surah Yaasin pada tiap-tiap malam, lalu mati maka matinya umpama mati syahid.”
.
– [Imam Al-Baidhowi (wafat tahun 791h) r.h. dalam tafsirnya ‘Anwaarut Tanziil wa Asraarut Ta’wil’ mencatatkan di awal pentafsiran surah Yaasin : Surah Yaasin adalah surah Makkiyyah. Dan daripadanya ‘ke atasnya solawat dan salam’: “Yaasin dipanggil ‘Mu’immah’ yang menyeluruhi tuannya kebaikan dunia dan akhirat, dan dipanggil ‘ad-Daafi’ah’ dan ‘al-Qoodhiah’ yang menolak daripada tuannya setiap keburukan dan menunaikan baginya segala hajat.” Dan ayatnya 83 ayat.]
– Petikan daripada buku Misteri Aura & Energi Surah YAASIN, oleh Khairul Ghazali, ms 14-16, terbitan Darul Nu’man, 2008 (Diringkaskan) : “Siapa yang membaca surah Yaasin pada permulaan siang (pagi hari) maka akan diluluskan semua hajatnya.” Riwayat Imam Ad-Daarimiy dengan sanad lemah (ms 14). “Siapa yang membaca surah Yaasin di pagi hari maka akan dimudahkan (untuknya) urusan hari itu sampai petang. Dan siapa yang membacanya di awal malam (petang) maka akan dimudahkan urusannya malam itu sampai pagi.” Riwayat Imam Ad-Daarimiy dengan sanad lemah (ms 16)
Catatan : Kebanyakan hadis dalam fadhilat surah-surah al-Qur’an adalah bertaraf Dha’if (Lemah) dan ada yang Maudhu’ (palsu). Imam Ibnu Hajar al-Asqalaani menyebut bahawa ada tiga syarat untuk beramal dengan hadis dho’if (hadis bertaraf Lemah) iaitu pertama, tidak terlalu lemah, kedua, hadis dho’f tersebut mestilah berada di bawah ruang lingkup amalan asas yang telah menjadi amalan umum, dan ketiga, ketika beramal dengan hadis dho’if, seseorang itu tidak boleh beri’tiqad bahawa amalan tersebut benar-benar merupakan suatu amalan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. atau suatu sabdanya atau mendapat pengiktirafan daripadanya. (Diringkaskan daripada : Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya : Suatu Kajian Terperinci Berdasarkan Hadis dan Ulama’ Mu’tabar, susunan Ustaz Muhammad subki Abdul Rahman Al-Hafiz. Ms 22-23, terbitan Ma’ahad Tahfiz Darul Qur’an Wal Qiraat Berhad, cetakan pertama Ogos 2008).
Manakala hadis Maudhu’ (palsu) adalah haram meriwayatkannya melainkan atas dasar untuk memperjelaskan kedudukan hadis tersebut agar ditinggalkan dan tidak dijadikan sandaran hukum atau sandaran amal.
- HIKMAH DAN KEISTIMEWAAN SURAH YAASIN
– Hikmah dan keistimewaan surah Yaasin dan surah-surah lain daripada al-Qur’an adalah tertakluk kepada apa yang disebutkan oleh Allah dan disabdakan oleh junjungan Rasulullah s.a.w. Antaranya ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “(Yaitu) sebulan Ramadhan, yang diturunkan padanya al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi manusia dan penjelasan dari petunjuk itu dan pembeda…” Surah Al-Baqarah/ 185. Manakala persabdaan Nabi Muhammad s.a.w. ialah : (Maksudnya) “Orang yang terbaik di antara kamu ialah yang belajar al-Qur’an dan mengajarkannya.” Riwayat Imam Bukhori dan lainnya (Kitab Fadhail A’mal, bab Fadhilah al-Qur’an, hadis pertama. – Maulaana Muhammad Zakaria Al-Kandhalawi). Dan hadis : (Maksudnya) “Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah-rumah Allah, kemudian mereka membaca al-Qur’an dan saling membacakan nya satu sama lain, melainkan diturunkan sakinah (kedamaian) ke atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengelilingi mereka, dan Allah s.w.t menyebut-nyebut mereka di depan majelis (majlis) malaikat.” Riwayat Muslim dan Abu Daud (Kitab Fadhail A’mal, bab Fadhilah al-Qur’an, hadis 22. – Maulaana Muhammad Zakaria Al-Kandhalawi).
