Monoja68’s Weblog

RedhaMu, Tuhan!

PANDANGAN HIDUPKU 3

(11)

AMAL SOSIAL  ISLAMI

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :  

كُلُّ سُلَامَى مِنْ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ يَعْدِلُ بَيْنَ الِاثْنَيْنِ صَدَقَةٌ وَيُعِينُ الرَّجُلَ عَلَى دَابَّتِهِ فَيَحْمِلُ عَلَيْهَا أَوْ يَرْفَعُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ وَكُلُّ خُطْوَةٍ يَخْطُوهَا إِلَى الصَّلَاةِ صَدَقَةٌ وَيُمِيطُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ.

– البخارى ومسلم

Bermaksud :

Daripada Abu Hurairah r.ah. berkata : Sabda Rasulullah s.a.w.  :

“ Setiap sendi daripada manusia ada (tanggungjawab) sedeqah di setiap hari yang terbit matahari padanya ; Mengadili (mendamaikan) antara dua pihak (yang bertelagah) adalah sedeqah, menolong seseorang atas tunggangannya (kenderaannya), lalu dia membawa ke atas tunggangan (kenderaan) itu atau mengangkat ke atasnya barangan lelaki itu adalah sedeqah, kalimah yang baik (nasihat atau motivasi) adalah sedeqah, setiap langkah yang dilangkahinya menuju solat (di masjid) adalah sedeqah dan menghapuskan bahaya/ gangguan daripada jalan (orang ramai) adalah sedeqah.”

 

Sedeqah ialah ‘memberi sesuatu untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dan mengharapkan pahala dan ganjaran’. (Kamus Al-Raid). Atau, sedeqah ialah apa yang dikeluarkan oleh manusia daripada hartanya atas bentuk ‘qurbah’ (pendekatan diri kepada Allah s.w.t.) seperti zakat, tetapi sedeqah pada asalnya dikatakan untuk orang yang sukarela dengannya dan zakat untuk yang wajib. Kadang-kala disebut juga yang wajib itu sedeqah apabila tuannya mencari sifat benar pada perbuatannya. (Mu’jam Mufradat Alfaz Al-Qur’an, oleh Al-Raghib Al Isfihaniy)

 

Ruang lingkup sedeqah/ sumbangan yang digambarkan oleh hadis di atas :

Mendamaikan dua pihak yang bertelagah

Memberi khidmat dan membantu orang lain

Nasihat dan memberi dorongan/ motivasi

Melakukan solat di masjid

Membuang dan menghapuskan gangguan daripada jalan orang ramai

 

1.      Mendamaikan dua pihak yang bertelagah

a.      Kerja mendamaikan dua pihak yang bertelagah, berkelahi, berbalah, bertembung dan tidak sekata dihitung oleh Nabi s.a.w sebagai sedeqah, walhal sedeqah sebagaimana ditanggapi oleh sebahagian masyarakat kita dan sebagaimana sedia maklum merupakan kerja ibadat dan kebajikan keagamaan.

 

Hakikatnya, tugas sebegini besar dalam kehidupan bersosial adalah antara intipati ajaran Islam yang dilumpuhkan oleh penjajah daripada pemikiran umat Islam, lalu masyarakat Islam sendiri merasakan ianya tugas yang bukan keagamaan. Pemisahan antara agama dan urusan hidup, Islam dan politik, dunia dan akhirat adalah hasil satu doktrin yang diceduk daripada falsafah materialistik dan ajaran Kristian yang kemudiannya disorokkan ke dalam pemikiran umat Islam supaya menjadi ajaran Islam, agar mudah penjajah memboloti segala aset dan hasil kekayaan umat Islam dan dibawa pulang ke tanah asal mereka.

 

Sekiranya kita mentelaah ayat-ayat Qur’an dan hadis-hadis Nabi s.a.w., kita akan menemui pelbagai sentuhan bidang kehidupan yang disarankan. Namun, suasana ‘tekanan’ dan ‘jajahan’ fizikal dan mental, emosi dan jiwa umat Islam berabad-abad lamanya menjadikan tumpuan para ulama di zaman tersebut menjurus kepada ritual ibadat sekitar solat, puasa, zakat, haji dan hal-hal kekeluargaan yang terbatas. Bukan para ulama silam tidak tahu dan tidak membicarakan tentang ruang lingkup Islam yang menyeluruh, tetapi zaman penjajahan itu membataskan suara ulama’ dalam jarak yang sempit dan masyarakat tidak mendapat hembusan kefahaman yang tepat. Suara-suara kefahaman Islam yang lengkap dan menyeluruh itu tidak mampu menjadi ‘suara rakyat’ dan ‘bicara umum’. Tentunya hal itu memberi hasil sebagaimana yang dikecapi oleh masyarakat kita pada hari ini. Bincang saja tentang aktiviti sosial dan pengurusan awam, maka hilanglah roh ‘kerana Allah’, lenyaplah bahasa ‘agama’, dan asinglah Islam daripada kehidupan. Justeru itu, hadis di atas akan membawa kita pulang semula kepangkuan asal kehidupan dan keIslaman yang diutusi.

