MENGENAL DIRI 2
2. Mengenal Diri – Akal
Akal manusia adalah harga seseorang yang paling mahal. Di situlah penilaian seseorang manusia. Betapa pun indahnya rupa paras, rangka tubuh, otot badan dan tubuh kasar, semua tiada nilai sekiranya otak tidak berfungsi dan akal terencat mati. Secara fizikal, akal dan minda bergantung kepada kesihatan otak, dan otak berkait dengan pemakanan harian. Otak sebelah kiri, biasanya berfikir dalam bidang bahasa, kiraan matematik, logik, nombor, urutan, analisis dan sebagainya. Otak sebelah kanan pula berfikir dalam konteks bentuk, corak, lukisan, imaginasi, rentak, kreativiti, menyeluruh dan seumpamanya. Akal memerlukan makanan khusus iaitu ILMU pengetahuan. Peningkatan daya fikir berkait rapat dengan kepercayaan dan keyakinan diri, bahan maklumat, tekanan persekitaran, pemakanan, dan cabaran yang dihadapi. Semakin mencabar masalah yang ditempuh, semakin hebat otak bekerja dan meningkat matang.
Baik sangka seseorang terhadap kemampuan dan potensi otak yang dikurniakan Allah amat berkesan dalam meningkatkan daya fikir dan kepintaran akalnya. Baik sangka itu juga bermaksud baik sangka seseorang kepada Allah s.w.t. Sikap ini akan memberi kesediaan diri untuk memberi arahan positif kepada otak untuk berperanan dalam seseuatu aktiviti berfikir.
Otak menjadi aktif apabila bekalan oksigen dan tenaga melalui darah mencukupi. Lantaran itu, edaran darah yang diperlukan oleh otak mestilah berterusan dan stabil. Amalan solat iaitu semasa ruku’ dan sujud merupakan waktu yang berguna untuk penambahan darah – sekaligus oksigen dan tenaga – ke otak. Selain keperluan asas tersebut, otak perlu kepada latihan berfikir yang berterusan.
Berbincang di atas tajuk khusus dan mengikut adab yang teratur amat baik untuk meningkatkan potensi akal seseorang. Selain itu, bermeditasi (menumpukan perhatian, bertafakkur, menungan mendalam), berdebat, menjawab matematik dan teka-teki, mengendali program, membuat karangan, merekacipta bangunan, melukis, mengaplikasi komputer, dan sebagainya juga sesuai untuk meningkatkan potensi akal. Perlu diingatkan bahawa ‘MEMBACA’ adalah aktiviti paling baik untuk meningkatkan daya fikir dan mengaktifkan sel-sel otak yang lemah, bahkan rawatan yang mujarab untuk masalah kesihatan badan keseluruhan. Bukankah tugasan pertama Nabi Muhammad s.a.w. ialah membaca ?
Setiap orang manusia mempunyai kehebatan berfikir yang tersendiri dalam bidang yang tertentu. Tentunya tidak sama cara berfikir dan membuat rumusan dalam sesuatu hal antara individu dengan yang lain. Cuba perhatikan, kanak-kanak yang belum matang berfikir dapat menyelesaikan masalahnya sendiri tanpa bantuan orang dewasa menandakan ia mempunyai kehebatan berfikir yang perlu dihargai.
Perlu disedari sentiasa tentang tugasan akal. Ia adalah pemandu, manakala nafsu atau emosi merupakan bahan tenaga. Tenaga yang memacu tanpa pemandu yang mahir akan menjadikan pekerjaan tidak bermutu tinggi atau akan musnah sama sekali. Begitu juga pemandu yang mahir tanpa tenaga yang mencukup tidak akan menghasilkan kerja yang dibanggakan. Mungkin hasrat tidak kesampaian.
Akhirnya, jangan lupa bahawa manusia adalah satu set anggota yang saling berperanan dan bertindakbalas. Otak dan hasil mindanya, badan dan hasil kerjanya, emosi dan hasil tindakannya, dan roh dan kesan amalannya saling memberi pengaruh terhadap yang lain. Tidak terpisah. Walaupun begitu, rohlah yang paling kuat mengepalai kematangan dan kejayaan seseorang. Secara ringkas, hati dan akal saling bergabung sebagaimana badan dan roh saling bergantung.
TIP MOTIVASI 15
15
أفضل طريق للتغلب على الصعاب اقتحامها
– مثال العرب
Jalan Terbaik Untuk Mengatasi Kesulitan
Ialah Merempuhnya.
Pakar-pakar psikologi dan ilmu jiwa menyatakan bahawa cara menghilangkan rasa takut kepada sesuatu perkara yang tidak sepatutnya ditakuti ialah menghadapi perkara itu melalui tindakan kerja.
Contohnya, sesorang yang takutkan lipas. Bertindaklah mencari lipas dan bermain dengannya. Rasa takut itu akan beransur-ansur hilang. Buatlah secara teratur dan bertahap. Yakinlah, takut itu akan lenyap.
Kembali kepada pepatah di atas.
Cara mengatasi kepayahan, kesulitan, keperitan, kemiskinan, kesakitan, kebimbangan, kerisauan, ketakutan, kesedihan, kemalasan, kebosanan dan segala perasaan negatif ialah menghadapi masalah itu dengan mengambil tindakan dan berdepan dengan segala liku-liku dan susur-galurnya.
Rempuh. Jangan lari daripadanya !
Jangan bagi alasan untuk mengelak dan membiarkannya. Cekalkan hati dan bertekadlah untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah itu seberapa segera kerana selepas itu kita akan BERPENGALAMAN dan akan menemui JALAN KELUAR DAN KEMUDAHAN.
Ingat ! Hanya orang-orang ‘kecil’, berhati kerdil, berjiwa lemah dan berakal buntu sahaja yang mahu melarikan diri, membuat alasan ‘bodoh’ dan mengelak daripada berdepan dengan masalah dirinya sendiri.
Jangan takut kepada UJIAN kerana ianya adalah ranting. Pokoknya, terasnya ialah belajar. Belajarlah dengan tekun. Belajarlah teknik kerjaya. Atasilah masalah kerjaya. Pupuklah semangat belajar dalam kerjaya dan CINTAKAN ILMU dan PENGALAMAN. Tugasan anda menjadi seronok buat anda! Cubalah!
Pegang, tahan panas dinginnya. Rempuh, tanggung untung ruginya/ risikonya.
-
Recent
-
Pautan
-
Arkib
- November 2009 (2)
- Mei 2009 (4)
- April 2009 (3)
- Februari 2009 (4)
- Disember 2008 (4)
- November 2008 (2)
- Oktober 2008 (4)
- September 2008 (24)
- Ogos 2008 (8)
-
Kategori
-
RSS
Entries RSS
Comments RSS