MENGENAL DIRI 2
2. Mengenal Diri – Akal
Akal manusia adalah harga seseorang yang paling mahal. Di situlah penilaian seseorang manusia. Betapa pun indahnya rupa paras, rangka tubuh, otot badan dan tubuh kasar, semua tiada nilai sekiranya otak tidak berfungsi dan akal terencat mati. Secara fizikal, akal dan minda bergantung kepada kesihatan otak, dan otak berkait dengan pemakanan harian. Otak sebelah kiri, biasanya berfikir dalam bidang bahasa, kiraan matematik, logik, nombor, urutan, analisis dan sebagainya. Otak sebelah kanan pula berfikir dalam konteks bentuk, corak, lukisan, imaginasi, rentak, kreativiti, menyeluruh dan seumpamanya. Akal memerlukan makanan khusus iaitu ILMU pengetahuan. Peningkatan daya fikir berkait rapat dengan kepercayaan dan keyakinan diri, bahan maklumat, tekanan persekitaran, pemakanan, dan cabaran yang dihadapi. Semakin mencabar masalah yang ditempuh, semakin hebat otak bekerja dan meningkat matang.
Baik sangka seseorang terhadap kemampuan dan potensi otak yang dikurniakan Allah amat berkesan dalam meningkatkan daya fikir dan kepintaran akalnya. Baik sangka itu juga bermaksud baik sangka seseorang kepada Allah s.w.t. Sikap ini akan memberi kesediaan diri untuk memberi arahan positif kepada otak untuk berperanan dalam seseuatu aktiviti berfikir.
Otak menjadi aktif apabila bekalan oksigen dan tenaga melalui darah mencukupi. Lantaran itu, edaran darah yang diperlukan oleh otak mestilah berterusan dan stabil. Amalan solat iaitu semasa ruku’ dan sujud merupakan waktu yang berguna untuk penambahan darah – sekaligus oksigen dan tenaga – ke otak. Selain keperluan asas tersebut, otak perlu kepada latihan berfikir yang berterusan.
Berbincang di atas tajuk khusus dan mengikut adab yang teratur amat baik untuk meningkatkan potensi akal seseorang. Selain itu, bermeditasi (menumpukan perhatian, bertafakkur, menungan mendalam), berdebat, menjawab matematik dan teka-teki, mengendali program, membuat karangan, merekacipta bangunan, melukis, mengaplikasi komputer, dan sebagainya juga sesuai untuk meningkatkan potensi akal. Perlu diingatkan bahawa ‘MEMBACA’ adalah aktiviti paling baik untuk meningkatkan daya fikir dan mengaktifkan sel-sel otak yang lemah, bahkan rawatan yang mujarab untuk masalah kesihatan badan keseluruhan. Bukankah tugasan pertama Nabi Muhammad s.a.w. ialah membaca ?
Setiap orang manusia mempunyai kehebatan berfikir yang tersendiri dalam bidang yang tertentu. Tentunya tidak sama cara berfikir dan membuat rumusan dalam sesuatu hal antara individu dengan yang lain. Cuba perhatikan, kanak-kanak yang belum matang berfikir dapat menyelesaikan masalahnya sendiri tanpa bantuan orang dewasa menandakan ia mempunyai kehebatan berfikir yang perlu dihargai.
Perlu disedari sentiasa tentang tugasan akal. Ia adalah pemandu, manakala nafsu atau emosi merupakan bahan tenaga. Tenaga yang memacu tanpa pemandu yang mahir akan menjadikan pekerjaan tidak bermutu tinggi atau akan musnah sama sekali. Begitu juga pemandu yang mahir tanpa tenaga yang mencukup tidak akan menghasilkan kerja yang dibanggakan. Mungkin hasrat tidak kesampaian.
Akhirnya, jangan lupa bahawa manusia adalah satu set anggota yang saling berperanan dan bertindakbalas. Otak dan hasil mindanya, badan dan hasil kerjanya, emosi dan hasil tindakannya, dan roh dan kesan amalannya saling memberi pengaruh terhadap yang lain. Tidak terpisah. Walaupun begitu, rohlah yang paling kuat mengepalai kematangan dan kejayaan seseorang. Secara ringkas, hati dan akal saling bergabung sebagaimana badan dan roh saling bergantung.
TIP MOTIVASI 15
15
أفضل طريق للتغلب على الصعاب اقتحامها
– مثال العرب
Jalan Terbaik Untuk Mengatasi Kesulitan
Ialah Merempuhnya.
Pakar-pakar psikologi dan ilmu jiwa menyatakan bahawa cara menghilangkan rasa takut kepada sesuatu perkara yang tidak sepatutnya ditakuti ialah menghadapi perkara itu melalui tindakan kerja.
Contohnya, sesorang yang takutkan lipas. Bertindaklah mencari lipas dan bermain dengannya. Rasa takut itu akan beransur-ansur hilang. Buatlah secara teratur dan bertahap. Yakinlah, takut itu akan lenyap.
Kembali kepada pepatah di atas.
Cara mengatasi kepayahan, kesulitan, keperitan, kemiskinan, kesakitan, kebimbangan, kerisauan, ketakutan, kesedihan, kemalasan, kebosanan dan segala perasaan negatif ialah menghadapi masalah itu dengan mengambil tindakan dan berdepan dengan segala liku-liku dan susur-galurnya.
Rempuh. Jangan lari daripadanya !
Jangan bagi alasan untuk mengelak dan membiarkannya. Cekalkan hati dan bertekadlah untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah itu seberapa segera kerana selepas itu kita akan BERPENGALAMAN dan akan menemui JALAN KELUAR DAN KEMUDAHAN.
Ingat ! Hanya orang-orang ‘kecil’, berhati kerdil, berjiwa lemah dan berakal buntu sahaja yang mahu melarikan diri, membuat alasan ‘bodoh’ dan mengelak daripada berdepan dengan masalah dirinya sendiri.
Jangan takut kepada UJIAN kerana ianya adalah ranting. Pokoknya, terasnya ialah belajar. Belajarlah dengan tekun. Belajarlah teknik kerjaya. Atasilah masalah kerjaya. Pupuklah semangat belajar dalam kerjaya dan CINTAKAN ILMU dan PENGALAMAN. Tugasan anda menjadi seronok buat anda! Cubalah!
Pegang, tahan panas dinginnya. Rempuh, tanggung untung ruginya/ risikonya.
MENGENAL DIRI
MENGENAL DIRI
Pendahuluan :
Berbahagialah orang yang MENGENALI diri sendiri lalu berhenti di sisinya. Disebut dalam ungkapan mereka yang terdahulu bahawa ‘Permulaan agama Islam itu ialah mengenal Allah’. Rentetan itu, dikatakan juga ‘siapa yang mengenal dirinya, sungguh dia mengenali Tuhannya’.
Proses mengenali diri sendiri ini sememangnya memakan masa panjang. Meskipun diri anda, andalah yang sepatutnya lebih tahu dan lebih memahami, meskipun diri anda, andalah yang lebih awal menyedarinya, namun kenyataan tidak begitu. Anda tahu bahawa anda memerlukan makanan justeru lapar. (Lapar berlaku bukan di atas kehendak anda – ingat yang ini). Tetapi anda mencari makanan ikut selera anda dan bukannya ikut keperluan badan anda. Vitamin apa yang diperlukan oleh badan semasa anda kelaparan ? Jawapan lazimnya ialah vitamin ‘bantai aje’ yang diperlukan asal perut tidak berkeroncong meminta sesuatu. Vitamin sebenar yang diperlukan tidak dipedulikan……itulah yang dikatakan anda tidak mengenali diri sendiri! Tidak mampu membezakan tindakan menurut ‘nafsu’ atau menurut ‘akal’ dalam memenuhi keperluan jasmani.
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradhawi menyebut di dalam bukunya (edisi terjemahan) Nyanyian dan Muzik ; Menurut Perspektif Al-Qur’an dan As-Sunnah (Terbitan Rangkaian Berkat /Pustaka Salam, Ogos 2006), muka surat 16 : “Jika senaman boleh menguatkan tubuh badan, amal ibadat menguatkan roh dan ilmu pengetahuan boleh menguatkan akal fikiran, maka seni pula boleh menguatkan jiwa dan perasaan. Maksud seni di sini ialah seni yang akan meninggikan martabat manusia, bukan seni yang akan menghumbankan mereka ke tahap binatang”.
Betapa ramainya manusia yang tidak mengenali dirinya sendiri hatta ke tahap tidak mengetahui keperluan jasmani, sementelahan pula untuk mengenali keperluan akal, keperluan roh dan keperluan emosi! Apa tidaknya jika dilahap apa saja yang ada di depan mata samada baik untuk jasmani atau tidak, halal atau haram, positif atau negatif, asal saja mengenyangkan dan menyelerakan ? Apa tidaknya jika dibiarkan otak kering kontang daripada teknik berfikir yang positif dan membina umat. Apa tidaknya jika dilalaikan roh dan jiwa sehingga merana tidak segan silu melakukan perkara yang meleburkan maruah dan harga diri. Dan apa tidaknya jika emosi sudah tidak tersentuh dengan peristiwa Gaza, Syatila, Memali, Thunami di Acheh, kebobrokan remaja dan penindasan penguasa! Ah, semua itulah gambaran anda tidak mengenali diri. Jika sebaliknya yang berlaku : halal haram dipeduli, ibadat diamali, ilmu diboloti dan musibah disimpati, maka anda telah berada ditahap MENGENAL DIRI sendiri.
Mengenal diri ini sebagaimana dinyatakan tadi, memakan masa yang panjang. Ia bukan boleh dikuasai dalam tempoh yang singkat. Sebagaimana ia juga memerlukan LATIHAN DAN PEMUPUKAN, mengenal diri memerlukan ilmu dan pengalaman. Perkembangan otak dan jasmani merupakan tenaga bantu peningkatan roh dan emosi. Kalaulah ilmu untuk otak, vitamin untuk badan, maka ilmu dan vitamin itu dapat membantu ibadat untuk roh dan kasih sayang untuk emosi (Kasih sayang itu merupakan satu bentuk seni!). Ibadat memerlukan ilmu, sementara kasih sayang memerlukan makanan. ‘Tahaaduu Tahaabbuu’ – Saling berhadiahlah, kamu akan saling berkasih sayang. Hadiah apa yang mudah disenangi kalau bukan makanan ?
Berikut adalah sedikit penjelasan berkaitan MENGENAL DIRI.
1. Mengenal Diri – Badan
Manusia diciptakan oleh Allah s.w.t. sebagai sebaik-baik makhluk, menjadi penguasa/ khalifah di muka bumi, pemakmur planet bumi, dan hamba Allah sepanjang hayat. Manusia diciptakan mengikut peraturan tetap samada di sudut material mahu pun sudut spiritual, walau bagaimana berbeza warna kulit, bangsa, budaya dan iklim kehidupan. Justeru itu, kita mampu memahami tabiat dan watak manusia dalam semua segi berpandukan peraturan yang Allah s.w.t jelaskan melalui Qur’an, Sunnah, kajian dan pengalaman hidup kita sendiri. Semua peraturan hidup manusia samada zahir atau pun batin mampu diterokai oleh sesiapa jua, asalkan panduan yang dibekalkan itu difahami dan diterimapakai. Tanpa panduan daripada Qur’an dan Sunnah, tabiat hidup manusia tidak akan difahami menyeluruh, meskipun kajian dan pengalaman hidup diselidiki secaara mendalam dan berterusan. Ini adalah satu kepastian yang tidak dapat disangkal, kerana manusia tidak akan mampu menyelami tabiat seluruh manusia hanya bergantung kepada akal dan pengalaman manusia yang terbatas. Lantaran itu, pasrahlah kepada peraturan Allah dan ruang kajian dan pengalaman hidup yang terkumpul.
Apakah cantuman badan manusia ?
Tubuh badan manusia merangkumi darah, daging, air, urat saraf, tulang, kulit, lemak, rerambut dan lain-lain bahan lagi yang mempunyai keistimewaan yang banyak untuk memastikan rutin hidup manusia berterusan sehingga ke tempoh tertentu (Ajal). Bagi kejayaan diri, otot-otot badan dan otak merupakan sasaran penting untuk peningkatan. Otot-otot dan urat saraf perlulah dilatih dan dibiasakan dengan tugas-tugas tertentu bagi membolehkannya mampu memenuhi kehendak diri sendiri. Manakala otak, sebagaimana dimaklumi bersama, merupaka organ paling penting untuk menjana kejayaan hidup peribadi dan pihak lain. Secara dasar, prinsip yang perlu disemat dalam ingatan kita ialah semakin kuat bekerja semakin bertambah sasa, semakin kerap musibah semakin hebat berubah, semakin kerap masalah semakin mantap mengolah, semakin banyak ujian semakin lenyap kesangsian, dan semakin tinggi jawatan semakin pasti kejayaan.
Mari kita lihat realiti hidup kita pada hari ini. Athlit-athlit negara dalam semua bidang, tidak mampu bertahan sekiranya latihan tidak diperhebatkan di samping teknik-teknik yang sesuai. Larian berhajat kepada kekuatan otot kaki, tinju berhajat kepada kekuatan tumbukan, silat berhajat kepada ketangkasan, kendali program berhajat kepada ilmu pengetahuan dan pengalaman, mentadbir negeri berhajat kepada ilmu pengurusan, kepimpinan, keberanian, kepintaran, lapang dada dan pengalaman hidup yang luas. Pendek kata, setiap aktiviti memerlukan keistimewaan anggota badan yang tersendiri, terlatih, terdidik, terasuh sehingga menjadi suatu kemahiran yang tinggi.
Badan kita mempunyai potensi untuk ditingkatkan. Pelatih akrobatik mampu menggerakkan badan dengan pelbagai aksi adalah hasil latihan badan yang berterusan sehingga mencapai tahap berkemahiran tinggi. Begitu juga ahli gusti, kung fu, pemain profesional bola sepak, nelayan, petani, pendidik dan dan sebagainya. Badan juga memerlukan makanan dan tenaga. Tingkatkanlah potensi badan anda !
TIP MOTIVASI 14
Untuk menjadikan Agama Allah itu tinggi mestilah memenuhi sepuluh perkara berikut :
1. Dasar, prinsip, perlembagaan, akta dan enekmen negara atau negeri berteraskan sumber rujukan Islam iaitu Qur’an, Hadis, Ijma’ dan Qias.
2. Hukum-hukum Allah dikuatkuasakan dalam negara di semua peringkat.
3. Lima rukun-rukun Islam iaitu shahadah, solat, zakat, puasa dan haji dan lima keperluan asas manusia iaitu agama, nyawa, akal, harta, keturunan atau maruah diri hendaklah terjaga dan dilaksanakan dalam kehidupan masyarakat.
4. Perilaku dan akhlak Islam seperti amanah, benar, suka menolong perkara kebajikan, mengelak diri daripada kejahatan, mempermudahkan urusan awam, dsb disuburkan dalam pergaulan dan muamalah masyarakat dan keluarga.
5. Keamanan dan keselamatan awam terjamin oleh keimanan dan sikap penduduk dan ahli masyarakat, dan bukannya bergantung kepada pengawasan polis dan tentera.
6. Aqidah, syari’at, akhlak, keilmuan, kebudayaan, adat dan rutin hidup individu, keluarga, masyarakat dan negara terjamin dan berasaskan pengajaran Islam.
7. Manusia sentiasa mengingati Allah dalam segala urusan hidup, sehinggakan orang bukan Islam pun turut menghormati peraturan dan kehidupan masyarakat Islam meskipun mereka masih menganut agama mereka.
8. Pandangan umum masyarakat dan kira bicara mereka di merata tempat tidak melupakan Allah dan batas-batas syari’atNya.
9. Syiar-syiar dan perlambangan Islam dijaga dan dihormati.
10. Hak asasi manusia terpelihara dan diutamakan.
Apabila sepuluh perkara ini tercapai, maka benarlah seseorang itu atau kelompok manusia itu berjuang dan membelanjakan hartanya di jalan Allah. Kalau tidak, sesia dan kosonglah pengorbanan yang dilakukan oleh mereka itu. Justeru itu, Islam mewajibkan penganutnya belajar memahami matlamat, memahami sasaran, memahami cara dan wasilah, syarat, rukun, penyempurna dan pelengkap dan apa yang berkaitan dengan sesuatu amalan sebelum bertindak melaksanakannya.
-
Recent
-
Pautan
-
Arkib
- November 2009 (2)
- Mei 2009 (4)
- April 2009 (3)
- Februari 2009 (4)
- Disember 2008 (4)
- November 2008 (2)
- Oktober 2008 (4)
- September 2008 (24)
- Ogos 2008 (8)
-
Kategori
-
RSS
Entries RSS
Comments RSS