 

Tugas mendamaikan dua pihak yang bertembung bukan sebarangan tugas. Ia memerlukan kepakaran tersendiri dan kesenian yang terlatih. Paling tidaknya ia memerlukan : Maklumat yang sebenar kedua-dua pihak, kemampuan berkomunikasi yang tinggi, kecekalan hati yang padu, keberanian yang menyerlah, kesediaan menerima risiko yang memuncak, dan yang paling utamanya ialah ketulusan hati dalam membina masyarakat yang harmoni mengikut acuan Islam.

 

Masyarakat Islam perlu menyedari bahawa kerja mendamaikan orang yang berkelahi, menyatukan mereka yang berbalah adalah kerja mulia dan tinggi nilai baktinya. Kerja ini bukan kerja mencari ‘nahas’ dan mendapat ‘sakit’ sebagaimana tanggapan sebahagian ahli masyarakat hari ini. Ibu bapa kepada anak-anak yang berani mendamaikan orang lain sepatutnya merasa bangga dengan ketokohan dan kemuliaan peribadi si anak menjadi pengantara dan ‘diplomat’ kepada mereka yang bersengketa. Mereka yang mengambil peranan ‘jaksa pendamai’ ini mesti diberi sokongan dan dibekali ‘modal’ untuk menyatukan pihak yang berpecah. Sebenarnya mereka sedang ‘bersedeqah’ ! Bencikah ibu-bapa dan anggota masyarakat kepada mereka yang bersedeqah ?

 

b.      Mereka yang mempunyai bakat dan kebolehan menyatupadukan pihak yang berpecah sememangnya orang yang membina watak kepimpinan untuk masa depan, bahkan untuk masa kini ! Mereka yang sanggup mendengar cemuhan dan kata nista daripada salah satu pihak yang bertelagah atau kedua-dua pihak yang terlibat, kemudian menyaring segala kekeruhan yang ada dan dihidangkan serbat yang jernih untuk diminum oleh kedua-dua pihak agar mendapat keharmonian hidup, mereka yang sanggup berbuat demikian bukan calang-calang orang…. mereka itu tentu dari kalangan orang-orang biasa yang bertekad luar biasa, berjiwa besar, berlapang dada, penyabar, cekal, penyantun, bijak, banyak idea dan merupakan tokoh masyarakat setempat. Kenapa kita perlu ‘mengurangkan’ bilangan orang-orang sebegitu ?

 

2.      Memberi khidmat dan membantu orang lain

a.      Tolong-menolong dalam kebajikan merupakan syi’ar Islam. Memberi khidmat percuma merupakan slogan hidup seseorang muslim. Tabiat ini mestilah diseratakan dalam masyarakat. Perkhidmatan tidak seharusnya menanti imbuhan daripada pihak yang mendapat khidmat. Perkhidmatan adalah percuma dalam perkara yang membawa kebajikan umum. Bagi pihak yang memberi khidmat, sewajarnya bertindak tanpa mengharapkan balasan dan upah tertentu bahkan bekerja  dan berkhidmat kerana Allah. Namun, bagi pihak yang mendapat khidmat itu seharusnya memikir dan menyediakan apa-apa sumbangan balas yang berpatutan kepada pihak yang berkhidmat, jika patut. Dan sememangnya patut, meskipun pihak yang berkhidmat tidak mengharapnya. Tindakan majikan/ pihak yang menerima khidmat ini perlu diambil dengan memberi imbuhan berpatutan selagi tidak menjadi ‘budaya’ dalam masyarakat ; Budaya kerja dan upah, tiada upah tiada kerja.

b.      Mereka yang menolong dan memberi khidmat mestilah selalu memahami dan menyedari bahawa setiap sumbangan dan amal bakti yang dicurahkan tetap akan dibayar semula oleh Allah s.w.t samada di dunia atau pun di akhirat. Di akhirat akan diganjari dalam bentuk pahala atau ‘wang akhirat’. Manakala di dunia akan dibalasi dalam bentuk bayaran segera atau membalas jasa atau menolak bencana atau sokongan do’a. Hakikatnya, tidak ada satu pun kerja yang tidak ada balasannya. Dalam sebuah hadis lain ada disebut, ‘buatlah kerja apa yang anda mahu, sesungguhnya anda akan dibalasi dengan amal itu.’

c.      Ada pepatah yang menyebut : Berkhidmatlah, wang akan datang kemudian.”

d.     Perlu diingatkan selalu bahawa memberi khidmat percuma dan menolong orang yang berhajat adalah sedeqah yang akan menjadi ‘jasamu dikenang’.

 

3.      Nasihat dan memberi dorongan/ motivasi

a.      Sedeqah tidak semestinya wang ringgit dan makanan. Adakalanya merupakan ucapan dan bimbingan. Memberi nasihat dan dorongan  motivasi merupakan sedekah yang berpanjangan. Ia memerlukan idea yang bernas dan bahasa yang kemas. Antara idea yang bernas ialah menyentuh asal usul manusia dan memberi jawapan kepada soalan : dari mana dia datang ?, untuk apa dia ada di alam ini ?, dan ke mana dia akan pergi nanti?.

b.     Seorang kaunselor dan pembimbing mestilah mempunyai kebolehan  : Memahami suasana orang lain atau ilmu psikologi yang sesuai, kemampuan berbicara dan berbahasa yang menyentuh sanubari, dan memiliki bakat membawa audien ke sasaran dan matlamat. Paling tidak, penasihat dan pendorong ini mestilah mampu melegakan tekanan dan gangguan orang yang dinasihati itu.

c.      Dalam hal ucapan yang indah, seseorang muslim mesti menyedari peri penting bahasa ; samada tatabahasanya, gaya bahasanya bahkan nada suara dan ‘bahasa badan’nya, kerana semua itu memberi kesan yang besar dalam mengubahsuai emosi dan pemikiran seseorang. Selain itu, sentuhan juga tak kurang pentingnya.

d.      Kalaulah ucapan yang baik sudah boleh menjadi sedeqah bagi seseorang manusia muslim, maka apa pentingnya merungut ketiadaan harta untuk disedeqahkan ? Pandai-pandailah berbicara dan memberi idea. Kalau tak mampu juga, Nabi s.a.w. memberi saranan lain dalam sebuah hadis yang bermaksud : “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah berkata perkara baik atau pun diam”, diam saja. Tahanlah diri daripada menyusahkan orang lain !  Itu pun bagus.

 

4.      Melakukan solat di masjid

a.      Melangkah untuk solat tentunya memberi maksud solat di masjid. Solat di masjid merupakan aktiviti ibadat secara bermasyarakat atau berjamaah. Kenapa solat juga menjadi aktiviti sosial ? Pada asalnya solat merupakan perhubungan intem antara ‘hamba dengan Tuhannya’. Namun perlu diingat, Islam tidak ada pemisahan antara kehidupan dunia dan ibadat kepada Allah. Dalam agenda solat, sesorang muslim mesti menjaga masalah ekonomi iaitu tidak membazir air semasa berwudu’ dan berpakaian lengkap semasa menutupi aurat ; mesti menjaga masalah sosial iaitu meluruskan sof, tidak menimbulkan bau badan yang mengganggu dan mendo’akan keselamatan untuk mereka yang soleh semasa tahiyyat ; mesti menjaga masalah politik iaitu mutaba’ah (menurut/ menyusuli) imam dan sistem gantiannya, menegur imam, menjaga masa dan sentiasa sekata dalam kira bicara dan tindakan.

b.      Semasa berjamaah, kelompok masyarakat Islam akan menyedari anggota masyarakat yang bermasalah, kesakitan, kemiskinan, tekanan, kematian dan sebagainya. Solat jamaah boleh menjadi ‘pusat’  dan ‘stesyen’ maklum balas segera sebanyak lima kali pertemuan setiap 24 jam. Tidak wajar kalau masih ada ahli masyarakat yang terpinggir sekiranya amalan solat berjamaah di masjid hidup segar dalam satu-satu masyarakat Islam.

c.      Ingat ! Solat merupakan ‘mihrab’ dan munajat hamba kepada Tuhannya, pembersih jiwa, penenang perasaan, pemangkin akal bestari dan penyegar badan. Sekaligus solat menjadi penyembuh kepada penyakit hati dalam masyarakat.

d.      Melangkah ke masjid untuk solat pun menjadi sedeqah ! Masih adakah orang muslim yang kedekut ?

