ANTARA HAK DAN KEWAJIPAN
1. MUQADDIMAH
Sepanjang sejarah kehidupan manusia, ada dua entiti yang tidak boleh berpisah daripada tindak-tanduk manusia iaitu HAK dan KEWAJIPAN. Apabila sesuatu hak dituntut, maka di sana ada kewajipan yang mesti ditunaikan. Begitulah sebaliknya, apabila ada kewajipan yang ditunaikan, maka di sana ada hak yang mesti dituntut. Kata Dr Ali Garisyah dalam ‘Hurumaat La Huquuq/ 1986 – ms 31’ : “Sesungguhnya hak diawasi oleh kewajipan. Maka tidak ada satu hak pun melainkan di hadapannya ada satu kewajipan.Dan menunaikan kewajipan didahulukan ke atas menuntut akan hak…”
Justeru itu, amatlah wajar dua entiti ini difahami dan dihayati oleh setiap manusia di mana saja dan di zaman mana sekali pun.
2. PENGERTIAN HAK DAN KEWAJIPAN
Pengertian hak dan kewajipan yang akan diperkatakan di sini berpandukan beberapa rujukan utama yang disebut secara awalan sebagaimana berikut :
2.1. PENGERTIAN HAK
Kamus Dewan (Edisi Ketiga 2002) menyebut : “Hak : 1. (yg) benar, kebenaran. 2. kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat sesuatu (ditentukan oleh undang-undang, agama, adat istiadat, dll). 3. milik, kepunyaan. 4. yang (mana satu). Berhak : mempunyai hak, mempunyai kuasa (atas sesuatu).Mengehakkan : memberi hak kepada, menentukan hak atas.”
Kitab Al-Ta’riifaat oleh Al-Jurjaaniy menyebut : “Sudut bahasa bermaksud : Perkara sabit yang tidak boleh diingkari. Di sudut istilah ahli Makna : Hak adalah hukum (keputusan) yang selaras dengan realiti. Ia digunakan kepada percakapan, aqidah, agama dan mazhab, dengan mengambil kira rangkuman semua itu ke atas hak. Lawan hak ialah batil.”
2.2. PENGERTIAN KEWAJIPAN
Kamus Dewan (Edisi Ketiga 2002) menyebut : “Kewajipan : 1. sesuatu yang diwajibkan, kemestian, keharusan.2. tugas (tanggungjawab) yang harus dilakukan atas perintah.”
Kalimah ‘Wajib’ ditakrifkan sebagai berikut : Ar 1. hukum suruhan (dlm Islam) yang apabila dilaksanakan mendapat pahala dan apabila ditinggalkan berdosa, misal sembahyang lima waktu dan menunaikan zakat. 2. tidak boleh tidak(diamalkan, dilakukan dsb), mesti, perlu. 3. sudah seharusnya (sepantasnya, sepatutnya). Sewajibnya : semestinya, sewajarnya, seharusnya.Berwajib : (orang, institusi dll yg) bertanggungjawab mengelolakan atau mengurus sesuatu. Mewajibkan : 1. menjadikan wajib (dilakukan, diamalkan, dll) menjadikan kemestian, memestikan, mengharuskan. 2. menyerahkan tugas, (kerja dll) kpd, memestikan sesuatu kpd.Berkewajipan : mempunyai kewajipan(tanggungjawab), bertanggungjawab.
3. SUMBER BAGI MEMAHAMI HAK DAN KEWAJIPAN
Pengertian tentang hak dan kewajipan telah pun dijelaskan. Tetapi hak dan kewajipan itu belum boleh dilaksanakan selagi tidak mengetahui apakah hak-hak yang mesti dituntut dan apakah kewajipan-kewajipan yang mesti ditunaikan. Untuk mengetahui hak-hak dan kewajipan-kewajipan itu, mahu atau tidak, kita mestilah merujuk kepada sumber yang boleh diperakukan ketulenannya dan kelayakannya untuk dipegang dan diterimapakai bersama. Sumber maklumat tentang hak dan kewajipan ini ialah :
3.1. SUMBER WAHYU
Sumber wahyu adalah terdiri daripada Al-Quran dan Al-Hadis. Manakala ijma’ dan qias merupakan sumber maklumat yang berasaskan Al-Quran dan Al-Hadis jua. Sumber wahyu ini amat konkrit lantaran ianya berasaskan kepada Tuhan Pencipta manusia dan Pencipta segala makhluk, yang sudah pasti amat memahami keperluan manusia dan makhluk itu sendiri.
3.2. SUMBER MANUSIA
Sumber manusia adalah maklumat yang diperolehi daripada pengalaman dan pemahaman manusia yang berasaskan pengalaman hidup dalam menentukan hak dan kewajipan. Sumber manusia ini masih terdedah kepada kelemahan yang ketara apabila hendak digunapakai kepada seluruh manusia, lantaran kedangkalan manusia memahami seluruh keperluan manusia yang hidup bukan di zamannya dan bukan ditempatnya.
4. SEBAHAGIAN CONTOH HAK
Seseorang manusia mempunyai hak yang boleh dituntut, sebagaimana ada kewajipan yang mesti ditunaikan. Antara banyak hak itu, ada hak individu atau hak peribadi, ada hak umum atau hak masyarakat dan ada hak negara dan hak alam jagat. Tetapi Islam menandaskan bahawa hak umum atau hak masyarakat lebih besar daripada hak peribadi. Secara ringkas, hak ini dibahagikan kepada dua sahaja iaitu hak HAMBA (INDIVIDU) dan hak ALLAH (KOLEKTIF). Namun di sini, diketengahkan sama satu contoh hak yang dideklarasikan oleh PBB pada 10 Disember 1948 yang dikenali (Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat).
4.1. HAK ASASI
Hak sivil dan politik seperti yang termaktub dalam UDHR (Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat) yang dibuat pada 10 Disember 1948 ialah:
• Perkara 5 – Kebebasan daripada seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan;
• Perkara 9 – Kebebasan daripada dikenakan tangkapan, tahanan atau pembuangan negeri secara sewenang-wenangnya.
• Perkara 13 – Kebebasan untuk bergerak;
• Perkara 20 – Hak untuk kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan; dan
• Perkara 21 – Hak untuk mengambil bahagian dalam kerajaan negaranya, secara langsung atau melalui wakil-wakil yang dipilih dengan bebas.
Hak ekonomi, sosial dan kebudayaan seperti yang termaktub dalam UDHR ialah:
• Perkara 16 – Hak untuk kehidupan berkeluarga;
• Perkara 23 – Hak untuk keadaan-keadaan pekerjaan yang adil dan berfaedah;
• Perkara 25 – Hak untuk suatu taraf hidup yang memadai bagi kesihatan dan kebajikan diri dan keluarganya, termasuklah makanan, pakaian, perumahan dan pengawasan perubatan;
• Perkara 26 – Hak untuk pelajaran; dan
• Perkara 27 – Hak untuk secara bebas mengambil bahagian dalam kegiatan kebudayaan masyarakatnya, menikmati kesenian dan sama-sama merasai kemajuan sains dan faedah-faedahnya.
Namun, Islam menyatakan semenjak 14 kurun yang lalu 5 hak asasi yang utama iaitu :
1. Hak menjaga agama diawasi oleh had riddah.
2. Hak menjaga nyawa diawasi oleh had qisos
3. Hak menjaga keturunan dan dan maruah diri diawasi oleh had zina dan had qazaf.
4. Hak menjaga harta diawasi oleh had kecurian dan hak rompakan, dan
5. Hak menjaga akal diawasi oleh had minum arak
Hak yang paling penting ialah perkara-perkara Dharuuraat (perkara yang mengancam nyawa dan bahaya yang ketara). Perkara Dharuuraat ini adalah darjat maslahat yang paling tinggi. Dan ia boleh mengharuskan perkara-perkara yang dilarang. Bawah sedikit daripada Dharuuraat ini ialah Haajiyaat, dan bawah haajiyaat ialah Tahsiiniyyaat.
Di antara hak asasi yang diperlukan manusia ialah :
1. hak hidup – termasuk hak kawalan daripada kekerasan pemerintah, hak kawalan daripada penyeksaan, hak penjagaan maruah dan harga diri, hak membangun keluarga dan hak pendidikan.
2. hak kebebasan – termasuk hak kebebasan beriktiqad, kebebasan berfikir dan mengungkap, kebebasan beragama, kebebasan puak minoriti, kebebasan perkongsian dalam kehidupan umum, kebebasan hak milik, kebebasan pekerja dan kewajipannya, dan kebebasan hak menetap dan penjagaan keistimewaannya.
3. hak persamaan – merangkumi persamaan di hadapan undang-undang, di hadapan kehakiman dan di hadapan peluang-peluang pekerjaan.
4. hak keadilan – berkenaan hak kehakiman yang adil.
5. hak tabligh dan dakwah – meliputi hak amar ma’ruf dan hak nahi mungkar.
4.2. HAK INDIVIDU
Hak individu ini seperti hak hidup, makan, minum, pakai, milik, belajar, bersuara, rawatan, bekerja, warganegara dan sebagainya. Tetapi apabila bertembung antara hak individu dengan hak masyarakat, maka hak masyarakat mestilah didahulukan selagi tidak melanggar hak individu yang lebih besar. Contoh, hak individu ialah memiliki tanah manakala hak masyarakat ialah memiliki bersama jalan untuk kemudahan awam. Sewaktu berlaku pertembungan antara dua hak ini, maka hak masyarakat mestilah diutamakan tetapi tidak melebihi (baca : mencerobohi) keperluan asasi hak individu iaitu hak memiliki tanah sebagai tapak tempat tinggalnya. Ketika ini, pihak berkuasa bertanggungjawab mencari ganti tapak yang diperlukan bagi individu yang terpaksa berkorban demi hak umum atau hak masyarakat itu. Dalam masyarakat barat, hak individu ini lebih besar daripada hak umum, sehinggakan seseorang boleh bertelanjang bulat tanpa seurat benang pun dalam bandar yang terdiri pelbagai jenis manusia dan tahap umur. Hal ini sudah menceroboh hak umum iaitu ketenteraman jiwa tanpa gangguan emosi yang terhasil daripada mempamerkan tubuh yang merangsang hormon seksual itu. Dalam Islam, penutupan aurat (samada lelaki ayau perempuan) adalah wajib/ fardhu yang mendatangkan pahala apabila dilaksanakannya dengan ikhlas dan berdosa apabila diabaikan dengan sengaja.
4.3. HAK KOLEKTIF
Hak kolektif atau hak Allah atau hak masyarakat ini amat banyak dan merata. Ianya lebih utama daripada hak individu tetapi tidak boleh menceroboh hak individu. Contoh, hak kemudahan asas dan kepentingan awam.
4.4. CONTOH AMALI :
HAK ANAK : Sememangnya hak anak amat besar untuk ditunaikan oleh dua ibubapa. Sebahagian hak anak ialah hak penjagaan semasa kecil, bahkan sewaktu dalam kandungan. Semasa dalam kandungan, ibulah berperanan besar memenuhi hak si anak dengan menjaga pemakanan, mengawal emosi, mengendali pergerakan dan mengamal ibadat kerohanian serta pembinaan akal si ibu sendiri. Ini kerana apa yang dilakukan oleh si ibu, juga si ayah memberi kesan langsung dan tak langsung kepada janin di dalam rahim ibu. Begitu juga semasa bayi, si ibu dan si ayah mestilah memahami zaman perkembangan otak yang paling aktif semasa zaman bayi agar proses pemupukan minda dapat dilakukan sebaik mungkin. Ini adalah hak si anak. Seusia satu hari, si anak berhak mendapat ‘tahnik’ atau ‘belah mulut’.Tujuh hari, berhak mendapat nama yang indah, bercukur rambut dan ‘aqiqah. Tujuh tahun, si anak berhak mendapat pendidikan solat. Usia sepuluh tahun, berhak mendapat asuhan solat yang ketat dan wajar di khitan atau semasa sebelum usia ini lagi. Apabila baligh, si anak berhak mendapat pendidikan asas fardhu ‘ain dalam urusan ‘aqidah, syari’at, akhlak dan sara hidup. Bahkan sebelum baligh hal-hal pendidikan ini ditekankan untuk memberi jaminan semasa baligh mampu melaksanakan kewajipan dan kehidupan.
Bukankah hak—hak si anak ini terlalu besar ? Kemudian itulah baru si ayah dan si ibu berhak mendapat kepatuhan si anak. Kalau tidak, jangan menagih taat si anak dan menghalang derhakanya, justeru si ayah dan si ibulah yang lebih dahulu ‘derhaka’ kepada si anak ; tidak menunaikan kewajipan terhadap si anak itu.
Apabila anak yang dididik sewajarnya itu baligh (usia 15 tahun qamari/ hijrah), cerdik (usia 18 tahun) dan dewasa, barulah si ayah dan si ibu ‘berhak’ menuntut ketaatan si anak dan mestilah si anak menunaikan ‘kewajipannya’.
5. SEBAHAGIAN CONTOH KEWAJIPAN
Seseorang manusia ada kewajipan yang mesti ditunai, sebagaimana mempunyai hak yang boleh dituntut. Antara banyak kewajipan itu, ada kewajipan yang disebut fardhu ‘ain atau kewajipan individu yang tidak boleh diserah tugas kepada pihak lain walau pun dengan upah, ada kewajipan fardhu kifayah atau kewajipan kolektif yang mesti dibuat sehingga tertunai kewajipan itu dan terangkat tanggungjawab daripada bahu masyarakat dan di sana ada satu lagi kewajipan yang disebut sebagai ‘kewajipan semasa’.
5.1. KEWAJIPAN ASASI/ INDIVIDU
Kewajipan asasi ini yang lazim disebut kewajipan fardhu ‘ain meliputi masalah aqidah, syari’at dan akhlak.
5.2. KEWAJIPAN KOLEKTIF
Kewajipan kolektif atau fardhu kifayah ini adalah kewajipan yang amat banyak dan meliputi seluruh urusan hidup. Ianya berprinsipkan ‘menarik manfaat dan menolak mudhorat’. Fardhu kifayah dalam aqidah seperti memahami isme-isme moden masa kini dan aqidah sesat dahulu dan sekarang. Dalam ibadat seperti solat jenazah dan mengurusnya. Dalam muamalat seperti peraturan jual-beli yang menepati syara’. Dalam munakahat seperti melantik qadhi hakim. Dalam jinayaat seperti melantik pihak penguatkuasa undang-undang. Dalam Al-Qada’ seperti melantik khalifah Islam. Manakala dalam akhlak seperti sabar dan nafas panjang dalam menghadapi karenah puak munafiqin dan orang-orang fasiq.
5.3. KEWAJIPAN SEMASA
Kewajipan semasa ini merujuk kepada kewajipan yang datang mendadak lebih utama daripada kewajipan yang sedang dilaksanakan. Solat adalah kewajipan, tetapi apabila berlaku kemalangan yang melibatkan nyawa, maruah dan mudhorat besar seperti kebakaran, sedangkan solat itu boleh ditunda atau diganti, maka kewajipan solat itu bertukar menjadi kewajipan ‘semasa’ iaitu menyelamatkan nyawa, atau maruah, atau menghindari mudhorat besar yang sedang berlaku. Dalam hal ini seseorang itu mestilah memahami masalah keutamaan atau ‘aulawiyyat’.
5.4. CONTOH AMALI :
KEWAJIPAN SI ANAK : Si anak yang mendapat hak dirinya semasa sebelum baligh, bertanggungjawab di atas segala kewajipan-kewajipan yang memberat di pundaknya. Kewajipan si anak terhadap dua ibubapanya cukup besar dan berat sekali. Sehingga berat-ringannya kewajipan ini, berkata ‘Ahh’ yang menggambar keengganan pun sudah dikira dosa, derhaka kepada dua ibubapa ! Bayangkanlah. Sementelahan pula melawan dua ibubapa!
(23. “dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”).
(Al-Isra’/23)
Sewaktu anak lelaki yang sudah dewasa, lalu memilih pasangan hidupnya yang amat dicintai, tiba-tiba si ibu tidak senang dengan akhlak si menantu, maka disuruhnya anak lelaki itu menceraikan isterinya…… si anak lelaki itu berkewajipan menceraikannya * setelah tiada jalan keluar daripada ibunya. Antara isteri yang dicintai dengan ibu yang dihormati, si anak lelaki wajib mematuhi ibu dan melepaskan belahan jiwanya. Bukankah ini suatu keberatan ? Justeru, si anak tidak boleh menaruh cinta sembarangan terhadap gadis pilihannya sebelum mendapat restu si ibunya, meskipun cinta ini bukan boleh memandai sendiri untuk disusun-aturkan. (Untuk tidak mencintai melulu, rendahkan pandangan. Jangan ‘khusyu’ melihat perempuan!)
* Nota : Tajuk ini masih terikat dengan pelbagai isu lain. Ianya lebih relatif/ nisbi dan terikat dengan pelbagai kemungkinan. Oleh itu, kenyataan di atas masih boleh dipelbagaikan andaiannya. Secara asasnya, istilah ‘derhaka’ terhadap ibubapa jua yang menentukan ‘wajib’ menceraikan isteri atau tidaknya, kerana ‘tiada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Khaliq’.
Kewajipan anak kepada ibubapa ini bukan sekadar memberi sara hidup bulanan, tidak juga sekadar merawat ketika sakit, tetapi lebih jauh daripada itu ialah bagaimana membahagiakan dua ibubapa dan meransang keredhaan mereka. Adakala si anak yang ramai itu tidak ada kekayaan harta, tetapi mempunyai kekayaan jiwa. Sewaktu ini, kewajipan si anak berbayar hanya dengan membelai si ibu atau si ayah dengan kesantunan peribadi dan kelunakan bahasa pertiwi. Kenapa sudah memadai sedemikian? Kerana kebahagiaan manusia tidak hanya pada harta dan kepuasan nafsu, bahkan boleh saja dengan sentuhan jiwa dan belaian kasih mesra. Pokoknya ialah dua ibubapa senang dengan anak-anak mereka, tetapi hendaknya jauh daripada maksiat kepada Allah!
6. RUMUSAN AKHIR
Berikut beberapa rumusan yang mustahak diambil perhatian oleh mereka yang cintakan kesejahteraan di dunia dan keselamatan di akhirat :
6.1. FAHAM
Faham merupakan asas tindak tanduk manusia, terutamanya faham akan hak dan kewajipan. Setelah faham hak dan kewajipan, bermulalah langkah mengumpul maklumat satu persatu tentang aqidah, syariat dan akhlak untuk dibina di atas konkrit kefahaman itu.
6.2. PENGUATKUASAAN
Setiap apa yang difahami tidak berguna selagi tidak dikuatkuasakan. Proses penguatkuasaan ini membolehkan segala hak dan kewajipan diserahkan kepada orang yang berkenaan.
6.3. TOLAK ANSUR
Segala hak dan kewajipan ini akan menghadapi suasana tegang, dan terdedah kepada kelemahan individu berkenaan. Maka sewajarnya sikap tolak-ansur dan berlapang dada disemai berterusan dalam menuntut hak dan menunai kewajipan.
6.4. MENCARI KEUNTUNGAN ABADI
Segala hak dan kewajipan yang melingkari seseorang itu mestilah ditujukan kepada kehidupan akhirat, kehidupan abadi, supaya sifat tolak ansur dan sabar semakin kuat menapak di ruang dada seseorang.
Sekian, 030409.
TIP 12
Sebab-sebab kemunduran umat Islam :
1. Kefahaman yang salah tentang Islam dan merebak khurafat dengan nama agama. Contoh kefahaman yang salah seperti tentang konsep ibadah, akhlak, muamalah, ekonomi, sosial dan politik. Manakala khurafat seperti berkaitan uri bagi kelahiran anak.
2. Berlaku kecacatan yang besar dalam ilmu/ pengetahuan Islam, seperti bidang sejarah, disiplin ilmu dan bahkan tentang hukum solat seharian.
3. Kejahilan orang Islam tentang dunia yang berpunca daripada kecacatan pengetahuan tadi, seperti kejahilan tentang hukum sebab dan akibat, tentang tindak balas kimia, tentang senjata moden, teknologi dan pentadbiran.
4. Tersebar kepercayaan Jabariah di alam Islam ; iaitu kepercayaan bahawa manusia itu menurut sahaja takdir Tuhan dan tidak ada kuasa ikhtiar dan pilihan. Kepercayaan ini meletakkan kesalahan kepada pihak Allah, sedang manusia menurut sahaja apa yang berlaku.
5. Lahir budaya dan adat menunjuk-nunjuk di kalangan masyarakat umat Islam, seperti adat mas kahwin yang tinggi dan kenduri yang berlebihan.
6. Kedudukan wanita di zaman kelemahan umat Islam di mana wanita tidak dibenarkan belajar, tidak dibenarkan ke masjid dan dijadikan habuan hawa nafsu kaum lelaki.
7. Kelesuan sastera Arab dan bahasa ibunda umat Islam yang membawa kepada kelemahan penguasaan bahasa. Kesannya ialah umat Islam lambat dalam penguasaan ilmu dan tindak balas dalam isu semasa.
8. Pengurusan harta dalam masyarakat yang pincang sehingga lahirnya kelompok kapitalisma dalam masyarakat umat Islam.
9. Kerusakan sistem politik, di mana dalam hadis ada ditegaskan bermaksud : “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah kehancuran”
– Syeikh Muhammad Al-Ghazali.
-
Recent
-
Pautan
-
Arkib
- November 2009 (2)
- Mei 2009 (4)
- April 2009 (3)
- Februari 2009 (4)
- Disember 2008 (4)
- November 2008 (2)
- Oktober 2008 (4)
- September 2008 (24)
- Ogos 2008 (8)
-
Kategori
-
RSS
Entries RSS
Comments RSS