– Justeru itu, hikmah dan keistimewaan surah Yaasin ini bukan bidang kuasa akal manusia bagi menentukannya, selain Rasulullah s.a.w. yang diizinkan Allah s.w.t. sebagai pembawa syari’at. Tidak ada orang yang berhak menentukan hikmah dan keistimewaan surah Yaasin samada untuk menarik kemaslahatan atau untuk menolak kemudhoratan.
– Hikmah dan keistimewaan Yaasin dalam erti kata faedah semasa dan kelebihan tertentu bagi orang yang mengamalkan surah ini, atau dengan kata lain, keluarbiasaan yang tidak diduga oleh orang yang beramal dengannya adalah relatif dan tidak boleh disabitkan secara pasti. Ianya amat tertakluk kepada orang yang mengamalkannya di sudut bacaan, kefahaman, dan tindak-tanduk kepatuhan kepada Allah s.w.t. Hikmah dan keistimewaan yang tersendiri ini bergantung kepada keperluan dan pengharapan pengamalnya. Setiap orang yang beramal dengan bacaan rutin surah Yaasin ini akan melihat hikmah dan keistimewaannya mengikut keperluan dan pengharapan peribadinya. Setiap orang yang beramal dengan surah Yaasin ini berbeza dengan seorang yang lain.
– Secara umumnya, beramal dengan al-Qur’an secara bacaan, kefahaman dan praktikal samada surah Yaasin atau surah lain, samada ayat Kursi atau ayat lain, adalah berhikmah dan mempunyai keistimewaan yang tak terbatas. Ini bukan bermakna pengamalnya tidak akan sakit, tidak akan menghadapi kesusahan, tidak akan mati dan sebagainya. Tetapi pengamal itu akan sentiasa dalam jagaan Allah dan diiringi oleh para malaikat ‘hafazah’Nya, dengan maksud sentiasa terkawal daripada melakukan apa yang ditegah oleh syari’at dan terkawal daripada melakukan perkara yang memudhoratkan diri dan orang lain.
- PENGAJARAN DARIPADA PETIKAN SURAH YAASIN
– Ayat 60 dan 61 surah Yaasin :
* óOs9r& ôygôãr& öNä3ös9Î) ûÓÍ_t6»t tPy#uä cr& w (#rßç7÷ès? z`»sÜø¤±9$# ( ¼çm¯RÎ) ö/ä3s9 Arßtã ×ûüÎ7B ÇÏÉÈ
Èbr&ur ÎTrßç6ôã$# 4 #x»yd ÔÞºuÅÀ ÒOÉ)tGó¡B ÇÏÊÈ
60. “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
61. “Dan (Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan yang lurus.
Perjanjian kita manusia, keturunan Adam a.s., adalah tidak memperhambakan diri kepada Syaitan dan tidak melalut dalam menuruti tipu daya syaitan. Antara rancangan tipu daya Syaitan ialah sebagaimana dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali r.h. dalam kitabnya Minhaj ‘Abidin, ada 7 tahap :
1. Syaitan mencegah membuat kebaikan dan mendorong membuat kejahatan. Kejahatan/ Dosa.
2. Menyuruh menangguhkan kerja kebaikan dan menyegerakan kerja kejahatan. Taswif.
3. Menyuruh bergopoh-gapah apabila melakukan kerja kebaikan. ‘Ajalah.
4. Menyuruh menyempurnakan kerja sebaik mungkin kerana menunjuk-nunjuk kepada orang lain atau mengharapkan pujian orang. Ria’.
5. Menyuruh menyempurnakan kerja sebaik mungkin supaya ia boleh berbangga ke atas orang lain. ‘Ujub.
6. Salah satu bentuk ria’…… menyuruh berbuat kebaikan/ ibadah secara bersungguh-sungguh tanpa diketahui orang, nanti akan lahir keistimewaan/ kelebihan tertentu yang mengkagumkan orang. Mengangkat tinggi untuk dihumban musnah.