 

5.      Membuang dan menghapuskan gangguan daripada jalan orang ramai

a.      Segala bentuk gangguan di jalanan dan di tempat awam seharusnya tidak ada dalam masyarakat Islam, kerana ahli masyarakat berfikirkan soal ganjaran pahala melalui sedeqah dalam aspek kebajikan dan keselamatan.

b.      Jalan berlopak dan kerusakan harta awam tidak seharusnya menjadi tanggungjawab YB dan kerajaan sahaja, bahkan semua anggota masyarakat berlumba-lumba mencari kesempatan untuk bersedeqah dengan memberi sumbangan harta atau tenaga atau idea dalam menghilangkan gangguan di perjalanan dan tempat-tempat awam. Pihak berkuasa sememangnya sudah memikul tanggungjawab wajib untuk menghilangkan gangguan di mana-mana tempat awam itu, tetapi anggota masyarakat Islam juga tidak ketinggalan untuk memberi sumbangan sukarela demi mendapat pahala yang berganda-ganda melalui amal kebajikan dan khidmat sosial tersebut. Berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Kesenangan sama-sama dikongsi dan kesusahan sama-sama dibenci.

c.      Gejala sosial remaja dan perkara mungkar yang berleluasa hari ini sebenarnya gangguan yang menyakitkan mata masyarakat. Ia sebenarnya, ‘najis’ yang perlu dibersihkan. Berusaha mencegah kemungkaran ini merupakan sedeqah bagi masyarakat Islam dan kewajipan ke atas mereka yang dipertanggungjawabkan.

d.      Selain duri, sampah, lopak, najis, bangkai, udara yang tercemar, alam sekitar yang tak terurus dan pelbagai gangguan yang lain, segala bentuk dosa yang dilakukan oleh manusia juga merupakan gangguan yang mesti ditangani oleh semua pihak. Itu semua peluang melakukan sedeqah.

 

Siapakah yang masih merasa sangsi tentang keindahan Islam dalam menjaga kestabilan masyarakatnya dan individu muslim ? Bahkan penjagaan keselamatan hidup yang dianjurkan Islam itu tidak membataskan hanya kepada mereka yang beriman dan beragama Islam sahaja, malahan kepada semua manusia dan semua makhluk yang melata.

Seseorang muslim mesti bertanggungjawab menyuburkan amal kebajikan sosial dan memenuhi ruang aktiviti dengan amalan positif. Selain untuk kemudahan dan keselesaan awam, sekaligus membentuk dana ‘pahala sedeqah’ di akhirat nanti.

 

 

 

(12)

Erti kesusahan, kesulitan, kepayahan, kesuntukan, dan Kesenangan, kegampangan, kemudahan, kelegaan.

 

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ(1)وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ(2)الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ(3)وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ(4)فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا(5)إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا(6)فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ(7)وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ(8) الشرح

 

Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ? Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) -Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

 

 

PETIKAN DAN PENJELASAN :

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا(5)

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

 

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا(6)

 (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

 

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ(7)

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain

 

وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ(8) الشرح

Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

 

وقال ابن أبى حاتم حدثنا الحسن بن محمد بن الصباح حدثنا أبو قطن حدثنا المبارك بن فضالة عن الحسن قال كانوا يقولون  لا يغلب عسر واحد يسرين اثنين …… وقال سعيد بن قتادة ذكر لنا أن رسول الله صلى الله عليه وسلم بشر أصحابه بهذه الآية  . فقال : “لن يغلب عسر يسرين.” ومعنى هذا أن العسر معرف فى الحالين فهو مفرد واليسر منكر فتعدد ولهذا قال : “لن يغلب عسر يسرين.”  يعنى قوله : فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ، فالعسر الأول عين الثانى واليسر تعدد … عن أبى هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ” أنزل المعونة من السماء على القدر المؤنة ونزل الصبر على قدر المصيبة.” 

ومما يروى عن الشافعى أنه قال :

صبرا جميلا ما أقرب الفرجا

من راقب الله فى الأمور نجا

من صدق الله لم ينله أذى

ومن رجاه يكون من حيث رجا

(تفسير ابن كثير)

 

Kesulitan sebenarnya satu sahaja, sedangkan kesenangan ada dua atau lebih. Ini ditegaskan oleh Allah dalam ayat 5 dan 6 surah ‘As Syarh’ di atas. Kalimah العسر  disebut dengan adanya huruf alif lam menunjukkan ‘tertentu’  dan ulangan kali kedua juga adalah merujuk kepada kalimah yang sama pada sebutan pertama. Berbeza kalimah اليسر  di mana dalam ayat di atas tidak didatangkan huruf  alif lam yang menunjukkan bahawa kalimah itu ‘tidak tertentu’ yang sekaligus merujuk kepada makna yang umum dan berbilang-bilang. Maka wajarlah dikatakan : Satu kesulitan tidak akan mampu (sampai bila-bila pun) mengatasi dua kemudahan.

Kesulitan sebenar yang satu itu berada dalam diri seseorang berpusat di fikiran dan perasaan manusia. Jalan berfikir yang negatif atau positif,  dan kesempitan dada seseorang atau kelapangan dadanya itulah sebenarnya yang menentukan sesuatu itu payah, sukar, sempit, dan kalimah seerti dengannya atau mudah, senang, gampang dan kalimah semakna dengannya. Apa yang terbenam dalam otak seseorang dan apa yang tersirat dalam jantung individu itulah yang membuatkan  seseorang itu susah atau senang. Kerana CINTA dan MINAT, segala kesulitan dapat direntasi. Dan kerana BENCI dan CUAK, segala keseronokan menghilang diri.

 

 

(13)

Jalan Allah

 

  1. Perlukah beragama ?

 

  1. Apa dia Islam ? (nama, ta’rif dan pengenalan)
    1. Sasaran / matlamat / objektif
    2. Jenis dan sifat
    3. Urutan keutamaan / kepentingan
    4. Target
    5. Alat / bahan
    6. Aktiviti / program
    7. Tindakan
    8. Hasil / produk / natijah
  2. Siapa ? (orang / petugas) Da’iy dan Mad’u
    1. Petugas / penyelia / penjaga / pengawas / pengarah / dll
    2. Pihak dan sasaran
    3. Penerima / pemberi
    4. Pelaksana / juru tindak
    5. Pengagihan tugas / kerja
    6. Organisasi / perjawatan
  3. Berapa ? (bilangan dan kos)
    1. Petugas
    2. Sasaran
    3. Kos pendapatan dan perbelanjaan
    4. Aktiviti dsb
  4. Di mana ? (tempat dan lokasi)
    1. Nama tempat / lokasi
    2. Kawasan / area
    3. Peta / laluan
    4. Jarak / kilometer
  5. Bila ? (masa dan tarikh)
    1. Rancangan jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang
    2. Penentuan masa target
    3. Bermula / berakhir
    4. Bertindak (sekarang)
  6. Dari mana ? (punca dan sumber)
    1. Penyumbang
    2. Kemasukan
    3. Kedatangan
    4. Hasilan
  7. Ke mana ? (halatuju dan arahsasar)
    1. Arah tuju
    2. Mata angin : utara, selatan, timur, barat, dll
    3. Pemergian / kehilangan
  8. Bagaimana ? (cara dan teknik)
    1. Jalan, teknikal dan methodologi
    2. Rupa bentuk / kelakuan
    3. Cara / wasilah / wasithah
    4. Protokol / prosedur
    5. Suasana / persekitaran / hal
    6. Rancangan

 

Apakah Jalan Allah ?

 

عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْقِتَالُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَإِنَّ أَحَدَنَا يُقَاتِلُ غَضَبًا وَيُقَاتِلُ حَمِيَّةً فَرَفَعَ إِلَيْهِ رَأْسَهُ قَالَ وَمَا رَفَعَ إِلَيْهِ رَأْسَهُ إِلَّا أَنَّهُ كَانَ قَائِمًا فَقَالَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ – البخارى

 

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلذِّكْرِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ فَمَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ – البخارى

 

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani menyatakan dalam syarah soheh Bukhori bahawa kalimah Allah itu ialah Agama Allah, iaitu Islam.

 

Untuk menjadikan Agama Allah itu tinggi mestilah memenuhi sepuluh perkara berikut :

 

1.      Dasar, prinsip, perlembagaan, akta dan enekmen negara atau negeri berteraskan sumber rujukan Islam iaitu Qur’an, Hadis, Ijma’ dan Qias.

2.      Hukum-hukum Allah dikuatkuasakan dalam negara di semua peringkat.

3.      Lima rukun-rukun Islam iaitu shahadah, solat, zakat, puasa dan haji  dan lima keperluan asas manusia iaitu agama, nyawa, akal, harta, keturunan atau maruah diri  hendaklah terjaga dan dilaksanakan dalam kehidupan masyarakat.

4.      Perilaku dan akhlak Islam seperti amanah, benar, suka menolong perkara kebajikan, mengelak diri daripada kejahatan, mempermudahkan urusan awam, dsb disuburkan dalam pergaulan dan muamalah masyarakat dan keluarga.

5.      Keamanan dan keselamatan awam terjamin oleh keimanan dan sikap penduduk dan ahli masyarakat, dan bukannya bergantung kepada pengawasan polis dan tentera.

6.      Aqidah, syari’at, akhlak, keilmuan, kebudayaan, adat dan rutin hidup individu, keluarga, masyarakat dan negara terjamin dan berasaskan pengajaran Islam.

7.      Manusia sentiasa mengingati Allah dalam segala urusan hidup, sehinggakan orang bukan Islam pun turut menghormati peraturan dan kehidupan masyarakat Islam meskipun mereka masih menganut agama mereka.

8.      Pandangan umum masyarakat dan kira bicara mereka di merata tempat tidak melupakan Allah dan batas-batas syari’atNya.

9.      Syiar-syiar dan perlambangan Islam dijaga dan dihormati.

10.  Hak asasi manusia terpelihara dan diutamakan.

  

 

 (14)

 

ASAS KEPIMPINAN SEKOLAH

 

Surah Yusof/ 108 memberi kefahaman bahawa organisasi mengandungi :

  1. matlamat yang jelas
  2. sistem yang lengkap
  3. kepimpinan yang tegas
  4. pengikut yang ta’at

 

Surah Soff/ 4 memberi kefahaman bahawa sof yang tersusun memerlukan :

  1. mesyuarat
  2. menyelaras
  3. motivasi
  4. bertindak
  5. semakan
  6. pembaikan

 

Peringkat kepimpinan (Semuanya memerlukan kemahiran asas memimpin dan tambahan maklumat kepimpinan mengikut tahap dan peringkat kepimpinan) :

  1. dunia
  2. negara
  3. negeri
  4. jajahan
  5. daerah
  6. kampung
  7. organisasi kerajaan
  8. organisasi swasta
  9. syarikat perniagaan
  10. pertubuhan NGO
  11. parti
  12. kelab
  13. rumahtangga
  14. peribadi

 

Binaan Organisasi Pendidikan :

  1. tujuan dalam pendidikan

          redha Allah

          syakhsiyyah menarik

          akademik cemerlang

  1. sumber manusia

          ketua utama

          pimpinan pertengahan

          pengikut/ petugas/ amilin

          komunikasi dan interaksi

  1. struktur dan sistem

          pentadbiran (pk pentadbiran, pk HEM, kewangan, setiausaha, keceriaan, pembangunan dll)

          HEM (dakwah, disiplin, kaunseling)

          Kurikulum (sukatan, peperiksaan, penilaian, buku teks dll)

          ko-kurikulum (massak, sukan sekolah, persatuan, badan, kelab dll)

 

Pemimpin perlulah :

  1. bertindak dan memberi panduan/ contoh
  2. menurunkan pengalaman samada bertulis atau lisan berkenaan cara bertindak mengikut urutan kerja

 

Mengimpikan unjuran masa depan :

  1. bilangan pelajar
  2. peningkatan akademik
  3. kepercayaan masyarakat
  4. keyakinan diri
  5. keceriaan persekitaran

210306

 

TARGET  

 

VISI sekolah untuk pelajar AKADEMIK CEMERLANG SYAKHSIYYAH MENAWAN

 

MISI sekolah untuk peljar 10 A SPM, 10C SMU, 9A PMR, 10C PMRU DAN 5A UPSR

 

OBJEKTIF sekolah untuk pelajar MENGUASAI SEMUA BAB DALAM SEMUA SUBJEK

 

 

KEPERLUAN ?

  1. BUKU RUJUKAN
  2. BUKU LATIHAN DAN ULANGKAJI
  3. NOTA RINGKAS/ POKET
  4. GURU PENYELIA
  5. KELAS MOTIVASI
  6. WANG POKET
  7. ALAT TULIS

 

BAJET ?

  1. BUKU RUJUKAN                                   20 X 5 X 5 = RM 500.00
  2. BUKU LATIHAN DAN ULANGKAJI          10 X 5 X 5 = RM 250.00
  3. NOTA RINGKAS/ POKET                       15 X 5 X 5 = RM 375.00
  4. GURU PENYELIA                                  1000 X 5   = RM 5000.00
  5. KELAS MOTIVASI                                 200 X 10   = RM 2000.00
  6. WANG POKET                                      22 X 10 X 5 X 5 = RM 5500.00
  7. ALAT TULIS                                          50 X 5 X 5 = RM 1250.00

TOTAL    = RM 14,875.00.

 

 

 

 

 

(15)

BAGAIMANA MENELADANI ATAU MENCONTOHI ?

 

لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجو الله واليوم الآخر وذكر الله كثيرا

 

Sesungguhnya untuk kamu CONTOH TELADAN YANG CEMERLANG ada pada RASULULLAH iaitu bagi orang yang berharap kepada Allah dan hari akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah….

 

KONSEP CONTOH TELADAN MESTILAH MENYAMAI BAGAIMANA KECEMERLANGAN DICAPAI OLEH ORANG YANG DITELADANI. MENIRU DAN MENCONTOHI SESIAPA PUN MESTILAH MENIRU :

 

1.      ‘kepercayaan’ dan ‘keyakinan’ yang dipegang oleh orang yang ditiru,

2.      corak berfikir,

3.      sikap, disiplin, postur tubuh,

4.      tindakan dan amalan yang dilakukan olehnya, keadaan sekitar yang dibina dan,

5.      ciri-ciri orang yang berjaya tersebut.

 

“…..Jika orang lain boleh terjaga pada waktu pagi dengan cepat dan senangnya serta penuh bertenaga, itu ialah hasil yang mereka keluarkan. Soalan berikutnya ialah, bagaimanakah mereka menghasilkannya ? Memandangkan tindakan adalah punca kepada semua hasil, apakah tindakan fizikal dan mental yang tepat yang dapat menghasilkan proses neurofisiologi untuk terjaga dari tidur dengan cepat dan senang ? Salah satu daripada praandaian NLP[1] ialah kita berkongsi neurologi yang sama, oleh itu jika seseorang boleh membuat apa saja dalam dunia, begitu juga anda, asalkan anda mengendalikan sistem saraf anda dalam cara yang sama dengan tepat. Proses menemui dengan tepat dan khusus tentang apa yang dilakukan oleh seseorang untuk mengeluarkan hasil yang tertentu ini dipanggil MENCONTOHI.” Kata Anthony Robbins.

(Kuasa Infinit – Anthony Robbins, Prentice Hall Malaysia/ 1999. Ms 27)

 

Justeru itu, mencontohi Rasulullah s.a.w. bererti meniru ‘kepercayaan’ dan ‘keyakinan’ yang dipegang oleh Baginda s.a.w., meniru corak berfikir, sikap, disiplin, postur, tindakan dan amalan yang dilakukan olehnya. Lantaran itu juga, orang yang meniru mestilah mempelajari seluruh peribadi orang yang ditiru (Baginda Rasulullah s.a.w) untuk menjejaki langkah-langkah kejayaan yang dicapainya.

 

Anthony Robbins menyebut, ada tiga buah pintu yang menuju ke arah sebuah dewan bankuet/ jamuan yang hebat dalam proses MENCONTOHI iaitu :

 

Pintu Pertama : Merupakan sistem kepercayaan  seseorang. Apa yang dipercayai seseorang, apa yang difikirkannya boleh atau tidak boleh, hingga ke tahap yang menentukan apa yang dia boleh atau tidak boleh lakukan. Satu ungkapan lama ada mengatakan “sama ada anda percaya anda boleh membuat sesuatu  atau pun sebaliknya, anda adalah betul”. Pada tahap tertentu ini adalah benar, kerana apabila anda tidak percaya yang anda boleh melakukan sesuatu, anda menghantar maklumat secara konsisten kepada sistem saraf yang menghadkan atau mengenepikan keupayaan anda untuk mengeluarkan hasil tersebut. Jika sebaliknya, anda menghantar maklumat yang sesuai secara konsisten kepada sistem saraf yang anda boleh membuat sesuatu, kemudian sistem saraf akan memberi isyarat kepada otak untuk mengeluarkan hasil yang anda inginkan, dan ini akan membuka peluang kemungkinan untuk mendapatkannya….

 

Pintu Kedua yang mesti dibuka ialah sintaksis mental seseorang. Sinteksis mental ialah cara orang menyusun pemikiran mereka. Sintaksis adalah seperti kod.

 

Pintu Ketiga ialah fisiologi. Fikiran dan tubuh badan berkait sepenuhnya. Cara anda menggunakan fisiologi – cara anda bernafas dan berdiri, gaya, air muka dan kualiti pergerakan semula jadi anda – sebenarnya menentukan keadaan yang anda alami. Keadaan yang anda alami kemudiannya akan menentukan berbagai-bagai kelakuan dan mutu kelakuan yang boleh dihasilkan.

(Kuasa Infinit – Anthony Robbins, Prentice Hall Malaysia/ 1999. Ms 31-32)

 

Kaedah MENCONTOHI sememangnya bukan sesuatu yang baru, kata Anthony Robbins lagi. Setiap pencipta yang ulung telah mencontohi penemuan orang lain untuk menghasilkan sesuatu yang baru. Setiap kanak-kanak  mencontohi dunia di sekelilingnya. Masalahnya ialah kebanyakan daripada kita mencontohi tahap yang benar-benar tidak teratur dan tidak terfokus. Kita mengambil secara rambang keropas-kerapis[2]  daripada orang ini atau orang itu dan kemudiannya terlepas sepenuhnya sesuatu yang lebih penting daripada orang yang lain. Kita mencontohi sesuatu yang bagus di sini dan sesuatu yang tidak bagus di sana. Kita cuba mencontohi seseorang yang kita hormati tetapi mendapati bahawa sebenarnya kita tidak tahu bagaimana untuk membuat seperti yang dibuat oleh orang tersebut.

(Kuasa Infinit – Anthony Robbins, Prentice Hall Malaysia/ 1999. Ms 34)

 

Proses meniru dan mencontohi mestilah kepada perkara asas (kepercayaan, cara berfikir, tindakan, disiplin, postur tubuh, dan keberanian mengambil keputusan ) yang menghasilkan sesuatu pencapaian dan kejayaan, bukannya rangka luar yang tidak mendasari prinsip dalaman.

 

Mencontohi Rasulullah s.a.w. amat memerlukan kepada mempelajari sirah/ perjalanan hidup baginda s.a.w. serta risalah yang dibawanya. Ini bererti kita mesti mempelajari Qur’an, Sunnah Tasyri’iyyah (Sunnah yang wajib dipatuhi) dan Sunnah Ghair Tasyri’iyyah (Sunnah yang tidak wajib dipatuhi tetapi mesti dihormati). Perlu disedari oleh semua masyarakat Islam dan masyarakat dunia sejagat bahawa Baginda Rasulullah s.a.w. merupakan contoh dalam pelbagai aspek dan watak positif bermula daripada urusan peribadi yang khusus sehinggalah kepada urusan negara dan dunia seanteronya, samada politik, sosial, ekonomi, pendidikan, pengurusan sumber dan modal insan mahu pun pengurusan keluarga dan personal. Baginda s.a.w. adalah CONTOH ulung untuk manusia bahkan kalangan jin seluruhnya.

 

“MENANTI PELUANG ADALAH SATU TINDAKAN DAN ‘USAHA’ YANG MENGHASILKAN NASIB. DAN NASIB ADALAH PERJUDIAN YANG DICAPAI SATU DALAM SEJUTA. PERJUDIAN MERUPAKAN KERJA ‘HARAM’ DALAM KAMUS ORANG-ORANG YANG BERJAYA.”

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 



[1] Neuro-Linguistic Programming – atau nama singkatannya NLP. Jika anda menganalisanya, nama ini berasal dari perkataan “neuro” yang merujuk kepada otak, dan “linguistic”, yang merujuk kepada bahasa. Pemprograman ialah pemasangan sesuatu rancangan atau tatacara. NLP ialah kajian mengenai bagaimana bahasa, samda kedua-duanya secara lisan atau pun bukan lisan, mempengaruhi sistem saraf kita. Keupayaan kita untuk membuat apa-apa saja di dalam dunia bergantung kepada keupayaan untuk mengarahkan sistem saraf kita. Orang yang dapat mengeluarkan sesuatu hasil yang cemerlang membuatnya dengan menghasilkan komunikasi tertentu kepada dan melalui sistem saraf. (Kuasa Infinit – Anthony Robbins, Prentice Hall Malaysia/ 1999. Ms 26-27)

[2] Keropas-kerapi bermaksud : a. bermacam-macam barang kecil yang tidak ada nilainya ; b. membuat kerja-kerja kecil yang tidak berapa berguna. (Kamus Dewan 1997)

Ogos 14, 2008 - Posted by | Uncategorized

Tiada komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: