Monoja68’s Weblog

RedhaMu, Tuhan!

MENGENAL DIRI

MENGENAL DIRI

Pendahuluan :

Berbahagialah orang yang MENGENALI diri sendiri lalu berhenti di sisinya. Disebut dalam ungkapan mereka yang terdahulu bahawa ‘Permulaan agama Islam itu ialah mengenal Allah’. Rentetan itu, dikatakan juga ‘siapa yang mengenal dirinya, sungguh dia mengenali Tuhannya’.

Proses mengenali diri sendiri ini sememangnya memakan masa panjang. Meskipun diri anda, andalah yang sepatutnya lebih tahu dan lebih memahami, meskipun diri anda, andalah yang lebih awal menyedarinya, namun kenyataan tidak begitu. Anda tahu bahawa anda memerlukan makanan justeru lapar. (Lapar berlaku bukan di atas kehendak anda – ingat yang ini). Tetapi anda mencari makanan ikut selera anda dan bukannya ikut keperluan badan anda. Vitamin apa yang diperlukan oleh badan semasa anda kelaparan ? Jawapan lazimnya ialah vitamin ‘bantai aje’ yang diperlukan asal perut tidak berkeroncong meminta sesuatu. Vitamin sebenar yang diperlukan tidak dipedulikan……itulah yang dikatakan anda tidak mengenali diri sendiri! Tidak mampu membezakan tindakan menurut ‘nafsu’ atau menurut ‘akal’ dalam memenuhi keperluan jasmani.

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradhawi menyebut di dalam bukunya (edisi terjemahan) Nyanyian dan Muzik ; Menurut Perspektif Al-Qur’an dan As-Sunnah (Terbitan Rangkaian Berkat /Pustaka Salam, Ogos 2006), muka surat 16 : “Jika senaman boleh menguatkan tubuh badan, amal ibadat menguatkan roh dan ilmu pengetahuan boleh menguatkan akal fikiran, maka seni pula boleh menguatkan jiwa dan perasaan. Maksud seni di sini ialah seni yang akan meninggikan martabat manusia, bukan seni yang akan menghumbankan mereka ke tahap binatang”.

Betapa ramainya manusia yang tidak mengenali dirinya sendiri hatta ke tahap tidak mengetahui keperluan jasmani, sementelahan pula untuk mengenali keperluan akal, keperluan roh dan keperluan emosi! Apa tidaknya jika dilahap apa saja yang ada di depan mata samada baik untuk jasmani atau tidak, halal atau haram, positif atau negatif, asal saja mengenyangkan dan menyelerakan ? Apa tidaknya jika dibiarkan otak kering kontang daripada teknik berfikir yang positif dan membina umat. Apa tidaknya jika dilalaikan roh dan jiwa sehingga merana tidak segan silu melakukan perkara yang meleburkan maruah dan harga diri. Dan apa tidaknya jika emosi sudah tidak tersentuh dengan peristiwa Gaza, Syatila, Memali, Thunami di Acheh, kebobrokan remaja dan penindasan penguasa! Ah, semua itulah gambaran anda tidak mengenali diri. Jika sebaliknya yang berlaku : halal haram dipeduli, ibadat diamali, ilmu diboloti dan musibah disimpati, maka anda telah berada ditahap MENGENAL DIRI sendiri.

Mengenal diri ini sebagaimana dinyatakan tadi, memakan masa yang panjang. Ia bukan boleh dikuasai dalam tempoh yang singkat. Sebagaimana ia juga memerlukan LATIHAN DAN PEMUPUKAN, mengenal diri memerlukan ilmu dan pengalaman. Perkembangan otak dan jasmani merupakan tenaga bantu peningkatan roh dan emosi. Kalaulah ilmu untuk otak, vitamin untuk badan, maka ilmu dan vitamin itu dapat membantu ibadat untuk roh dan kasih sayang untuk emosi (Kasih sayang itu merupakan satu bentuk seni!). Ibadat memerlukan ilmu, sementara kasih sayang memerlukan makanan. ‘Tahaaduu Tahaabbuu’ – Saling berhadiahlah, kamu akan saling berkasih sayang. Hadiah apa yang mudah disenangi kalau bukan makanan ?
Berikut adalah sedikit penjelasan berkaitan MENGENAL DIRI.

1. Mengenal Diri – Badan

Manusia diciptakan oleh Allah s.w.t. sebagai sebaik-baik makhluk, menjadi penguasa/ khalifah di muka bumi, pemakmur planet bumi, dan hamba Allah sepanjang hayat. Manusia diciptakan mengikut peraturan tetap samada di sudut material mahu pun sudut spiritual, walau bagaimana berbeza warna kulit, bangsa, budaya dan iklim kehidupan. Justeru itu, kita mampu memahami tabiat dan watak manusia dalam semua segi berpandukan peraturan yang Allah s.w.t jelaskan melalui Qur’an, Sunnah, kajian dan pengalaman hidup kita sendiri. Semua peraturan hidup manusia samada zahir atau pun batin mampu diterokai oleh sesiapa jua, asalkan panduan yang dibekalkan itu difahami dan diterimapakai. Tanpa panduan daripada Qur’an dan Sunnah, tabiat hidup manusia tidak akan difahami menyeluruh, meskipun kajian dan pengalaman hidup diselidiki secaara mendalam dan berterusan. Ini adalah satu kepastian yang tidak dapat disangkal, kerana manusia tidak akan mampu menyelami tabiat seluruh manusia hanya bergantung kepada akal dan pengalaman manusia yang terbatas. Lantaran itu, pasrahlah kepada peraturan Allah dan ruang kajian dan pengalaman hidup yang terkumpul.

Apakah cantuman badan manusia ?

Tubuh badan manusia merangkumi darah, daging, air, urat saraf, tulang, kulit, lemak, rerambut dan lain-lain bahan lagi yang mempunyai keistimewaan yang banyak untuk memastikan rutin hidup manusia berterusan sehingga ke tempoh tertentu (Ajal). Bagi kejayaan diri, otot-otot badan dan otak merupakan sasaran penting untuk peningkatan. Otot-otot dan urat saraf perlulah dilatih dan dibiasakan dengan tugas-tugas tertentu bagi membolehkannya mampu memenuhi kehendak diri sendiri. Manakala otak, sebagaimana dimaklumi bersama, merupaka organ paling penting untuk menjana kejayaan hidup peribadi dan pihak lain. Secara dasar, prinsip yang perlu disemat dalam ingatan kita ialah semakin kuat bekerja semakin bertambah sasa, semakin kerap musibah semakin hebat berubah, semakin kerap masalah semakin mantap mengolah, semakin banyak ujian semakin lenyap kesangsian, dan semakin tinggi jawatan semakin pasti kejayaan.

Mari kita lihat realiti hidup kita pada hari ini. Athlit-athlit negara dalam semua bidang, tidak mampu bertahan sekiranya latihan tidak diperhebatkan di samping teknik-teknik yang sesuai. Larian berhajat kepada kekuatan otot kaki, tinju berhajat kepada kekuatan tumbukan, silat berhajat kepada ketangkasan, kendali program berhajat kepada ilmu pengetahuan dan pengalaman, mentadbir negeri berhajat kepada ilmu pengurusan, kepimpinan, keberanian, kepintaran, lapang dada dan pengalaman hidup yang luas. Pendek kata, setiap aktiviti memerlukan keistimewaan anggota badan yang tersendiri, terlatih, terdidik, terasuh sehingga menjadi suatu kemahiran yang tinggi.

Badan kita mempunyai potensi untuk ditingkatkan. Pelatih akrobatik mampu menggerakkan badan dengan pelbagai aksi adalah hasil latihan badan yang berterusan sehingga mencapai tahap berkemahiran tinggi. Begitu juga ahli gusti, kung fu, pemain profesional bola sepak, nelayan, petani, pendidik dan dan sebagainya. Badan juga memerlukan makanan dan tenaga. Tingkatkanlah potensi badan anda !

Advertisement

Mei 12, 2009 - Posted by | Uncategorized

Tiada komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: