TIP MOTIVASI 8
Motivasi Belajar Dan Pengurusan Diri.
Belajar adakalanya membosankan apabila ia menjadi satu bebanan yang menghambat kita. Adakalanya ia menyeronokan apabila ia menjadi satu hobi yang memecut kita.
Motivasi belajar tentunya berkait rapat dengan pengurusan diri.
Pengurusan diri berkait rapat dengan cara kita berfikir.
Cara kita berfikir pula berkait rapat dengan solat kita.
Dan solat kita pastinya berkait rapat dengan iman kita kepada Allah.
Dengan kata lain, puncanya ialah iman.
Bagaimana cara berfikir kita berkait dengan solat ?
Cuba perhatikan satu kenyatan berikut :
Untuk mendapat konsentrasi (tumpuan) fikiran mestilah duduk tegak, membaca/ menulis, mata melihat sasaran dan telinga mendengar kenyataan. Itu kenyataan pengkaji barat dan pakar motivasi kini. Solat lebih awal mendidik kita berbuat demikian. Untuk ‘khusyu’’ ( menghimpun daya fikir/akal dan memberi tumpuan) mestilah berdiri tegak, membaca ayat, melihat tempat sujud dan memperdengarkan bacaan kita ke telinga sendiri atau mendengar penuh perhatian kepada bacaan imam.
Bukankah latihan khusyu’ itu lebih berwawasan daripada latihan konsentrasi yang disarankan? Dalam pada itu pun istilah khusyu’ dan konsentrasi adalah hampir sama dan sinonim.
Belajar teknik belajar adalah penting.
Praktikal teknik belajar lebih penting.
Dan kemahuan untuk belajar terlebih penting.
Pengurusan diri termasuk jadual rutin harian, pengurusan makan minum, pengurusan pakaian, rumah tangga, kewangan, masa belajar, kuliah, persatuan dan jamaah.
Ingat ! Termasuk pengurusan diri ialah
cara berfikir dan kawalan emosi dalam semua sudut.
Monoja 260206
TIP MOTIVASI 7
Perlu dingatkan tentang peristiwa Bilal bin Rabah r.a. Orang banyak melihat beliau dengan pandangan positif (putih) dan baik, bukan pandangan negatif (hitam) dan buruk biarpun warna kulitnya hitam pekat. Kenapa ? Kerana beliau membina pandangan orang dengan membentuk peribadi dirinya sehingga orang tidak nampak warna kulitnya tetapi nampak warna imannya.
Beliau membentuk cara berfikir orang lain terhadapnya dengan mempamerkan rangka peribadinya yang unggul dan menarik, sehingga orang melihat dirinya ke dalam batin bukan dirinya ke luar zahir. Untuk berubah, kita mesti berubah fikiran. Untuk merubah orang lain terhadap kita, mesti juga merubah caranya berfikir. Tetapi kita mesti memperlihatkan imej diri yang positif. Apa yang kita pamerkan tentang kita, itulah yang akan dilihat orang tentang diri kita.
Sayyidina Umar r.a. mempamerkan keimanan dan keadilannya sehingga orang nampak dirinya dengan dua ciri tersebut. Sy. Abu Bakar r.a. mempamerkan keimanan, ketegasan dan pemurahnya sehingga orang tidak nampak lain daripada sifat-sifat terpujinya itu. Imam Syafie r.h. dilihat orang pada kejituan ilmunya justeru yang itulah dipamerkan olehnya. Imam Hasan Albanna r.h. dilihat sebagai seorang tokoh mujaddid dan da’i kurun yang ke 20 lepas, justeru ciri itulah yang dipamerkan dalam riwayat dirinya.
Sikap kita yang dilihat orang, bukannya rupa kita.
Monoja 260206
TIP MOTIVASI 6
Al hamdulillah, solawat dan salam buat junjungan Rasulullah, keluarganya dan para sahabat sekalian.
Perjalanan hidup kita tidak ada masa rehat atau henti. Langkah demi langkah mesti diatur. Mereka yang tidak berkejaran memburu dan membina peluang hidup akan berdepan dangan sengsara kematian sebelum mati. Renungilah sejarah para rasul, bilakah masa mereka cuti dan pencen ? Walhal mereka adalah orang terpilih di bawah payungan Allah. “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.” Al-Balad/4. Renungilah sejarah setiap anak kecil yang sentiasa bergerak dan aktif, pada hal apalah yang didapatnya dengan pergerakan yang berterusan itu ? Rupanya, di situlah langkah pertama dan peringatan awal untuk hari depannya bahawa hidup adalah perjuangan yang mesti sentiasa aktif dan cergas. Jika tidak, gelombang hidupnya akan melontar dirinya ke suatu lokasi yang memeritkan hidup dan matinya. Mahu tidak mahu, manusia mesti bekerja keras mencapai matlamat agung iaitu Keredhaan Allah.
Pengalaman orang yang berjaya perlu diikuti. Dan pengalaman orang yang gagal jangan dipeduli.
Jangan bertanya orang-orang yang gagal, kalau mahu berjaya. Dan jangan bertanya orang-orang yang berjaya, kalau mahu gagal.
Orang-orang yang berjaya sahaja yang tahu jalan kejayaan. Manakala jalan-jalan kegagalan sebenarnya tidak diketahui pun oleh orang-orng yang gagal itu sendiri. Kalaulah mereka tahu, tentu mereka tidak mahu melaluinya, kerana tidak ada orang yang mahu gagal dalam hidup. Inilah keganjilan hidup.
Monoja.260206
TIP MOTIVASI 5
“KUNCI BAGI SEMUA PENGURUSAN ; PENGURUSAN ORANG LAIN, PENGURUSAN SUMBER ANDA, DAN PENGURUSAN MASA DEPAN ANDA, IALAH PENGURUSAN DIRI.”
Apa Yang Perlu Dikatakan Apabila Anda Berbicara Dengan Diri Anda Sendiri. M.s. 230. Edisi terjemahan – Dr. Shad Helmtetter
TIP MOTIVASI 4
Dr. Shad Helmtetter berkata :
“Setelah mengkaji falsafah, teori dan kaedah-kaedah yang dipraktikkan dalam mempengaruhi tingkah laku manusia, saya begitu terperanjat sekali apabila mendapati betapa mudahnya satu fakta yang kecil itu :
Anda akan menjadi apa yang anda selalu fikirkan ;
Kejayaan atau kegagalan anda dalam apa saja, besar atau kecil, bergantung kepada pemprograman anda – apa yang anda terima daripada orang lain dan apa yang anda katakan apabila anda berbicara dengan diri anda sendiri
Ia bukan lagi satu teori kejayaan ; ia adalah satu fakta yang mudah tetapi begitu berpengaruh. Nasib dan keinginan juga tiada langsung kaitan dengannya. Tidak ada bezanya samada anda mempercayainya atau tidak. Otak anda mempercayai apa yang anda sentiasa katakan kepadanya. Ia akan mencipta berdasarkan apa yang anda katakan kepadanya tentang diri anda. Ia tiada pilihan lain.”
(Dr. Shad Helmtetter : Apa Yang Perlu Dikatakan Apabila Anda Berbicara Dengan Diri Anda Sendiri. M.s. 12. Edisi terjemahan )
TIP MOTIVASI 3
“Kuasa-kuasa alam yang paling kuat adalah yang tidak dapat dilihat : Haba, Bunyi, Letrik, graviti – seperti juga kuasa manusia yang paling kuat, tidak dapat dilihat : Cinta, Pemikiran, Keinginan, Kepercayaan. Anda akan dapat merasa dan melihat kesannya.”
(Bagaimana Memenuhi Keinginan Anda – Oleh M.R. Kopmeyer. Penerbit : Thinker’s Library Sdn. Bhd. / Cetakan ketiga 2003. Ms 116)
-
Recent
-
Pautan
-
Arkib
- November 2009 (2)
- Mei 2009 (4)
- April 2009 (3)
- Februari 2009 (4)
- Disember 2008 (4)
- November 2008 (2)
- Oktober 2008 (4)
- September 2008 (24)
- Ogos 2008 (8)
-
Kategori
-
RSS
Entries RSS
Comments RSS