7. Menimbulkan pandangan bahawa amalan dan taklif syara’ telah gugur daripada seseorang kerana terlalu tinggi – kononnya – darjat seseorang itu, atau kerana Allah telah mentaqdirkan bagi seseorang itu samada bahagia atau celaka – kalau taqdir bahagia, tidak memudharatkan meninggal amalan ; dan kalau taqdir celaka, tidak memanfaatkan melakukan amalan. Atau menimbulkan perasaan putus asa daripada rahmat Allah justeru Allah telah menetapkan seseorang itu samada celaka atau bahagia.
– Dalam usaha mendapatkan kekayaan harta dan kemewahan dunia, Islam tidak menghalang dan melarangnya selagi dapat membawa kepada ketundukan kepada Allah. Tetapi, prinsip ‘Ubudiyyah, Mas-uuliyyah dan Itqan (UMI) hendaklah dijaga kerana hanya Allah yang berhak dipatuhi secara mutlak.
– Jalan lurus hanyalah agama Islam, tidak agama dan dogma yang lain.
8. AMALAN YANG DICADANGKAN BAGI BACAAN YAASIN
– Amalan bacaan surah Yaasin yang dicadangkan ialah :
Pertama, bacaan awal pagi ; Iaitu membaca surah Yaasin seusai/ selepas solat Fardhu Subuh dan wirid-wiridnya. Kegunaan dan faedah bacaan pagi ini ialah optomis dengan pertolongan Allah agar memudahkan urusan hidup di hari tersebut.
Kedua, bacaan awal malam ; Iaitu membaca surah Yaasin seusai/ selepas solat Fardhu Maghrib dan wirid-wiridnya. Kegunaan dan faedah bacaan malam ini ialah optimis dengan penjagaan Allah sepanjang malam hari tersebut. Ini berdasarkan hadis umum di atas (no 3) : Imam Ahmad dan Imam Tarmizi telah mengeluarkan sebuah hadis dari hadis Syaddad bin Aus r.a. : “Tidak ada seorang muslim yang mengambil tempat tidurnya, lalu membaca satu surah daripada kitab Allah Ta’ala melainkan Allah mewakilkan kepadanya seorang malaikat yang menjaganya, maka tidak ada suatu pun yang menghampirinya untuk menyakitinya sehingga dia boleh bangkit bila dia mahu bangkit.”
– Bagaimana pun, amalan rutin bagi surah Yaasin ini dalam kesepakatan kumpulan 3AIG tidaklah menghadkan kepada amalan bacaan surah Yaasin sahaja, bahkan melarat kepada keseluruhan al-Qur’an dan hukum-hakam syari’at Islam. Begitu juga berkaitan masa, tidaklah menghadkan kepada pagi dan malam sahaja, bahkan disarankan pada bila-bila masa yang termampu. Cuma dalam 3AIG disarankan amalan bacaan minima ialah surah Yaasin sekali waktu pagi dan sekali waktu malam. Semuanya adalah galakan dan latihan ke arah memartabatkan al-Qur’an menjadi bacaan wajib dan panduan asas dalam kehidupan manusia.
– Bagi mereka yang telah melakukan amalan surah-surah lain atau ayat-ayat lain, adalah disarankan supaya meneruskan bacaan yang telah mendarah-daging itu kerana keberkatan hanya wujud pada pelaziman suatu amalan yang dibenarkan oleh syara’. Apa yang menjadi kelaziman dan kerutinan seseorang dalam beramal dengan surah dan ayat al-Qur’an itulah yang menjadi kekuatan, hikmah, istimewa dan sebab bagi pertolongan Allah kepada hambaNya.
9. PENUTUP
– Setiap amalan hendaknya berpaksikan kepada keikhlasan dalam mencari keredhaan Allah.
– Kehidupan dunia ini adalah jejambat bagi kebahagiaan dan keselamatan hidup di akhirat.
– Segala yang baik hendaknya mendapat perhatian semua pihak dan segala yang buruk hendaknya disisihkan daripada hidup kita. Segala urusan hidup ini berada dalam genggaman Allah Yang Maha Perkasa.
Penulis : Monoja/ IBBA MD S/B.
28/11/2008, jam 8.00pm.
[1] Surah ialah Manzilah Rafii’ah yang memberi erti ‘kedudukan yang tinggi’. Surah al-Qur’an merupakan penyerupaan dengan maksud asal makna surah, iaitu kedudukan yang tinggi kerana dilingkungi sebagaimana sebuah bandar dilingkungi dengan pagar atau sebagaimana kedudukan bulan yang tinggi. Sila lihat : Mu’jam Mufradat Alfaz Al-Qur’an, huruf Shod, oleh ‘Allaamah Al-Raaghib Al-Isfihaaniy, cetakan Dar Fikri Beirut, tanpa tahun.
[2] Mushaf ialah apa yang dijadikan penghimpun bagi lembaran yang ditulis (dengan ayat-ayat Allah s.w.t.) Kata jamaknya (plural) ialah Mashoohif. – Lihat : Mu’jam Mufradat Alfaz Al-Qur’an, huruf Shod, oleh ‘Allaamah Al-Raaghib Al-Isfihaaniy, cetakan Dar Fikri Beirut, tanpa tahun.
[3] Surah Makkiyyah bermaksud surah yang turun semasa Nabi s.a.w berada di Mekkah sebelum hijrah. Antara fokus utama ayat atau surah Makkiyyah ialah aqidah, ibadat dan akhlak. Lawan Makkiyyah ialah Madaniyyah, iaitu ayat atau surah yang turun pada zaman Nabi s.a.w. berada di Madinah selepas hijrah. Fokus utama ayat atau surah Madaniyyah ialah hukum-hakam muamalat, munakahat, jenayah dan pemerintahan negara. Dalam pada itu ayat dan surah Madaniyyah masih menyentuh persoalan aqidah, ibadah dan akhlak.
[4] Hadis ini dikatakan palsu oleh Syeikh Muhammad Nasruddin Al-Baaniy. Lihat buku : Misteri Aura & Energi Surah YAASIN, oleh Khairul Ghazali, ms 15-16, terbitan Darul Nu’man, 2008.
[5] Hadis ini dikatakan lemah. Lihat buku : Misteri Aura & Energi Surah YAASIN, oleh Khairul Ghazali, ms 14, terbitan Darul Nu’man, 2008.
[6] Hadis ini dikatakan palsu. Lihat buku : Misteri Aura & Energi Surah YAASIN, oleh Khairul Ghazali, ms 15, terbitan Darul Nu’man, 2008.
TIP MOTIVASI 10
Dalam Islam dan dunia Islam hari ini, ada lima institusi dan sekolah besar yang ditakuti oleh musuh-musuh Islam, dan tidak diberi perhatian sewajarnya oleh masyarakat Islam iaitu :
1. Qur’an – sebagai mukjizat, panduan dan peta kehidupan manusia dan penyembuh penyakit.
2. Jumaat – sebagai hari ilmu dan pusat peningkatan hubungan dengan Allah dan dengan orang ramai dalam masyarakat.
3. Baitullah Al-Haram – sebagai pusat perhimpunan politik umat Islam sedunia.
4. Universiti Al-Azhar – sebagai pusat pembinaan pemikiran dan ilmu Islam yang tertua.
5. Bulan Ramadhan – sebagai satu semester pendidikan untuk pembersihan jiwa dan pembinaan peribadi muslim.
Adakah anda berusaha memahami kekuatan agama anda ?
Adakah anda menyedari kekuatan umat Islam anda ?
Adakah anda menginsafi kekuatan diri anda sendiri ?
-
Recent
-
Pautan
-
Arkib
- November 2009 (2)
- Mei 2009 (4)
- April 2009 (3)
- Februari 2009 (4)
- Disember 2008 (4)
- November 2008 (2)
- Oktober 2008 (4)
- September 2008 (24)
- Ogos 2008 (8)
-
Kategori
-
RSS
Entries RSS
Comments RSS